Wednesday, November 24, 2010

Persidangan MB & KM Di Bawah PR Isnin Depan

Persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang akan diadakan di Shah Alam Isnin ini, kata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan itu ialah ekonomi, infrastruktur dan pelaburan, pembangunan masyarakat dan komunikasi massa.
"Isu-isu lain yang akan dibincangkan termasuklah isu tanah termasuk Felda, Felcra, tanah adat di Sarawak, air, tol dan masalah pekerja," katanya pada sidang media di pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen di sini, hari ini
.
Turut hadir pada sidang media itu ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail.
Ditanya mengenai khabar angin bahawa kemungkinan beliau akan digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan mulai bulan depan berikutan kenyataannya yang mengaitkan konsep 1Malaysia dan Apco Worldwide, Anwar berkata beliau tidak dimaklumkan atau menerima sebarang notis mengenainya.
Selain itu, Anwar berkata Majlis Pimpinan negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) pada masa terdekat ini untuk memberi maklumat tambahan kepada SPR mengenai dakwaan pengundi awam menjadi pengundi pos.
Jawatankuasa Pilihan Raya Pembangkang juga akan menyelaraskan mesyuarat dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengenai perkara itu, kata Anwar yang juga Penasihat PKR.

No comments:

Search This Blog