Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
selesai mengadakan pertemuan dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
memberitahu Mursyidul Am Pas itu telah menerima penjelasan berkenaan
pendiriannya berhubung negara Israel seperti yang disiarkan akhbar Wall
Street Journal (WSJ).
Menurut Anwar, dalam
pertemuan kira-kira satu jam itu, beliau telah menjelaskan kepada Nik
Aziz secara terperinci berhubung pendiriannya bersabit isu Israel
termasuk kontroversi mengenainya yang dimainkan oleh media UMNO-Barisan
Nasional.
"Tok Guru dengar dan dia faham pendirian
saya dan saya pun faham pertimbangan Pas yang cukup tegas dan keras
dalam soal Israel dan saya jelaskan bahawa jangan ada salah tafsiran
tentang pengiktirafan Israel kerana itu tidak berbangkit kerana selagi
syarat-syarat tidak dipenuhi," katanya.
"Jadi
saya rasa baik.. saya telah memberikan penjelasan sedikit sebanyak dalam
hal keraguan tentang hal ini. Tetapi akhirnya saya beritahu saya juga
tunduk kepada kehendak Hamas dan Fatah sepertimana yang dirundingkan di
Doha dua minggu yang lalu atas inisiatif Hanif Qatar," katanya.
Nik
Aziz sebelum ini menggesa Anwar menyaman akhbar WSJ jika ia tersalah
lapor atau meminta akhbar itu menarik balik kenyataan berhubung isu
Israel yang ditegaskan oleh Anwar dalam satu wawancara khas bersama
akhbar itu.
Bagaimanapun Anwar bertegas tidak
akan menyaman akhbar itu atau meminta akhbar itu menarik balik kenyataan
yang dikeluarkan ekoran pendirian Anwar dalam isu Israel itu disiarkan
penuh.
Sebaliknya Anwar mendakwa media
UMNO-Barisan Nasional tidak mengeluarkan petikan penuh berhubung
pendiriannya itu sehingga mengelirukan rakyat.
No comments:
Post a Comment