Diriwayatkan oleh At-Thabrani dari Abdullah bin Salam r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di antaranya Ali bin Abi Thalib r.a.
Tiba-tiba datang menemui
beliau seorang Badwi dengan berkenderaan, lalu berkata; "Ya Rasulullah.
di kampung itu ada sekumpulan manusia yang sudah memeluk Agama Islam
dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam, mereka akan mendapat rahmat
dan rezeki dari Allah. Tetapi sesudah mereka semua peluk Islam,
terjadilah musim kering dan panas yang bersangatan sehingga mereka
ditimpa bahaya kelaparan.
Saya khuatir ya
Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam kerana soal
perut, kerana mereka memeluk Islam juga adalah kerana soal perut. Saya
ingin agar kepada mereka engkau kirimkan bantuan untuk mengatasi bahaya
kelaparan yang menimpa mereka itu."
Mendengar keterangan
itu. Rasulullah s.a.w lalu memandang Ali bin Abu Thalib. Ali mengerti
maksud pandangan itu sambil berkata, "Ya Rasulullah, tidak ada lagi
bahan makanan pada kita."
Zaid bin Sanah,
seorang Pendita Yahudi yang turut mendengarkan laporan orang Badwi dan
jawapan Ali bin Abu Thalib lalu mendekatkan dirinya kepada Rasulullah
s.a.w dan berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau suka, akan saya belikan
kurma yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli padaku dengan hutang
dan dengan perjanjian begitu, begini."
Berkata Rasulullah
s.a.w, "Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau berharap aku berhutang
kepadamu tetapi belilah kurma itu dan berilah kami pinjam dari engkau."
"Baiklah." jawab Zaid bin Sanah.
Zaid bin Sanah pun
membeli buah kurma yang baik-baik lalu menyerahkan kepada Rasulullah
s.a.w dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan dibayar kembali
dalam jangka waktu yang tertentu pula. Sebaik saja Rasulullah s.a.w
menerima kurma itu, lalu diarahkan supaya buah kurma tersebut diserahkan
dan dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung yang ditimpa bencana
itu.
Berkata Zaid bin Sanah,
"Dua atau tiga hari sebelum tiba tempoh perjanjian pengembalian pinjaman
seperti yang ditetapkan dalam perjanjian itu, Rasulullah s.a.w keluar
menziarahi orang mati bersama Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa orang
sahabat yang lain.
Setelah selesai
menyembahyangkan jenazah tersebut, Rasulullah s.a.w pergi ke suatu sudut
untuk duduk lalu saya menghampirinya dengan memegang erat-erat bajunya
dan berkata kepadanya dengan sekasar-kasarnya. "Hai Muhammad, bayar
hutangmu kepadaku, aku tahu bahawa seluruh keluarga Abdul Mutalib itu
selalu melengah-lengahkan masa untuk membayar hutang!"
Mendengar kata-kataku
yang kasar itu, wajah Umar bin Khattab merah padam kemarahannya, lalu
berkata, "Hai musuh Allah, engkau berkata begitu kasar terhadap
Rasulullah dan berbuat tidak sopan. Demi kalau tidak kerana rasa
hormatku terhadap Rasulullah s.a.w yang berada di sini, sungguh tentu
akan ku potong lehermu dengan pedangku ini."
Rasulullah memandang
Pendita Yahudi tersebut dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu
berkata kepada Umar, "Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang
piutang yang belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar
hutang itu dan menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut
hutangnya. Hai Umar, pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma,
bayarlah hutang itu kepadanya dan tambahlah 20 gantang sebagai hadiah
untuk menghilangkan rasa marahnya."
Setelah Umar membayar
hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu Zaid bin Sanah pun bertanya
kepada Umar, "Kenapa ditambah hai Umar?" Berkata Umar, "Diperintahkan
oleh Rasulullah s.a.w tambahan ini sebagai imbangan kemarahan engkau."
"Hai Umar, kenalkah engkau siapa aku?" Tanya Zaid bin Sanah. "Tidak." Jawab Umar.
"Akulah Pendita Zaid bin Sanah."
"Engkau ini Pendita Zaid bin Sanah?" Tanya Umar agak terkejut. "Ya." Jawab Zaid bin Sanah ringkas.
"Kenapa engkau berlaku
demikian rupa terhadap Rasulullah s.a.w? Engkau berlaku begitu kasar dan
begitu menghina?" Tanya Umar lagi.
Zaid bin Sanah menjawab,
"Hai Umar, segala tanda kenabian yang aku dapati dalam kitab Taurat
sudah aku temui pada diri Rasulullah itu. Selain dua perkara yang aku
sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah iaitu bahawa
perasaan santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya. Makin marah
orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang
yang marah itu.
Dengan kejadian itu hai
Umar yang sengaja diatur, aku sudah tahu dan lihat sendiri kedua sifat
itu terdapat pada diri Muhammad itu. Aku bersumpah di depanmu hai Umar,
bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha dengan Allah sebagai Tuhanku,
Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabi dan ikutanku."
Umar dan Zaid bin Sanah
pun kembali mendapatkan Rasulullah s.a.w. Sebaik saja berhadapan dengan
Rasulullah s.a.w, lalu berkata Zaid bin Sanah, "Aku bersaksi bahawa
tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba
Allah dan rasulNya."
Zaid bin Sanah turut
berjuang dan bertempur bersama Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin hampir
di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di medan Perang Tabuk.
Demikianlah caranya
bagaimana Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi menganut Agama Islam ,
beriman dengan Rasulullah s.a.w dan bersumpah akan membela Islam
sehingga akhir hayatnya.
No comments:
Post a Comment