Monday, December 6, 2010

Khir Toyo Mengaku Tidak Bersalah

 Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin, atas tuduhan mendapatkan dua lot tanah di Seksyen 7, di sini pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran.
Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan tanah tersebut bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di alamat No 8 & 10, Jalan Suara 7/1L, di sini daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni yang diketahui ada hubungan dengan kerja rasminya pada harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah tersebut telah dibeli oleh syarikat tersebut pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7.

Pendakwaan terhadap Mohamad Khir yang menjawat jawatan itu selama lapan tahun dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail manakala barisan pembelaan diwakili peguam-peguam M. Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.
Mohamad Khir yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7 pagi ini, tiba di mahkamah pada pukul 11.25 pagi dalam keadaan tidak bergari dan diiringi beberapa pegawai SPRM.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan jaminan sebanyak RM720,000 dengan seorang penjamin.

1 comment:

Anonymous said...

Jgn rungsing Bro Khir,
InsyaALLAH selamat. Acah je!

Search This Blog