Saturday, April 11, 2009

Rakyat tidak restu kerajaan BN Perak, PM baru Najib


Slogan kempen Umno 'Mohon Restu Rakyat' boleh membawa tiga maksud iaitu pertama memohon restu rakyat selepas merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, kedua peralihan kuasa kepimpinan tertinggi Umno kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan ketiga teori Mahathir dengan Jerlunnya.

Umno percaya teori pertukaran kepimpinan boleh mengambalikan sokongan rakyat kepada Umno sebagaimana pernah berlaku dalam pilihan raya umum 2004, di mana Barisan Nasional (BN) memperolehi kemenangan besar sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada pilihan raya umum 2008, BN menerima kekalahan teruk sehingga gagal mendapat dua pertiga majoriti di Parlimen serta lima negeri dikuasai Pakatan Rakyat.

Mahathir mengambil kesempatan daripada kekalahan teruk itu dengan menyerang dan menyalahkan Abdullah. Desakan begitu kuat sehingga Abdullah terpaksa berundur dan memberi laluan kepada Timbalannya, Najib.

Mahathir percaya bahawa orang Umno lari mengundi Pakatan Rakyat kerana kelemahan Abdullah. Beliau juga percaya orang Umno masih menyokong beliau berdasarkan kemenangan anaknya, Mukhriz di Parlimen Jerlun di mana beliau turun membantu berkempen.

Daripada kepercayaan ini, Mahathir merasa amat yakin tentang dirinya sehingga sanggup turun berkempen bagi calon Umno pada 6 April lalu, di Jalan Simpang, Taiping. Dalam perhimpunan tersebut, beliau menyeru kepada ahli dan penyokong Umno yang telah meninggalkan parti agar kembali bersama parti itu.

Akhirnya teori beliau bersama Jerlun tidak mendapat restu rakyat. Mungkin pada masa ini Abdullah tersenyum puas kerana keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau menjawab tuduhan Mahathir dan penyokongnya selama ini tanpa perlu beliau bercakap banyak dengan Mahathir.

Kemenangan hatrick Pakatan Rakyat juga menjawab bahawa teori pertukaran pemimpin Umno daripada Abdullah kepada Najib bermakna berlakunya perubahan dan ia akan mengambalikan kepercayaan ahli serta penyokongnya kepada Umno juga tidak menjadi kenyataan kali ini.

Namun amat malang bagi Najib. Sebagaimana Mahathir teruja dengan ucapan Najib, katanya: "Satu ayat Najib semasa sampaikan ucapan penutupan Perhimpunan Agung Umno yang menarik perhatian saya ialah walaupun ada desakan supaya parti menguasai kerajaan tetapi Najib menambah bahawa selain parti, rakyat juga mesti bersama dengan kerajaan."

Sebaliknya perubahan yang cuba dibawa Najib gagal mendapat restu rakyat. Apakah Mahathir akan mendesak Najib berundur bagi memulihkan Umno? Mungkin sekali tidak kerana Perdana Menteri inilah yang disukai beliau untuk meneruskan agendanya.

Kalau Abdullah sempat mendapat gelaran 'Mr Clean' selepas pilihan raya 2004 iaitu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno daripada keburukan yang ditinggalkan Mahathir. Abdullah berjaya merampas kembali Terengganu yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum 1999 semasa pemerintahan Mahathir, sebaliknya rekod Najib bermula dengan buruk dan jawapan yang diberi oleh rakyat: "Tiada restu bagimu Najib."

Tiada restu bagi Najib juga terpalit dengan tindakan beliau merampas kerajaan Pakatan Rakyat. Jawapan jelas daripada rakyat hasil daripada kempen Umno mohon restu rakyat sebaliknya rejim yang dikatakan haram di bawah Menteri Besarnya, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir diberi jawapan bahawa: "Tiada restu bagimu Zambry."

Kerajaan BN Perak dan Sultan patut menerima keputusan pilihan raya kecil ini kerana rakyat memberi isyarat jelas bahawa mereka mahukan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak supaya pemerintahan Perak ditentukan oleh rakyat.

Tomohan media cetak dan elektronik bahawa Mohamad Nizar Jamaluddin penderhaka sukar diterima rakyat kerana isu yang lebih besar di sebalik itu ialah keganasan BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat yang telah ditentukan rakyat pada pilihan raya umum 2008.

No comments:

Search This Blog