Wednesday, May 9, 2012

Isu Scorpene: UMNO patut mengadakan Perhimpunan Agong Khas


Berbagai-bagai isu yang dihadapi oleh PM Najib nampakya tidak pula mendapat pembelaan dari pemimpin partinya dengan jelas. Pemimpin-pemimpin besar UMNO tidak ada yang kehadapan untuk mempertahankan Najib dalam isu Scorpene.yang Najib dikatakan terlibat secara terus. Pendakwaraya di Perancis telah memberitahu Suaram yang Najib pernah meminta USD 1 billion untuk dimasukkan ke akaun Paremekar Sdn Bhd sebagai syarat untuk DCNI bertemu dengan beliau di Paris. Kenyataan pihak pendakwa itu amat serius kerana ia melibatkan ketua negara sebuah negara yang dikatakan berdaulat ini.
Selalunya jika ada apa-apa tuduhan dan kenyataan yang disebut sebagai salah laku pemimpin kita, akan bertalu-talulah pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan membela yang dilibatkan itu. Najib nampaknya kesaorangan dan tidak ada menteri-menteri dan ahli-ahli jemaah kabinetnya mengeluarkan kenyataan mempertahankan Perdana Menteri yang telah melantik dan diberi tanggungjawab oleh Najib. Tidak ada satu pun media perdana menyentuh isu dakwaan terhadap Najib ini. Saya telah membeli Utusan untuk menyemak samada akhbar organ UMNO itu menyentuh isu ini atau tidak.
Tuduhan ini amat serius dalam masa Najib sedang berhempas pulas untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat yang telah jelas tidak lagi memberikan dukungan yang pernah diperolehi oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum beliau. Rakyat sedang menunggu reaksi Muhyiddin Yassin, sepupu Najib, Hishamuddin Husein serta panglima-panglima Najib yang lain.
Saya tidak tahu kenapa UMNO tidak membuat perhimpunan Agong Khas untuk menangani isu ini dan membuat keputusan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap  Presidennya yang sedang menghadapi berbagai-bagai cobaan dan masalah yang besar sejak akhir-akhir ini. Mendiamkan diri dalam isu ini bermakna bersetuju dengan tuduhan pendakwa di negara Perancis itu. Persidangan khas untuk menangkis isu ini amat wajar diadakan dengan segera.
Lepas satu isu datang lagi isu-isu yang berat yang menghadapi Najib dan sikap ramai pemimpin-pemimpin tertinggi parti sekarang ini seolah-olah ada perancangan untuk membiarkan Najib menghadapi isu kepimpinan seorang diri sahaja. Saya mencadangkan supaya Majlis Tertinggi bermesyuarat dan mengeluarkan kenyataan resmi tentang pendirian parti keatas isu yang dihadapi oleh seorang Perdana Menteri negara kita ini.
Ini melibatkan isu dan tuduhan rasuah seorang Perdana Menteri sebuah negara merdeka. Najib bukannya pemimpin kecil. Beliau seorang Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai kuasa memasukkan dan mengeluarkan sesiapa yang beliau suka ke penjara. Najib bukannya Presiden Filipina yang mana seorang Presiden boleh dihadapkan ke Mahkamah di atas berbagai-bagai masalah.
Perdana Menteri Malaysia adalah kebal dari tindakan undang-undang dan boleh melakukan apa yang beliau suka walaupun kerja-kerja jenayah yang besar-besar. Yang tidak boleh lari dari tindakan mahkamah ialah mata-mata (Polis) yang menerima rasuah dua tiga ratus atau pun kerani pejabat tanah yang menerima suapan dua ratus ringgit.
Berbalik kepada tuduhan pendakwa Perancis yang telah menghantar kandungan komunikasi Najib dengan DCNI itu tentang permintaan USD 1billion oleh Najib itu kepada Suaram amat memberi kesan yang amat buruk kepada negara.
Rakyat mahu melihat pemimpin-pemimpin politik UMNO dan BN mengeluarkan kenyataan dan menzahirkan pendirian mereka terhadap isu yang melibatkan Perdana Menteri kita. Reaksi barisan pimpinan kita amat penting kerana ia melibatkan maruah negara kita. Yang dinamakan sebagai seorang yang terlibat dalam isu sensitif ini ialah Perdana Menteri negara yang berdaulat dan merdeka.
Dengan berdiam diri boleh ditakrifkan yang pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO dan BN mempunyai kepercayaan yang kuat yang apa yang dikatakan oleh pendakwa di Paris itu adalah benar belaka. Jika itulah pandangan barisan kepimpinan UMNO maka yang kita tunggu ialah untuk melihat bagaimana Najib akan disingkir atau tersingkir dari jawatan yang amat beliau perlukan untuk dikekalkan.
Itulah sebabnya blog ini selalu mengingatkan Najib yang penting beliau uruskan ialah pemimpin-pemimpin dalam partinya sendiri; bukannya menumpukan perhatian kepada parti-parti pembangkang.
Najib perlu sedar yang musuh yang terang dihadapan beliau tidak begitu merbahaya untuk beliau. Yang lebih bahaya ialah ular-ular sawa yang sedang mengintai-ngintai untuk mematuk dan membelit beliau.
Sesungguhnya Najib adalah seorang pemimpin yang dalam kesunyian. Beliau kesaorangan. Beliau nampaknya akan mengalami apa yang dialami oleh Abdullah Badawi. Sejarah Abdullah akan berulang.
Apabila saya memikirkan bermacam isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini dengan mendalam, saya merasakan saya telah bersama dengan beberapa orang yang lain telah melakukan yang terbaik dengan menyertai DAP. Parti ini tidak ada masalah kepimpinan yang dipersoalkan kewibawaan  mereka seperti yang berlaku terhadap ramai kepimpinan BN.
Bagi mengelak dan menjauhi diri dari kumpulan yang tidak bermoral ini, keluar dari UMNO itu merupakan satu-satunya jalan yang ada kepada kita semua. Ramai yang tidak faham lagi sikap dan sifat kepimpinan UMNO. Bercakap berderai-derai tentang Islam tetapi apa yang dilakukan mereka semuanya anti dan bersalahan dengan syariat Islam. Itulah namanya sifat hipokrit
Bagi mereka yang tetap imannya mereka boleh berada dimana-mana kerana orang yang beriman itu seperti ikan yang hidup dilautan yang dalam dan masin. Ikan yang hidup tidak akan rasa masin jika dikeluarkan dari lautan yang masin itu. Ikan yang jenis ini adalah ikan segar dan begitu enak dimasak dan di gulai.
Sebaliknya kepada ikan yang telah mati (tidak berjiwa lagi) jika dikeluarkan dari lautan dan dijemur akan menjadi ikan kering masin. Ikan masin hanya sedap dijadikan perasa di dalam masakan sayuran kangkong dan kailan sahaja.  Maksud saya pimpinan UMNO sudah tidak berjiwa lagi.

Dalam isu Scorpene ini UMNO patut memanggil Persidangan Agong khas untuk menyelesaikan isu ini secara resmi. Yang dituduh itu bukannya Mat Rempit. Beliau adalah Perdana Menteri.

No comments:

Search This Blog