Thursday, December 6, 2012

Tarikh PRU: Najib ada sebab tersendiri


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai sebab tersendiri untuk tidak mengumumkan tarikh pilihan raya dalam waktu terdekat.
Menurutnya, antaranya kemungkinan Najib khuatir negeri dikuasai parti lawan tidak membubarkan dewan serentak dengan pusat seterusnya mengadakan pilihan raya berasingan.

“Apabila tarikh PRU diumumkan terlalu dekat dengan tempohnya, negeri di bawah pembangkang terpaksa bubar dewan mereka sama dengan Kerajaan Pusat.
“Justeru, pilihan raya akan diadakan bersama dan kemungkinan sebab itulah Najib tidak umumkan tarikh pilihan raya buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Bicara Tokoh dan Menteri Besar Pahang Bersama Pemimpin Koperasi Daerah Bentong di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Toantowee Mohd Lotfie dan Ketua Sektor Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Mohamad Jaapar Muhayat.
Dalam perkembangan sama, Mahathir berkata, orang Melayu merupakan golongan majoriti negara ini kerana mewakili 60 peratus, namun berlaku perpecahan.
Menurutnya, dahulu orang Melayu berpecah kepada dua sahaja iaitu Umno dan Pas, namun kini berpecah kepada tiga apabila wujud PKR.
“Kini orang Melayu jadi golongan minoriti kerana berpecah dan terpaksa bergantung kepada orang lain untuk menang. Jika Umno nak bergantung kepada Umno sahaja, kita tidak boleh menang menyebabkan perlunya bantuan daripada orang bukan Umno,” katanya.
Mahathir berkata, ahli Umno tidak boleh sombong dan perlu berdamping dengan rakyat untuk terus meraih sokongan pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, ahli Umno dinasihatkan tidak berpecah-belah dan menyokong sesiapa sahaja calon diketengahkan parti.
“Yang nak menang adalah parti. Jika Najib menang seorang pun, tidak boleh juga tubuhkan kerajaan.
“Justeru, ahli Umno perlu bersatu dan merapatkan barisan untuk mendapatkan dua per tiga kerusi dengan kerjasama parti komponen Barisan Nasional lain,” katanya.
Mahathir berkata, semangat ahli semasa Perhimpunan Agung Umno 2012 lalu ternyata cukup baik dan ia diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti supaya dapat menang pada pilihan raya akan datang.

No comments:

Search This Blog

Loading...