Oleh jiwa-merdeka
"Berkalung-kalung tahniah buat semua rakyat yang menyintai keadilan, ketelusan dan yang berani menentang kezaliman di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Sudah jelas dengan kemenangan di dua bukit ini, bahawa rakyat sememangmya secara total telah menolak kezaliman dari sang penguasa. Biarpun sang penguasa masih berkokok bak ayam jantan yang mereka masih relevan untuk rakyat jelata dengan kemenangan di Batang Ai
Pedulikanlah sahaja pada sang penguasa yang tidak mahu mengaku kesilapan mereka, dengan memberi berbagai alasan untuk menidakan kebenaran. Biarkanlah mereka dengan retorik mereka, kerana yang pastinya hukuman dari rakyat akan terus menanti sehingga mereka belajar bagaimana mahu menghormati kehendak rakyat.
Kemenangan di dua bukit ini bukannya tanda rakyat tidak mahu memaafkan sang penguasa, sebaliknya rakyat telah meluat, menyampah dan bosan dengan kerakusan sang penguasa. Hukuman yang paling padan sekali untuk sang penguasa, ialah turunkan mereka dari singgahsana yang mereka cipta dengan prinsip keadilan dan demokrasi yang masih bersisa di tanah air yang kita cintai.
Adakah dengan menukar wajah, sang penguasa fikir dapat melunakan kebangkitan rakyat? Apatah lagi dengan menukar wajah yang lebih hodoh dan tidak mengendahkan persoalan rakyat tentang wajah mereka yang baru ini. Apakah sang penguasa berfikir apabila mendiamkan diri, akan membuat rakyat lupa. Jika benar sang penguasa berfikir begini, nantikanlah hukaman seterusnya dari rakyat jelata.
Mulai saat ini, kejutkanlah saudara-saudara kita yang masih dilamun mimpi, jalan keadilan yang nyata sentiasa terbentang untuk mereka yang berani berjuang. Bangunkanlah sahabat-sahabat kita yang masih lena tidurnya, yang cahaya kebenaran pasti akan menerangi kegelapan kebatilan. Jadikanlah tanah tumpah darah ini bertuah untuk semua.
Akhir sekali terima kasih tidak terhingga untuk semua pejuang rakyat, semoga dengan kemenangan di dua bukit ini akan terus menyemarakan semangat perjuangan untuk rakyat yang mahukan kebenaran dan kedilan bukan sahaja untuk diri mereka, bahkan untuk semua rakyat jelata. Terus berjuang! "
No comments:
Post a Comment