"Babi sedapkah?"
"Apa rasanya?"
Apabila
saya menceritakan kepada suami cara memasak 'Tao-Yu Bak' (Daging Babi
masak kicap), resipi yang diwarisi daripada nenek saya, wajahnya akan
berubah, geli gelaman dan loya. Biasalah orang Melayu, dibesarkan dari
kecil untuk membenci babi. Tapi bagi saya yang hidup makan daging babi
selama lebih 3 dekad, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sudah tahu
tekstur daging itu, dan sudah boleh bezakannya daripada daging ayam
serta lembu.
Setiap
kali juga, apabila ditujukan soalan tentang pemakanan daging ini oleh
mereka yang baru memeluk Islam kepada mereka yang lahir Islam,
kebiasaannya akan disuruh elak. Haram makan makanan tidak halal. Dosa
besar.
Tapi
bagaimana nak elak makan sekiranya mualaf itu masih tinggal dan
bergantung kepada keluarganya yang bukan Islam, serta sudah menjadi
kebiasaan makan bersama? Nak makan daging? Daging bagi keluarga Cina dan Hindu adalah daging babi, bukan daging lembu. Mana boleh makan, haram. Nak makan ayam yang tidak disembelih cara Islam, haram juga.
Habis
nak makan apa? Ikan? Tapi.. kata ustaz kalau makanan dimasak dalam
periuk atau kuali yang tidak disamak tetap haram hukumnya. Tidak boleh
dimakan.
Ahhh, dilema yang dihadapi ramai mualaf yang masih belum mengkhabarkan pengislaman mereka kepada keluarga masing-masing.
Mengapa belum?
Kerana
kebanyakan mereka golongan pelajar sekolah dan kolej, mahasiswa, atau
yang tidak ada pendapatan tetap atau kediaman lain. Mereka yang
bergantung kepada keluarga untuk sara hidup, pendidikan dan tempat
perlindungan.
Bila mereka nak beritahu keluarga bahawa mereka dah Islam?
Entah,
mereka masih mencari jalan. Masih berikhtiar untuk menyampaikan berita
tersebut dengan lembut. Kerana tahu bahawa kelaurga tidak akan merestui
pengislaman mereka.
Perlu
mengambil masa, agar tidak terputus hubungan kekeluargaan. Agar ibu
bapa yang sudah tua dan uzur tidak diserang sakit tenat akibat terkejut
dan sakit hati dengan berita tergempar itu.
Tapi
bagaimana mereka nak hidup sebagai orang Islam kalau belum beritahu
keluarga? Kalau sudah peluk Islam, kenalah beritahu. Haram makan makanan
tidak halal. Wajib mengerjakan solat. Kena puasa pada bulan Ramadhan.
Yang wanita, perlu jaga aurat. Apa status mereka?
Itulah
masalahnya. Anda dilahirkan sebagai sebagai orang Islam, anda tak alami
sendiri masalah mereka yang baru memeluk Islam. Mereka yang kita gelar
'closet Muslim' atau 'mualaf sembunyi' kerana belum mengisytiharkan
pengislaman mereka. Ramai yang muda belia. Mereka berani kerana memeluk
Islam setelah belajar Islam dan benar-benar yakin bahawa Islam agama
benar, dan walaupun mereka mungkin menghadapi amcaman dihalau oleh
keluarga masing-masing dan ditamatkan pembiayaan pengajian kolej atau
universiti sekiranya keluarga mereka mengetahuinya.
Mereka
ini semakin ramai tetapi kerana ada yang belum mendaftarkan diri
sebagai orang Islam di jabatan agama Islam, kita tiada data. Tak dapat
dikesan kecuali mereka sendiri memberitahu.
Makanan?
Terpaksalah mereka pandai-pandai pilih makanan yang halal. Berusaha
mengelak daripada makan daging babi bila bersama keluarga. Kita boleh
dengan mudahnya berkata bahawa berdosa makan makanan yang tidak halal
tetapi ingatlah bahawa mereka yang baru berstatus mualaf "sembunyi"
tidak ada banyak pilihan, terutama bagi mereka yang keluarganya kuat
beragama atau berpegang pada adat resam. Mengaku orang Islam bermakna
bakal dihalau dari rumah, terputus hubungan kekeluargaan untuk sementara
waktu, dan akan mengakibatkan keluarga sendiri dipulaukan dan dikecam
hebat oleh jiran dan saudara mara yang juga bukan Islam.
Solat?
Yang sudah belajar akan cuba lakukan secara sembunyi-sembunyi. Satu
risiko. Yang muslimah, mungkin terpaksa solat dengan skaf panjang dan
kain batik menggantikan telekong kerana kain telekong bukti nyata bahawa
mereka sudah Islam. Yang belum pandai solat dan berisiko tinggi, hanya
mampu berzikir dan berselawat.
Puasa?
Sama juga, yang dapat berpuasa akan berusaha untuk puasa. Yang sudah
menjadi kelaziman makan tengah hari dengan keluarga, tahu-tahu sahaja.
Sudah tentu mereka sedih kerana tidak mampu berpuasa seperti muslim yang
lain. InsyaAllah, mereka akan bayar fidyah apabila berjaya hidup bebas
nanti.
Sampai bila nak diamkan diri? Hidup dalam kepuraan? Mereka kena beritahu keluarga!
Sampai
mereka bersedia untuk memberitahu. Atau sehingga Allah swt tentukan
sendiri bahawa masanya sudah tiba untuk keluarga mengetahuinya. Kalau
anda anggap hidup dengan membohongi keluarga tersayang sebagai satu
kesalahan dan satu dosa yang tidak patut dilakukan oleh Muslim,
bayangkan pula tekanan batin mereka yang melaluinya.
Kena pilih antara cara hidup Islam dan keluarga yang masih kafir. Menghitung hari sehingga mereka dapat berdikari dan bebas hidup sebagai orang Islam.
Saya
pernah tujukan permasalahan ini kepada beberapa orang kawan dan ustaz
yang saya kenali, yang lahir Islam. Jawapan mereka adalah perlu beritahu
keluarga. Tak ada jalan lain.
Jawapan
saya kepada mereka yang bertanya (pendapat saya), berusahalah hidup
sebagai orang Islam setakat mana yang termampu. Sentiasa berdoa dan
memohon ampun daripada Allah. Elakkan makanan yang tidak halal atau
sekurang-kurangnya kurangkan pengambilan. Dapatkan sokongan moral dan
nasihat mereka yang memahami agar diri tidak terlalu tekanan dengan
kehidupan dua identiti ini. Sambil-sambil itu, berikhtiar juga agar
dapat memberitahu keluarga tentang pengislaman masing-masing dengan cara
terbaik.
Kita
yang sudah Islam selalu beranggapan bahawa tugas membantu golongan
mualaf dan mereka yang berminat pada Islam adalah tugas dan
tanggungjawab NGO dan agensi Islam. Tanggapan itu perlu dikikis kerana
kerap kali, (maafkan saya) pertubuhan begitulah yang sering merosakkan
nama baik Islam. Ada segolongan pegawai yang cepat membuat andaian
(peluk Islam mesti nak kawin, mudah menghukum halal-haram, tak boleh itu
dan ini, kena buat begini kalau tidak tak sah solat bla3), cakap tak
serupa bikin (mewakili nama Islam tetapi bercakap kasar, acuh tak acuh
dan tidak sabar).
Mualaf
'sembunyi' lebih memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan (bagi
yang masih menuntut) supaya mereka lebih bersedia dan berani
mengisytiharkan pengislaman mereka dengan lebih awal. Mereka tidak
perlukan tekanan lagi dengan kita memberitahu bahawa tindakan mereka
terus makan babi bersama keluarga dan meninggalkan amalan lain adalah
berdosa.
Kita
sering menganggap permasalahan mereka sebagai perkara lekeh dan kecil,
yang dibesar-besarkan. Selalu kita tegaskan, kalau dah Islam kenalah
buat cara Islam. Tak alami maka tak ketahui, seterusnya tak fahami, tak dapat berempati.
Ia
sama seperti seorang yang tidak pernah dibedah, tentu sekali tidak akan
tahu bagaimana sakit anggota badan setelah ubat bius habis, betapa
susahnya menjaga luka agar tidak dijangkiti kuman. Hanya boleh membuat
teori dan andaian. Mudah menyalahkan pihak lain dengan tuduhan sengaja
mengada-ngada.
Janganlah kita golongan seperti itu. Letakkan diri kita di tempat mualaf 'sembunyi'. Sekurang-kurang yang boleh kita lakukan adalah mendoakan mereka agar Allah perkuatkan iman mereka.
Sekurang-kurangnya
mereka ini walaupun belum dapat mengisytiharkan diri sebagai orang
Islam, mereka sudah beriman pada Allah swt. Mereka berusaha untuk mendalami Islam, makan makanan halal, mendirikan solat dan puasa. Tidak
seperti golongan tertentu yang beridentitikan Muslim tetapi dengan rela
dan sukacitanya menghirup arak, makan daging babi, meninggalkan solat
dan berpesta makan pada siang Ramadhan.
Nabi
s.a.w mengambil masa bertahun tahun lamanya uantuk membina keimanan dan
akidah. Sedangkan pada waktu itu para sahabat masih lagi meminum
minuman yang mengharamkan dan memakan makanan yang mengharamkan.
Contohnya ada sahabat yang bersolat dalam keadaan mabuk tetapi Nabi
s.a.w. tidak menegur sehingga Allah s.w.t. menurunkan ayat
mengharamkannya.
Ramai
penda'ii mengislamkan yang bukan Islam terus mengharap si Mualaf fi
Qulub itu meninggalkan segala yang diharamkan dan terus pandai bersolat.
Mereka ingin si-mualaf terus menjadi seperti orang orang Melayu
disekeliling mereka. Masyarakat berterusan memberikan tekanan emosi dan
mental keatas mualaf dan saudara baru. Masyarakat menjadikan saudara
baru itu Melayu lebih dari Islam dari segi berpakaian, pemakanan,
percakapan, tingkah laku dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment