Kesemua pembesar suara 28 orang ADUN Pakatan Rakyat Perak telah ditutup sepanjang masa, mereka tidak boleh berucap, tidak dibenarkan bertanya soalan tambahan, tidak boleh bahas titah Ucapan Tuanku, tidak boleh baca peraturan dan tidak boleh kemukakan usul, maka apa guna meraka duduk dalam dewan?
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pantai Remis Nga Kor Ming (DAP-PR) hari ini melahirkan perasaan kesal bahawa demokrasi telah terkubur dalam Negeri Perak memandangkan apa yang berlaku sempena persidangan Dewan Negeri kali ini yang hanya berlangsung setengah hari sahaja.
Nga melahirkan perasaan kesal yang tidak terhingga kerana semua ADUN pakatan Rakyat telah bersiap-sedia untuk membawa isu dan masalah rakyat pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini untuk mencari jalan penyelesaian tetapi hak dan niat suci mereka telah dinafikan dengan ala kuku besi.
Nga Kor Ming dalam kenyataan medianya berkata, Pakatan Rakyat meminta persidangan Dewan Negeri berlangsung lima hari supaya semua 59 orang wakil rakyat dari seluruh Negeri mempunyai masa yang cukup untuk membahas titah Ucapan Diraja dan mengutarakan masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam kawasan masing-masing. Akan tetapi, permintaan yang cukup munasabah tersebut telah ditolak tanpa sebab oleh Kerajaan Negeri sebaliknya persidangan Dewan Negeri hanya diadakan tidak lebih dari 5 jam sahaja.
Nga, yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, beliau merujuk kepada perintah tetap Dewan Negeri tetapi haknya untuk membaca perintah tetap juga dicabul oleh Speaker BN, R, Ganesan, walaupun ia jelas termaktub dalam perintah tetap Dewan jika Ahli Dewan membaca perintah tetap, semua pihak perlu menghormati peraturan Mesyuarat tersebut.
Nga bertanya, "semua pembesar suara 28 orang ADUN Pakatan Rakyat Perak telah ditutup sepanjang masa, kita tidak boleh berucap, tidak dibenarkan tanya soalan tambahan, tidak boleh bahas titah Ucapan Tuanku, tidak boleh baca peraturan dan tidak boleh kemukakan usul, maka apa guna kita duduk dalam Dewan kuku besi sebegini?"
Nga berkata, selama tiga penggal beliau menjadi wakil rakyat sejak 1999, persidangan kali ini adalah antara yang paling teruk dari segi amalan Demokrasi dan hak-hak Ahli Dewan PR telah dicabul dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya ADUN Barisan Nasional mendapat layanan istimewa.
Nga Kor Ming pada persidangan kali ini membangkitkan perintah tetap perkara 3, 4 dan 6 mempertikaikan keesahan perlantikan R. Ganesan kerana perlantikan beliau tidak pernah mematuhi undang-undang dan tidak pernah dapat restu Ahli Dewan dengan undi bersurat sebagaimana yang ditetapkan oleh perlembagaan Negeri.
Media dikurung di galeri Orang Awam: Amalan anaktiri
Nga juga membidas pihak pentadbiran Barisan Nasional kerana mengurung pihak media di galeri orang awam di tingkat tiga dan mengakibatkan pihak media tidak dapat membuat laporan liputan media dengan telus dan tepat. Beliau berkata, "kebanyakan media dikurung di bilik atas dengan pembesar suara ADUN Pakatan semua ditutup supaya pihak media tidak dapat dengar hujah ADUN Pakatan Rakyat. Sila tepuk dada, Tanya iman, adakah ini adil dan saksama?"
Nga Kor Ming juga mempersoalkan keputusan Zambry Bin Abdul Kadir yang memendekkan persidangan Dewan hingga kurang dari satu hari kerana ia adalah jelas kerajaan Negeri dibawah BN takut bahawa kemungkaran dan kelemahan pentadbiran mereka akan terdedah jika ADUN PAKATAN RAKYAT dibenar untuk membahas.
Selain itu, Nga Kor Ming berkata, tohmahan Zambry bahawa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat pernah menawarkan beliau jawatan Menteri Besar Perak sebelum Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik menyandang jawatan tersebut adalah satu kisah penglipur lara yang hanya sekadar bahan ketawa sahaja. "Jika benar, sila tunjukkan bukti dan ulangi di luar Dewan, jangan berlagak lempar batu, simpan tangan," kata beliau.
*Kenyataan media oleh Nga Kor Ming selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pantai Remis, Perak.
No comments:
Post a Comment