Thursday, June 30, 2011

Hak-hak anda bila ditahan polis Malaysia


RED BOOK (BAHASA MALAYSIA)
1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS
1.1 Tidak Berpakaian Seragam,
Minta Pengenalan Diri Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; "Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda."

1.2 Kad Kuasa Polis
Merah: Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.
Lain-lain Warna:
• Biru: Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning: Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih: Polis Simpanan
Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.
1.3 Berpakaian seragam Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.
1.4 Kenderaan Peronda Polis Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.
2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN
2.1 PengenaIan DiriHanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.
2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"
2.3 Bilakah anda ditahan
Anda ditahan apabila anggota polis itu:
• menjawab "ya";
• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke Balai Polis; atau
• menggari anda.
Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.
2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap
Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).
3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN
3.1 Penyataan saksi/112 Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).
3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.
3.3 Membuat Pernyataan 112
Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.
• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan didalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.
3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda
 Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.
• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.
4. POLIS MENANGKAP ANDA
4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?" Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.
4.2 Jangan melawan semasa ditangkap Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.
4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?" Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.
4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.
Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).
Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
• masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.
4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap
 Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.
5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN
5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam
 Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.
5.2 Pakaian Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.
5.3 Barangan peribadi Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.
5.4 Kebajikan Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.
5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).
6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM
6.1 Siapakah Majistret Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada24 jam.
6.2 Tujuan Perintah Reman Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda.
6.3 Berapa lamakah Perintah Reman Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.
Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:
• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau
• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.
Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.
6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapans eorang Majistret untuk proses reman
Maklumkan kepada Majistret:
• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam, pusat bantuan guaman dan keluarga anda;
• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;
• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;
• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;
• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;
• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam tahanan.
6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat
 Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).
7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN
7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan
 Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.
7.2 Apa yang perlu dilakukan
• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.
• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.
• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/ saku/beg anda.
7.3 Hak-hak anda
• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:
 1. Bantah;
2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan
3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.
8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU
8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian
• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.
• Anda ditangkap.
• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.
8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan
Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-
1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah- pemeriksaan pakaian luaran.
2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.
3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.
4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.
8.3 Hak anda
• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.
• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa pemeriksaan dilakukan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP
9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda
 Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.
9.2 Hak anda untuk berdiam diri
Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."
9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan
 Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.
9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti
 Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda bolehmenggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan.
PUSAT BANTUAN GUAMAN / LEGAL AID CENTRES (LAC)
• Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072
• Selangor : 03-5510 7007 / 03-3281 2428
• Negeri Sembilan : 06-6013 844
• Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514
• Johor : 07-2235 698
• Perak : 05-2550 523
• Kedah & Perlis : 04-7333 467
• Kelantan : 04-7448 660
• Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410
• Pulau Pinang : 04-2617 451/ 0 

No comments:

Search This Blog

Loading...
Loading...