Siasatan terhadap skandal rasuah berbilion ringgit berhubung pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia di mahkamah Perancis dijangka akan mendedahkan lebih banyak rahsia yang selam ini terselindung dan tidak diketahui rakyat Malaysia.
Pengarah Strategi KEADILAN, Tian Chua berkata, beliau yakin sistem perundangan Perancis yang lebih terbuka akan membongkar segala penyelewengan dalam pembelian kapal selam yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga peguam kanan Perancis yang memfailkan permohonan di mahkamah Paris bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pembayaran komisyen pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.
"Badan kehakiman di Perancis telah mengambil perhatian ada unsur penyelewengan dalam perjanjian kapal selam ini dan siasatan telah dilakukan. Kita telah melibatkan diri dalam pembelian kapal selam yang harganya bernilai berbilion. Sekarang didapati ada penyelwengan dalam perjanjian ini.
"Apa pun, kita akan dapati proses siasatan ini akan mendedahkan lebih banyak rahsia yang tidak diketahui orang awam di Malaysia ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut Tian Chua, di Malaysia, isu pembelian kapal selam berkenaan telah berulangkali dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan rakyat namun disekat Umno-Barisan Nasional menggunakan kuasa mereka.
Tambah beliau, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis juga telah dilakukan tetapi tidak diendahkan pihak berkuasa.
"Kalau tidak ada penyelewengan, mengapa tidak telus, mengapa tidak mengaku siapa yang dapat faedah dari pembahagian komisyen ini.
"Setakat ini rakyat telah dikecualikan dari mendapat tahu hal sebenar. Selain kita tahu ada kapal selam yang kita beli, kita tidak tahu berhubung kos penyelenggaraan, kenapa kerosakan teknikal berlaku hari pertama kita terima kapal selam ini. Apakah pembelian ini mengikut spesifikasi kerajaan Malaysia," soal Ahli Parlimen Batu itu.
Ditanya samada kemungkinan Najib akan dipanggil untuk disiasat, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa Perancis. Bagaimanapun beliau percaya kes itu akan diadili sebaik mungkin dan yakin dengan sistem kehakiman di negara itu.
"Saya tidak mahu buat andaian sekarang, saya rasa proses keadilan ini harus dijalankan tanpa kebimbangan tidak kira siapa pun yang terlibat. Sistem perundangan di Perancis ini tidak memandang sesiapun kalau didapati melakukan penyelewengan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.
"Saya bukan pakar dalam undang Perancis tetapi saya percaya siasatan ini akan melibatkan banyak klausa perjanjian dan dokumen. Sebagai bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib enggan mendedahkan kepada golongan awam setakat ini," ujarnya.
Menurutnya, terdapat benyak keraguan dalam pembelian kapal selam berkenaan termasuk latihan yang membabitkan pegawai-pegawai dan kos sebenar latihan.
"Baru-baru ini dalam Parlimen kita dengar 600 pegawai melibatkan kapal selam ini telah dilatih, sebelum ini kita dengar jumlahnya hanya 160. Kenapa kita harus bawa mereka berlatih di Perancis? Semua soalan ini merupakan misteri untuk rakyat Malaysia. Saya amat mengharapkan semua misteri ini dapat dibongkar dalam sistem kehakiman di Perancis," kata Tian lagi.
Menurut laporan Asia Sentinel yang bertajuk "Murky Arms Deal Linked To International Pattern of Kickbacks" oleh wartawan John Berthelsen bertarikh 16 April 2010, skandal berbilion dolar ini yang didakwa didalangi oleh Najib kini tidak lagi dapat dibendung dalam Malaysia dan kini telah melimpah ke arena antarabangsa.
Asia Sentinel berkata tindakan peguam, William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham dengan kerjasama pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram, memfailkan kes tersebut dengan pihak pendakwa Perancis.
Pembabitan Malaysia berkisar dakwaan pembayaran komisyen berjumlah €114 juta (RM540 juta) kepada sebuah syarikat tempatan, Perimekar bagi perkhidmatan sokongan berkaitan pembelian kapal selam. Perimekar dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd yang dipunyai oleh sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda.
Sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 2000 hingga 2008, Najib telah bertanggungjawab terhadap perancangan menaiktaraf pertahanan angkatan tentera Malaysia secara besar-besaran termasuk pembelian dua buah kapal selam daripada Armaris dan pajakan sebuah lagikapal kelas Agosta yang pernah digunakan oleh tentera laut Perancis
No comments:
Post a Comment