Friday, December 23, 2011

BENAR, Wang Zakat Diguna Bayar Kos Guaman Menteri - Audit Negara



Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain.

Kos guaman itu adalah bersabit kes tuntutan qazaf oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan jumlah tersebut telah dikembalikan selepas MAIWP menerima geran RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran, elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan.

Menurut laporan tersebut, Che Mat telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010, daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurutnya lagi, pada 29 April 2010, MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah RM32,150 juga menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu.

Laporan itu menyebut, MAIWP melantik firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir mewakili mereka atas pegangan jawatan mereka dalam MAIWP.

Laporan Audit Negara menjawab soalan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) yang dipengerusikan Datuk Seri Azmi Khalid, oleh tiga ahli parlimen - Saifuddin Nasution Ismail (Machang), Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Jawapan Azmi yang melampirkan laporan Audit Negara itu bertarikh 14 Disember, dan disiarkan dalam blog Nurul Izzah.

Laporan itu menyebut bahawa peruntukan wang zakat yang didahulukan itu, telah dibayar balik sebelum penutupan akuan MAIWP tahun 2010 dan telah disahkan oleh pihak audit. mk

Laporan sebelum ini

Jamil Khir, Pengarah Jawi guna RM32 ribu wang zakat biaya kos guaman

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mempersoal salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM32 ribu.

Jumlah itu dikatakan dikeluarkan bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

Perkara itu didedahkan sendiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah semalam mengakui yuran guaman Jamil Khir dan Che Mat Ali dibayar dengan wang peruntukan berkenaan.

Kedua individu itu sebelum ini diambil tindakan mahkamah kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam kes Qazaf membabitkan kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada amanah rakyat, Saifuddin berkata, Che Mat Ali yang juga merangkap Setiusaha Jawi telah memohon dan meluluskan sendiri penggunaan wang zakat berkenaan.

“Datuk Che Mat Ali meluluskan kepada Datuk Che Mat Ali. Itu dari segi tata kelolanya, jelas (salah) ,” kata Saifuddin ketika sidang media di parlimen hari ini.

Menurutnya lagi, dari segi hukum agama juga, kedua individu berkenaan tidak tergolong dalam kategori mereka yang layak menerima wang zakat.

“Apakah Menteri dan Pengarah Jawi termasuk dalam asnaf yang lapan, yang layak menerima zakat? Sudah tentulah jawapannya sangat terang, tidak,” tegas Saifuddin.

Justeru, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan Ketua Audit Negara menyiasat salahguna wang itu kerana individu yang sama memohon dan meluluskan peruntukan wang itu.

“Dari segi undang-undang yang memohon dan meluluskan orang yang sama, jadi kita minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara untuk menyiasat,” kata Saifuddin.

1 comment:

Yong said...

Macam pencuri ambik, lepas itu takut pulangkan balik barang yang dicuri. Ha...ha...ha...

Search This Blog