| 
 Di
 bawah Rancangan Malaysia ke 9 (9MP) pada 2006, NFC disasarkan sebagai 
‘Projek berimpak tinggi’ dengan objektif mencapai 40% keperluan daging 
lembu negara pada 2010. Kerajaan Tun Abdullah Badawi telah menyediakan 
dana sebanyak RM4.4 bilion untuk memodenkan sektor pertanian dan 
penternakan di bawah 9MP.
 
 
 Pada bulan Mac 2007, Kementerian 
Pertanian di bawah timbalan perdana menteri kini, Tan Sri Muhyiddin 
Yassin telah memilih dua syarikat untuk menguruskan NFC. Mereka adalah 
Agro Science Industries Sdn Bhd dan Lambert Malaysia Sdn Bhd dengan Agro
 diberi tanah seluas 2,000 hektar dan Lambert diberi 200 hektar tanah 
untuk memulakan projek. NFC juga mendapat dana sebanyak RM73.64 juga 
daripada kerajaan Malaysia (GOM) untuk membangunkan projek tersebut.
 
 Pada
 Disember 2007, kerajaan telah meluluskan satu pinjaman mudah (soft 
loan) dengan hanya 2% faedah untuk tempoh 10 tahun berjumlah RM250 juta 
kepada National Feedlot Corp Sdn Bhd, satu syarikat usahasama (JV) 
antara Agro Science Industries Sdn Bhd and GOM untuk memulakan projek 
tersebut di Gemas, Negeri Sembilan, sebagai langkah pertama dalam pelan 
membawa Malaysia untuk mengurangkan penggantungan terhadap import daging
 lembu dengan sasaran permulaan 60,000 anak lembu setiap tahun. Pada 
masa tersebut, Malaysia sedang mengimport sebanyak 80% keperluan daging 
lembu negara.
 
 Pada Februari 2008, NFC menerima 1,000 anak lembu pertama dari Australia.
 
 Pada
 Julai 2008, setelah lima bulan beroperasi, NFC telah mengumumkan bahawa
 syarikat tersebut akan sasar 28% tampungan keperluan daging lembu 
negara pada 2010, kurang daripada 40% yang ditetapkan oleh GOM di bawah 
9MP.
 
 Pada Mac 2010, NFC pula menyatakan bahawa mereka boleh 
mencapai 40% tampungan keperluan negara pada 2015, lima tahun lebih 
lewat daripada yang jangkaan.
 
 Pada October 2011, Jabatan Audit 
Negara telah mengemukakan laporan Ketua Audit Negara 2010 (yang 
terlewat) yang membongkar pembaziran belanja jabatan-jabatan kerajaan 
serta kelemahan-kelemahan pentadbiran kerajaan yang menyebabkan jumlah 
hutang dan defisit kerajaan persekutuan meningkat.
 
 Salah satu 
perkara yang ditegur ialah projek NFC di mana audit antara Januari dan 
Mac 2011 telah mendedahkan bahawa objektif NFC gagal dipenuhi kerana 
pembangunan untuk 130 usahawan perintis di bawah Program Pembangunan 
Usahawan tidak dilaksanakan dan kontrator utama telah menarik diri 
daripada projek tersebut pada tahun 2008.
 Selain itu, NFC turut 
didedahkan hanya mampu menghasilkan 3,289 anak lembu pada 2010 daripada 
jangkaan 8,000 dan audit menegur keseluruhan operasi NFC dalam keadaan 
‘kelam-kabut’.
 
 Pada November 2011, barisan pembangkang mula 
mendedahkan penyelewengan kewangan di dalam NFC, di mana NFC didakwa 
telah memberikan pinjaman sebanyak RM84 juta kepada syarikat kepunyaan 
suami Ketua Wanita Umno dan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 
Shahrizat Abdul Jalil, dan pengerusi NFC Dr Mohamad Salleh Ismail. 
Pembangkang turut mendakwa NFC telah menggunakan dana untuk:
 
 1.    
 membeli kondo mewah di Bangsar yang berharga RM9,758,140 (selepas itu, 
ia didedahkan bahawa NFC telah membeli dua kondo mewah di One Menerung 
Bangsar pada harga RM6.9 juta setiap satu)
 
 2.     dua tanah di Presint 10 Putrajaya berharga RM3,363,507
 
 3.     Mercedes Benz CLS 350 CGI berharga RM534,622 (melalui National Meat and Livestock Corporation)
 
 4.     Memindahkan dana sebanyak RM588,585 kepada Meatworks (Singapore) Pty Ltd.
 
 (National Meat and Livestock Corporation dan Meatworks adalah kepunyaan keluarga Shahrizat Jalil).
 
 5.    
 NFC turut telah mengeluarkan 15 cek daripada akaunnya di CIMB Islamic 
Bank Berhad di Taman Tun Dr Ismail kepada agensi pelancongan Impian 
Global Network Services untuk tempoh tujuh bulan (tiap-tiap bulan) 
sebanyak RM455,423.
 
 Ketika ditanya, Shahrizat memberitahu bahawa beliau tiada apa-apa kaitan dengan skandal NFC.
 
 “Saya
 tidak akan menjelaskan (isu NFC), tapi saya mempunyai dua mesej utama 
yang ingin disampaikan ketika perhimpunan Agong Wanita Umno. Sila 
tunggu. Sebagai pemimpin, kita mesti bersabar dan tenang dan jangan 
menjadi histeria dengan senang. Jika ada sesiapa yang ingin bertanya 
pasal NFC, mereka harus bertanya pada orang NFC. Saya hanya akan fokus 
pada Wanita Umno.”
 
 Pengerusi NFC ialah Datuk Dr Mohamad Salleh 
Ismail (suami beliau), Pengarah Eksekutif NFC pula ialah Wan Shahinur 
Izmir (anak beliau, umur 31), Ketua Eksekutif NFC ialah Wan Shahinur 
Izran (anak beliau juga, 27) dan Pengarah NFC ialah Wan Izzana Fatimah 
(anak beliau, 25).
 
 Semasa NFC membeli kondo mewah pada 2 Disember
 2009 untuk RM9.8 million, dilaporkan NFC dalam kerugian RM11 juta dalam
 akaun tahunannya. Turut dilaporkan pengerusinya menerima gaji sebanyak 
RM100,00 sebulan, pengarah eksekutif RM45,000 sebulan, ketua eksekutif 
RM35,000 sebulan dan pengarah satu lagi pun RM35,000 sebulan.
 
 Semasa
 orang yang dilahirkan di Kuwait dan belajar di Oxford, ketua pemuda 
Umno Khairy Jamaluddin datang cuba menyelamatkan Shahrizat, beliau 
menyatakan bahawa ia adalah satu ‘keputusan perniagaan yang bijak’ untuk
 National Livestock and Meat Corporation untuk ‘melabur’ dalam banglo 
mewah daripada membiarkan duit rakyat dibiarkan duduk diam dalam akaun 
bank dan tiada masalah dalam pembelian tersebut.
 
 Semasa Menteri 
Pertanian kini, Datuk Seri Noh Omar (kalau sesiapa  yang ingat kenyataan
 “jika orang asing rasa polis Malaysia kejam, tolong balik ke negara 
mereka dan jangan tinggal di sini”) ditanya mengenai ketidakupayaan NFC 
untuk mencapai sasaran 8,000 lembu, beliau menjawab NFC sememangnya 
sudah mencapai lebih daripada 8,000 lembu di antara 2008 hingga 2010, 
sambil berkata projek tersebut adalah berjaya.
 
 Beberapa hari 
selepas itu, Menteri Pertanian itu menukar kenyataan beliau dan berkata 
NFC hanya perlu menyembelih sebanyak 5,742 ekor lembu sebelum hari 
terakhir tahun ini (sebenarnya 8,000 tolak 3,289 ialah 4,711) dan projek
 tersebut akan dikategorikan sebagai amat berjaya kerana mencapai 
sasaran.
 
 Apabila laporan dibuat oleh Pemuda PKR Penang ke SPRM, 
agensi tersebut menolak kes tersebut kepada PDRM sambil menyatakan 
bahawa, “Kes ini telah dirujuk kepada polis kerana kesalahan tersebut 
tidak terletak di bawah bidang kuasa SPRM di bawah Akta SPRM 2009.”
 
 Semasa
 Datuk Mohamad Salleh disoal PDRM berkenaan dengan dua kondo mewah, 
beliau menyatakan dua kondo tersebut sedang disewa kepada dua syarikat 
minyak dan gas yang berlainan sebagai tempat penginapan kepada pakar 
asing dan NFC menerima RM75,000 sebulan sebagai sewa – di mana satu 
mendapat RM18,000 sebulan dan satu lagi mendapat RM57,000 sebulan 
(walalupun satu banglo seluas 27,000 kaki persegi yang dilengkapi dengan
 kolam air dan spa di Kenny Hills tidak mampu mendapat sewa RM57,000 
sebulan). Angka tersebut kemudian diubah kepada RM18,000 sebulan untuk 
dua unit, akan tetapi PDRM tetap tidak nampak apa-apa kesalahan terhadap
 dua jawapan berbeza tersebut.
 
 Pada 2 Disember yang lalu, 
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Bakar telah mengeluarkan satu 
kenyataan polis bahawa siasatan polis setakat ini tidak menunjukkan 
sebarang unsur pecah amanah dalam pentadbiran Pusat Feedlot Kebangsaan 
(NFC). Tindakan ini agak mengelirukan kerana Polis Diraja Malaysia 
(PDRM) dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap apa-apa 
siasatan sebelum ia diselesaikan. PDRM juga mengakui bahawa mereka belum
 memanggil Shahrizat untuk soalsiasat walaupun beliau merupakan watak 
utama dalam kontroversi ini.
 
 Kepada yang tidak mengikuti kes NFC,
 projek ini pertama kali dicadangkan pada 2003 oleh Dr Rosli Mai Lam 
daripada Lazuli Sdn Bhd, yang kini masih menjadi rakan dalam projek ini.
 Dr Rosli daripada Lazuli, seorang yang terkenal dalam industri ini, 
ialah pembekal anak lembu dan ternakan hidup yang lain kepada sesiapa 
yang memasuki industri ini di Malaysia.
 ------------------------------
 | 
No comments:
Post a Comment