Monday, April 20, 2009

PAS hentikan projek kerajaan perpaduan

PAS membuat keputusan tegas, tidak akan meneruskan ideanya untuk membentuk kerajaan perpaduan khasnya dengan Umno selepas Datuk Seri Najib Razak dilantik menjadi perdana menteri.

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat Ahad, April 12 lepas mengambil keputusan muktamad, tidak ada lagi agenda kerajaan perpaduan selepas Najib menjadi PM.

Isu kerajaan perpaduan dibangkitkan oleh seorang ahli mesyuarat itu namun ia terus dipotong oleh seorang pemimpin yang dikira penyokong utama agenda kerajaan perpaduan.

Ekoran itu, mesyuarat dikatakan menerima pandangan itu dan selesai sudah agenda kerajaan perpaduan ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika bercakap di Kuala Terengganu berkata, beliau menarik balik cadangan kerajaan perpaduan itu. Langkah itu diambil kerana ramai yang tidak faham dengannya termasuk di kalangan ahli PAS sendiri.

Sabtu, 18 April lepas, saya mengikuti mesyuarat agung tahunan PAS kawasan Selayang. Salah satu usul yang dibentang dan dibahaskan dalam mesyuarat agung ini adalah “Meminta Presiden PAS menjelaskan tentang kerajaan perpaduan.” Ia dibentangkan oleh JK kawasan itu sendiri dan dibentangkan oleh naib YDPnya dalam mesyuarat itu. Bagaimanapun, selepas dibahaskan, usul ini ditolak.

Usul ini bagi saya melambangkan betapa pemimpin PAS di peringkat pertengahan sendiri tidak faham tentang kerajaan perpaduan ini. Ia menyebabkan timbul salah faham kononnya PAS mahu bekerjasama dengan Umno yang hasilnya hanya akan menyelamatkan Umno yang hendak karam itu.

Isu kerajaan perpaduan ini bermula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara dengan Siasah dan The Malaysian Insider mencadangkan agar semua pihak bersatu untuk menghadapi krisis ekonomi dunia yang bakal dihadapi Malaysia dan krisis politik yang ada. Sebelum itu, beliau pernah menyebut dalam satu majlis yang lain.

Beliau mencadangkan kerajaan perpaduan yang tidak ada pembangkang dibentuk bagi membolehkan semua pihak memberikan tumpuan perkhidmatan untuk rakyat di negeri yang dikuasai dan menghentikan sementara kegiatan politik yang melampau.

Idea ini mendapat dokongan banyak pihak termasuk di kalangan pemimpin PAS dan Umno. Namun tidak kurang juga yang menentangnya termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun, saya difahamkan, selepas satu pertemuan pemimpin tertinggi PKR dan PAS dengan Nik Aziz di Kota Bharu, Nik Aziz menerima idea ini selepas beliau jelas mengenainya.

Namun selepas Najib mengambil alih tapuk pemerintahan negara, pihak yang menyokong usaha ini juga menentangnya kerana tidak yakin langsung dengan Najib.

“Yang lagi tidak baiknya apabila Mahathir berada di belakangnya. Kalau masa Pak Lah dahulu, walaupun dia lemah, sekurang-kurangnya imej dia baik,” kata seorang pemimpin veteran PAS kepada saya.

Namun begitu, anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menyokong idea ini terus memberikan harapan agar idea kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan.

“Saya tidak akan meninggalkan Umno,” tetapi bersedia untuk membantu membentuk kerajaan perpaduan, lapor Mstar.

Sementara itu, Tvantara dalam laporannya berkata, langkah Najib tidak melantik menantu Abdullah, Khairy Jamaludin yang menang jawatan Ketua Pemuda Umno baru-baru ini, membuka ruang pembentukan kerajaan perpaduan jika Abdullah bertindak balas.

Menurut Tvantara yang dipimpin oleh bekas orang kuat TV3 itu, rakyat umum tahu betapa Pak Lah terlalu sayangkan Khairy sebagai suami kepada satu-satunya anak perempuannya, Nori.

Bukan sahaja Khairy ditatang bagaikan minyak yang penuh sebagai menantu kesayangan malah Khairy juga pernah bekerja sepejabat dengan bapa mertuanya sebagai pegawai khas pada awal peringkat Pak Lah menjadi Perdana Menteri.

Apakah beliau gembira apabila memikirkan bagaimana penggantinya menyisihkan Khairy daripada kabinet yang diumumkan 9 April lalu.

Menambahkan luka dihati Pak Lah, Najib menamakan Mukhriz, anak kepada pengkritik hebat beliau, mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, sebagai timbalan menteri.

Khairy dilihat lebih berhak mendapat habuan jawatan kabinet kerana baru sahaja memenangi pertandingan bagi Ketua Pemuda Umno, sayap kanan parti.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu Mukhriz mendapat undi tercorot, kalah kepada Khairy dan Dr Mohd Khir Toyo.

Khairy seperti Mukhriz juga adalah seorang Ahli Parlimen. Jadi di mana letaknya logik Najib untuk melantik Mukhriz dan menolak menantu Pak Lah, lapor Tvantara itu.

Menurut laman web itu lagi, Abdullah mempunyai ramai penyokong setia dalam Dewan Rakyat.

Analisis rambang profil ahli parlimen Umno yang kini berjumlah 55 orang daripada keseluruhan 140 kerusi milik BN menunjukkan sekurang-kurang 34 adalah pro Pak Lah.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen di Perlis adalah orang Pak Lah begitu juga, seorang di Melaka, tujuh di Perak, tiga di Negeri Sembilan, seorang di Wilayah Persekutuan, dua di Selangor, enam masing-masing di Johor dan Pahang, tiga di Terengganu.

Ini tidak termasuk Tengku Razaleigh Hamzah di Kelantan dan kerusi beliau sendiri di Kepala batas, Pulau Pinang.

Sekiranya Pak Lah menggerakkan hulubalang-hulubalangnya di Parlimen beliau mampu mendapat sekurang-kurang lagi wakil rakyat.

Ini menjadikan jumlah Ahli Parlimen yang bakal menyertai dan menyatakan sokongan padu kepada Pak Lah berjumlah 44 kesemuanya, 45 kalau termasuk beliau sendiri, lapor laman itu.

Jika benar laporan ini, bermakna kerajaan perpaduan antara penyokong Abdullah dengan Pakatan Rakyat boleh berlaku.

No comments:

Search This Blog