Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah di negeri itu supaya menyelesaikan semua masalah rakyat dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
"Beta tidak mahu mendengar rungutan di mana terdapat pegawai dan kakitangan kerajaan yang hanya bekerja untuk kepentingan diri sendiri, berpuak-puak, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa yang telah diberikan," titah baginda ketika merasmikan Kompleks Bangunan Baru Pejabat Daerah/Tanah Klang di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan supaya sentiasa bersifat jujur dan amanah selain bekerjasama dan saling membantu bagi mencapai kejayaan yang diharapkan.
Baginda mahu perkhidmatan awam di Selangor menjadi lebih cekap, efektif, dinamik dan inovatif dengan memiliki standard yang tinggi dan idea-idea baru diterapkan dalam semua peringkat pentadbiran dan pengurusan dengan penekanan terhadap produktiviti dan kualiti perkhidmatan.
Sultan Selangor menitahkan penghulu dan pegawai Pejabat Tanah supaya turun ke padang bertemu rakyat untuk menyelesaikan masalah mereka kerana masalah seperti pertikaian hak milik tanah dan pelanggaran syarat tanah tidak dapat diselesaikan jika hanya dipantau dari pejabat.
Kepada wakil rakyat, baginda mahu supaya mereka lebih mengambil berat masalah dan kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
"Beta suka menasihatkan agar semua pihak menjauhi sifat keangkuhan kuasa. Pikullah tanggungjawab dengan rasa amanah, ikhlas dan rendah diri untuk mendekati jiwa rakyat supaya rakyat Beta tidak merasakan sebarang jurang untuk mereka meluangkan masalah," titah Baginda.
Semasa mendengar taklimat pembangunan daerah Klang oleh Pegawai Daerah Bakhtiar Hussin, baginda bertanya menenai kelewatan menyiapkan projek menaik taraf laluan Kapar-Klang yang telah mengakibatkan kesesakan lalulintas yang membebankan penduduk Klang.
Pengarah Kerja Raya Selangor Kamil Puat Nil memberitahu baginda bahawa sepatutnya projek itu siap pada Disember lepas tetapi kontraktor menghadapi masalah luar jangkaan seperti pergerakan bawah tanah di tapak pembinaan.
No comments:
Post a Comment