Wednesday, December 5, 2012

Najib Lebih Takut Gagal Mencapai Dua Pertiga Berbanding Kalah Pilihanraya



Ucapan Najib di perhimpunan UMNO baru-baru ini, baik dalam ucapan dasar mahupun ucapan penggulungan jelas menggambarkan ketakutan beliau menghadapi pilihanraya akan datang. Intipati ucapan, riak wajah dan bahasa tubuhnya jelas menggambarkan hakikat itu.



Meski beliau cuba melawak, tersenyum dan mempamerkan wajah gembira tetapi garis-garis ketakutan itu boleh dilihat dan difahami oleh sesiapa saja yang mendengar ucapannya yang banyak aksi meneran dan menjerit itu.

Walaupun Zahid Hamidi ketika ucapan penggulungan cuba "melambung" beliau dengan mendedahkan suatu hasil kajian yang dilakukan oleh seorang pensyarah UiTM kononnya sokongan kepada Najib dan kerajaan kini sudah mencapai lebih 70 peratus dan pengundi atas pagar hanya 17 peratus, namun Najib kelihatan tidak gembira mendengar puji-pujian itu.

Beliau hanya selamba dan seolah-olah tidak terasa apa-apa dengan gambaran yang diucapkan Zahid itu. Jika orang lain, mungkin sudah cukup gembira dan kepala menjadi besar dengan hasil kajian yang diumumkan Zahid itu. Tetapi tidak dengan Najib kerana ada ketakutan lain sedang bersarang di kepalanya.

Malahan ketika berucap kemudiannya, Najib seperti memperlekehkan hasil kajian yang diumumkan Zahid itu dengan mengatakan sepatutnya sesuatu kajian harus melontarkan soalan cepumas yang berbunyi "Jika tidak dicalonkan, apakah akan terus menyokong parti?"

Najib juga kemudiannya memanggil ketiga-tiga Naib Presiden itu dengan gelaran "tiga ekor Naib Presiden" iaitu suatu gambaran bahawa Najib sebenarnya tidak cukup gembira dengan prestasi mereka dan panggilan ekor itu menggambarkan gelaran untuk seseorang yang belum cukup matang atau masih kebudak-budakkan.

Walaupun Najib kemudiannya cuba mengendurkan keadaan dengan menyebut "tiga ekor yang akur", hakikatnya Najib tidak gembira dengan prestasi dan mutu ucapan penggulungan ketiga-tiga Naib Presiden itu yang disifatkan oleh banyak pihak masih dibawah paras yang sepatutnya bagi seseorang pemimpin yang menduduki kerusi Naib Presiden UMNO.

Ramai juga memberi pandangan mutu ucapan ketiga-tiga Naib Presiden kali ini menggambarkan bahawa UMNO sebenarnya sudah ketandusan pemimpin yang berkualiti dan berwibawa. Mutu ucapan Zahid, Hishammuddin dan Shafie tidak berupaya menambahkan keyakinan rakyat, pengundi atas pagar dan generasi muda bahawa UMNO ini boleh bergerak dengan lebih cemerlang di masa hadapan.

Dengan Najib melontarkan soalan cepumas itu kepada semua ahli pemimpin UMNO, ia menggambarkan ketakutan Najib ialah sabotaj di kalangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Walaupun mungkin sabotaj itu boleh menyebabkan UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya akan datang tetapi Najib jelas lebih takut sabotaj yang sama menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga.

Najib sebenarnya lebih takut gagal mencapai majoriti dua pertiga berbanding UMNO dan BN kalah terus dalam pilihanraya.

Bermula dengan ucapan dasar dan kemudian disimpulkan dalam ucapan penggulungan, penekanan terhadap pencapaian majoriti dua pertiga itu nampaknya begitu ditekankan. Ia disebut berulang kali, melebihi penekanan tentang peri mustahaknya UMNO dan BN terus dikekalkan sebagai kerajaan.

Meskipun kekalahan UMNO dan BN adalah sesuatu yang pahit tetapi Najib lebih risaukan kedudukan dirinya berbanding UMNO itu sendiri. Jika UMNO kalah dan BN hilang kuasa sebagai kerajaan, kepahitan dan sengsara yang dialami boleh dikongsi dengan orang lain.

Najib mungkin boleh menyalahkan timbalannya, Muhyiddin yang kurang bekerja keras sebagai punca kekalahan. Beliau juga boleh menyalahkan Naib-Naib Presiden UMNO yang masih gagal meraih sokongan rakyat sewajarnya meskipun sudah diberi jawatan dalam kementerian-kementerian yang kanan. Lebih dari itu, Najib juga boleh menyalahkan pemimpin dan ahli-ahli UMNO lainnya yang tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh serta memantapkan perpaduan sebagai punca utama tewasnya UMNO.

Dalam masa yang sama, jika UMNO tumbang Najib juga boleh menyalahkan Pak Lah kerana mewariskan kerajaan yang lemah kepadanya. Beliau juga boleh menyalahkan Tun Mahathir kerana terlalu banyak bercakap sehingga membuatkan rakyat benci dan menolak UMNO serta kerajaan.

Pendeknya jika UMNO kalah, pelbagai pihak boleh dipersalahkan oleh Najib. Beliau tidak akan keseorangan menanggung sengsara kekalahan itu kerana ia boleh dikongsi dengan pelbagai pihak lainnya.

Tetapi jika sekadar gagal mencapai majoriti dua pertiga, Najib seorang diri yang akan dipersalahkan dan beliau bakal menanggung sengsaranya keseorangan. Dengan gagal melepasi garisan dua pertiga, hanya Najib seorang diri yang akan dipersalahkan sebagaimana Pak Lah dipaksa dengan peralihan kuasa bila gagal mengekalkan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya 2008 lalu.

Dalam pasukan bolasepak pun, apabila sesebuah pasukan gagal mengekalkan kejuaraan biasanya hanya pengurus yang dipecat. Rombakan besar-besaran melibatkan pengurus dan pemain hanya biasa dilakukan apabila sesebuah pasukan itu kalah berpanjangan atau turun ke divisyen dua. Itulah lumrah kehidupan sebenarnya.

Dengan menekankan tentang mustahaknya mencapai kejayaan dua pertiga, Najib sebenarnya lebih memikirkan tentang nasib dirinya berbanding UMNO itu sendiri. Sebab itu beliau mahu perpaduan dikekalkan dan sabotaj parti dielakkan.

Jika boleh, beliau bukan saja mahu sabotaj dielakkan untuk memastikan BN melepasi garisan dua pertiga, malahan jika garisan itu gagal dilepasi, sabotaj yang sama tidak berlaku kepada dirinya dengan memaksanya berundur pula.

Itulah yang sangat-sangat diharapkan oleh Najib. Tetapi oleh kerana UMNO sudah meletakkan kemenangan dua pertiga sebagai penanda aras kejayaan, maka sukar untuk Najib mengelakkan dirinya menjadi "Pak Lah kedua" jika beliau juga gagal mencapai kemenangan dua pertiga.

Yang lebih ditakuti Najib ialah jika yang mula-mula memintanya berundur itu ialah Mahathir sendiri, tokoh yang dianggap sebagai mentornya kini.

Najib sekarang ini bukan saja memuji-muji Mahathir tetapi juga secara terbuka menyatakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih dipantau oleh Mahathir. Dengan meletakkan dirinya sebagai "protege" atau anak didik kepada Mahathir, Najib sekurang-kurangnya berharap bekas PM itu kekal sebagai mentornya dan tidak memaksanya berundur jika keputusan kurang daripada dua pertiga dalam pilihanraya umum nanti.

Sesuatu yang tidak disedari Najib ialah Mahathir bukan saja kaki pantau tetapi juga kaki kuntau. Rekodnya menguntau beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menggambarkan hakikat itu. Beliau mudah percaya pada orang tetapi jika kepercayaan itu sudah hilang, kuntaunya tidak pernah ada belas kasihan.

Hanya kemenangan dua pertiga yang dapat mengelakkan Najib daripada kenapa kuntau, baik oleh Mahathir mahu pun oleh pemimpin-pemimpin UMNO lainnya yang sekarang ini seolah-olah berdiri teguh di belakangnya. Pemimpin UMNO pula memang tabiatnya mudah hilang kesetiaan bila pemimpin utamanya hampir tumbang.

Sebab itu, kegagalan mencapai kemenangan dua pertiga begitu ditakuti Najib berbanding jika UMNO dan BN kalah terus kepada Pakatan Rakyat.

No comments:

Search This Blog

Loading...