Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mencabar kerajaan Umno-Barisan Nasional menyusun semula syarikat utiliti utama seperti air, tol, elektrik dan 'broadband' bagi menjamin kepentingan rakyat.
Langkah ini menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekaligus dapat menyumbang kepada dasar ekonomi yang lebih mapan dalam pelaksanaan agenda Model Ekonomi Baru (MEB) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anwar berkata, Pakatan Rakyat yang didokongi oleh KEADILAN, PAS dan DAP telah membuat penelitian secara terperinci berhubung MEB dan mendapati ia tidak memberi kelebihan sepenuhnya kepada rakyat dan juga negara selagi empat perkara asas tersebut tidak dilaksanakan.
"Penyusunan ini akan mengurangkan beban kewangan kerana dasar monopoli ini memberikan faedah kepada syarikat terpilih dan beban kepada rakyat terlalu parah. Umpamanya setelah melihat pengakuan yang dibuat oleh TNB (Tenaga Nasional Berhad) sendiri bahawa 'margin reserved' yang digunakan oleh IPP ini telah meningkat 66 peratus.
"Semasa kita bantah di Parlimen dahulu kita bicara sekitar 40, 48 peratus dengan subsidi RM10 bilion oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat kroni yang kaya," katanya dalam sidang media di pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen tengahari tadi.
Pakatan Rakyat juga menuntut garis pendapatan dan gaji minima ditetapkan bagi mengurangkan penggunaan tenaga kerja di kalangan warga asing.
"Tentang keperluan menetapkan garis pendapatan dan gaji minima untuk pekerja dengan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan dengan cara ini akan memaksa syarikat-syarikat kita meningkat keupayaan pelaksanaan industri di peringkat nilai tambah dan tidak bergantung kepada pekerja upah yang murah," ujar beliau lagi.
Anwar juga berkata, kaedah yang perlu diguna pakai bagi mengurangkan beban kewangan di kalangan golongan muda turut diberi penekanan serius.
"Dengan mempastikan bahawa beban kewangan di kalangan muda dengan upah yang ada sekarang itu terlalu berat dan membebankan. Oleh demikian kita (Pakatan Rakyat) telah mencadangkan kaedah percukaian yang progresif dengan lebih teliti dan terperinci," jelas Anwar.
Tambah beliau lagi, perkara terakhir yang harus dilaksanakan dalam MEB adalah membentuk perubahan.
"Perkara keempat yang sangat utama yang tidak disentuh dalam cadangan PM dalam Model Ekonomi Baru adalah perubahan. Tanpa perubahan dari segi keadilan, keyakinan persaingan, keselamatan maka ia akan menjejaskam kedudukan ekonomi negara.
"Perubahan ini termasuklah Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman, polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan aspek-aspek yang melibatkan isu ketelusan dan pertanggungjawaban," jelas Ketua Umum KEADILAN itu lagi.
Bagaimanapun menurut Anwar, dasar, angka serta tindakan yang diambil hendaklah dijelaskan secara terperinci kerana berlaku percanggahan oleh pemimpin bawahan Najib.
"Pendirian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ialah pertamanya pendirian PM mengenai model ini perlu dijelaskan kerana ia bercanggah dengan apa yang ditekan oleh Tan Sri Mohamad Nor Yaakob (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang menyatakan ini sekadar pandangan yang dikemukakan dan belum merupakan dasar kerajaan yang jelas.
"Tetapi yang lebih penting pengumuman yang dibuat PM ini mengandungi beberapa perkataan yang lunak seperti kerajaan tidak mampu menerima pendirian atau dasar ekonomi yang memberikan perlindungan kepada kelompok kecil dan ini juga mengulangi kenyataan yang dibuat oleh Tun Abdullah Badawi dulu bahawa cara kita bergantung kepada sikap mengharapkan projek-projek kerajaan oleh kalangan kecil tetapi tidak ada tindakan susulan, tegas Anwar.
Pakatan Rakyat mahu pendirian yang tegas berhubung MEB seperti isu kehilangan saham bumiputera sebanyak RM52 bilion yang sehingga tidak dijelaskan.
"Selagi ia tidak dijelaskan ia tidak membantu merangka satu dasar ekonomi yang lebih mapan," kata Anwar lagi.
Menurut beliau, isu kronisma untuk mengkayakan segelintir syarikat di sekeliling pimpinan Umno juga masih diteruskan.
"Umpamanya PM menyebut soal ketelusan dasar ekonomi yang lebih bertanggungjawab di mana kita ada kemukakan beberapa contoh cadangan penubuhan Institut Barah Nasional yang diumumkan berulang kali sehingga 2007 yang harganya RM340 juta tetapi bila diserahkan kepada IJN dan disubkontrak kepada syarikat Kiara Teratai ia melonjak hingga RM700 juta pada 2009. Maknanya cara dan kaedah gelojoh memberi manfaat kepada satu, dua syarikat pilihan masih diteruskan," jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Pakatan Rakyat juga melihat keputusan mengurangkan atau menghapuskan subsidi harus dilaksanakan secara berterusan.
"Jangan difikirkan subsidi yang hanya menyentuh kepada golongan bawahan tetapi juga kepada golongan korporat seperti subsidi air, tol dan harus lebih diambil kira kerana itu lebih membebankan negara dan bercanggah dengan liberalisasi ekonomi dan keupayaan daya saing di negara kita.
"Kita juga kemukakan lagi contoh apabila PM mengumumkan untuk membangunkan 3,000 ekar tanah bersama KWSP tetapi ia tidak mengikut peraturan ketelusan yang ada dan yang lebih penting ialah kerana masih meneruskan cara pengagihan kontrak kronisma dengan memberikan kepada MRCB tanpa tender dan kontrak cara yang telus dan ini bercanggah dengan pengumuman yang dibuat," kata beliau lagi.
Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
No comments:
Post a Comment