Sejak merdeka hanya ada tiga orang hakim yang berani membuat keputusan yang tidak menyebelahi parti yang didokong oleh kerajaan pusat. Profesor Aziz Bari berkata, itu pun keputusan Mahkamah Tinggi dan ada yang memprovok Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat. Keputusan-keputusan yang menentang Kerajaan Pusat di buat dalam kes Stephen Kalong Ningkan di Sarawak (1966), Joseph Pairin Kitingan di Sabah (1986) dan Nizar Jamaluddin di Perak (2008). Sejak Februari lalu kebanyakan hakim memberi keputusan yang menyebelahi Umno termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang bertentangan dengan peruntukan perlembagaan yakni Perkara 72(1). “Ertinya kita perlu sedar bahawa bukan semua keputusan mahkamah selaras dengan kehendak dan semangat perlembagaan,” tegasnya lagi. Aziz turut mengingatkan, meskipun Zambry diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebagai sah, tetapi kedudukan Speaker Ganesan tetap haram kerana cara perlantikannya melanggar peraturan dewan. Berbalik kepada keputusan Jumaat lalu Aziz berkata beliau berasa aneh mengapa Mahkamah Rayuan menyebut soal mandatori (kewajipan termesti) dalam soal undi tidak percaya. “Memang perlembagaan tidak mewajibkan begitu tetapi undi tidak percaya adalah cara yang terbaik kerana ia selamat dari manipulasi”, ujarnya. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perlantikan Zambry sah kerana tidak ada kemestian di dalam perlembagaan bahawa mesti ada undi tidak percaya terhadap menteri besar yang ada. Ketika mengulas perkara itu, Aziz berkata keputusan Mahkamah Rayuan tidak membantu memperkasa demokrasi. “Ia juga tidak selaras dengan kedudukan eksekutif di dalam sistem demokrasi berparlimen yang mesti mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan”. Aziz menegaskan di dalam keadaan undi tidak percaya tidak dihalang ia perlu dilakukan. Katanya, “Mahkamah sepatutnya memperkasa keperluan undi tidak percaya ini dan bukan sebaliknya”. Aziz berkata Raus mempunyai tugas berat untuk meyakinkan mengapa beliau memutuskan bahawa menteri besar yang ada boleh disingkirkan tanpa undi tidak percaya. Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membawa kesan yang besar kepada perlembagaan khususnya dan demokrasi umumnya. Beliau mengakui memang ada keadaan di mana undi tidak percaya tidak perlu. “Tetapi itu di dalam keadaan menteri besar yang ada enggan atau lari darinya. Dalam kes di Perak sekarang ini jelas tidak berlaku; malahan Nizar bersedia menghadapinya,” kata Aziz. Aziz berkata umumnya keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berita sedih buat demokrasi di negara ini. “Di sisi perlembagaan istana dan mahkamah mempunyai tugas untuk mempastikan semak dan imbang. Raja dan hakim berperanan mempastikan keadilan dan ketelusan, bukan mengambilalih fungsi rakyat dalam memilih kerajaan”. Beliau tidak bersetuju dengan para peguam Umno yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan menamatkan krisis politik di Perak. “Yang pasti Nizar akan memohon untuk membuat rayuan dan kalau ditolak ia akan menyebabkan rakyat melihat mahkamah dengan pandangan yang negatif,” ujarnya. |
Monday, May 25, 2009
Mahkamah Rayuan Tidak Memperkasakan Demokrasi : Aziz Bari
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment