PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, prosiding mahkamah yang dilalui Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) sekarang berhubung isu kerajaan negeri Perak sekadar mengikuti proses undang-undang semata-mata.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, keputusan muktamad sebenarnya adalah di tangan rakyat Perak kerana mereka yang berhak membuat pemilihan yang baru, sekali gus menamatkan krisis politik terburuk dilalui negeri tersebut.
“Kami memohon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan untuk memenuhi kehendak rakyat. Kita tidak akan bergantung dengan keputusan mahkamah selain dari keputusan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mahkamah ditangguhkan semalam.
Ditanya keyakinannya untuk menang, Nizar berkata: “Dari segi perundangan kita cukup yakin kerana kita sudah pun memenuhi kesemua kriteria yang dikehendaki oleh panel tiga hakim.”
Semalam, Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN) dan Nizar dibacakan jam 3.30 petang esok (hari ini).
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Raus Md Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Zainun Ali menetapkan masa tersebut setelah selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Zambry diwakili oleh peguamnya Datuk Cecil Abraham manakala Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah.
11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.
No comments:
Post a Comment