Oleh WFauzdin NS
Alhamdulillah, artis Mawi telah selamat diijabkabulkan bersama Ekin hari ini. Upacara gilang gemilang tersebut telah disiarkan oleh Televisyen Astro secara langsung. TV 3 melaporkan terdapat sungutan orang ramai terutamanya dari kalangan wartawan dan TV3 memetik berita dari akhbar KOSMO berkata kawalan terhadap Mawi dan Ekin umpama `Putera Raja'.
Bagi saya itu anggapan yang silap kerana setahu saya Putera Raja pun tidak mendapat liputan meluas media seperti yang didapati oleh Mawi World dan Ekin ini.
Itu tidak mengapa kerana bak kata Mawi dahulu, perkahwinannya akan diadakan sederhana sahaja. Rakyat terutamanya peminat-peminat Mawi yang menonton secara langsung di Astro telah pun melihat `kesederhanaan' perkahwinan beliau. Itu baru acara Akad Nikah, kita belum tonton lagi acara seterusnya selama 3 hari nanti. Mungkin secara sederhana juga seperti yang beliau pernah ucapkan dulu.
Saya cuma sedikit pelik dan tertanya-tanya mengapa begitu protokol sekali upacara akad nikah yang dijalankan di masjid sebentar tadi ? Mengapa perkara semulia ini hendak disusahkan ? Berjalan beratur-atur, termasuk Pegawai-Pegawai Masjid pun ikut protokol dan masuk berbaris, tidak boleh duduk sebarangan, bawa bunga hantaran sampai ke dalam Masjid, berpantun-pantun dan macam-macam lagi yang telah disusun dan dilaksanakan di dalam Masjid tersebut.
Bukan maksud saya perbuatan itu salah atau tidak, tetapi ianya kelihatan menunjukkan terlalu protokol dan menyusahkan. Apa lah salahnya acara-acara lain tu dibuat di rumah sahaja. Yang peliknya, pegawai Masjid pun terikut rentak ini hinggakan terlupa peranan sebenar mereka. Adakah patut Pegawai Masjid yang diwakilkan untuk menjadi Wali bagi Ekin bangun datang berjumpa bapa Ekin.
Sepatutnya bapa Ekin lah yang bangun berjumpa pegawai Masjid tersebut memohon dan memaklumkan dia ingin mewakilkan Wali kepadanya. Peliknya, pegawai Masjid itu ikut arahan pula dan datang berjumpa bapa Ekin. Pegawai Masjid pun mengiringi Mawi selepas akad nikah sehingga kepada Mawi nak sarung cincin dan kucup dahi Ekin pun Pegawai Masjid sentiasa disisinya.
Apa fungsi beliau ? Bukankah tugas dalam acara Akad Nikah sudah selesai, mengapa perlu ikut Mawi ke sana sini ? Sewajarnya taraf jawatan Pegawai Masjid hendaklah dipelihara dan dipandang mulia.
Saya sedikit tumpang bangga kerana Ustaz Akil pun kelihatan di kaca TV sebagai saksi berpakaian baju Melayu yang cantik. Tidak pernah saya lihat Ustaz Akil berpakaian begini kerana beliau sering berjubah dan beserban apabila memasuki Masjid. Mungkin sudah lama Ustaz Akil tidak memakai songkok hitam agaknya, dan memang Ustaz Akil tidak kelihatan seperti yang saya kenal dulu.
Mungkin itu luaran sahaja, bukan dalaman. Apa pun, kelibat Ustaz Akil di pentas-pentas politik hampir tiada lagi. Mungkin baginya perjuangannya sudah selesai di arena politik Islam. Kini, beliau giat berdakwah di media-media pula dan serba sedikit ada kesannya pada orang lain dan pada dirinya sendiri.
WFAUZDIN NS
No comments:
Post a Comment