Wednesday, February 15, 2012

Terengganu : BN menang dengan tipu

Kekalahan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004 bukan kerana ditolak oleh rakyat tetapi akibat penipuan terancang dilakukan oleh Umno dan BN.Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendakwa kekalahan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 tahun 2004 bukan ditolak oleh rakyat.


Hakikatnya, kata beliau kekalahan tersebut bukan kerana PAS dibenci oleh rakyat tetapi akibat penipuan terancang dilakukan oleh pemimpin Umno-BN Terengganu.
Menurutnya, Umno-BN telah membawa masuk sejumlah pengundi yang ramai serta tidak dikenali oleh jentera parti.
“Kita kalah PRU 2004, kalah bukan rakyat tolak tetapi kalah dengan penipuan. Mereka daftar pengundi yang ramai dan mereka yang tidak dikenali.
“Saya percaya rakyat Terengganu masih mengundi kita. BN menang dengan tipu. Sekarang sudah berlaku perubahan di seluruh negara,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baru Cina 2012 di Restoran Ocean, Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, 3 Februari lalu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan masyarakat Tionghoa dan masyarakat India lebih ke depan inginkan perubahan kepimpinan negara.
Ini kerana katanya, akhbar berbahasa Cina dan Tamil lebih bersifat terbuka membuat laporan berita berbanding akhbar Melayu.
Menurut Ustaz Abdul Hadi, akhbar berbahasa Melayu yang prokerajaan pula masih lemah serta dikongkong pemikirannya.
“Masyarakat Cina, masyarakat India lebih cepat sedar kerana surat khabar Cina, surat khabar India banyak melaporkan berita. Surat khabar Melayu masih lemah, tiada integriti dan dikongkong fikiran.
“Kami mahu orang Cina bertahan dengan menyokong kita. Kita kempen lagi supaya orang Melayu buat perubahan. Sekarang seluruh dunia sudah berubah,” ujarnya di hadapan hampir 300 hadirin.
Kata Ustaz Abdul Hadi, perubahan yang berlaku mutakhir ini sangat membanggakan PAS sebagai sebuah parti yang berasaskan agama.
Menurutnya, rakyat ma hukan perubahan agar wakil rakyat yang dipilih mewakili mereka mempunyai kebolehan dan ketokohan dalam membela serta menegakkan keadilan. “Perubahan yang sangat membanggakan kita. Perubahan yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini.
“Calon PAS yang bertanding lawan calon MCA, orang Cina boleh undi PAS lawan MCA. Calon DAP lawan BN, orang Melayu boleh kerja menangkan calon DAP.
“Pengundi mahu bukan bangsa wakil rakyat tetapi mahu kebolehan dan ketokohan wakil rakyat yang boleh membela, menegakkan keadilan untuk mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, kata Ustaz Abdul Hadi kedatangan Islam ke negeri China lebih awal berbanding kemasukan Islam di Tanah Melayu ini.
Antara tetamu khas majlis makan malam tersebut Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Exco Kerajaan PAS Kelantan, Dato’ Anuar Tan Abdullah, Adun Sekinchang, Ng Suee Lim dan Adun Simpang Pulai, Chang Ming Kai.
Hadir sama ialah Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Pengarah Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.

No comments:

Search This Blog

Loading...