| Oleh: Litmohd | 
Ternyata  pimpinan Umno/BN khususnya Perdana Menteri, Dato’ Najib sendiri gelisah  dan gelabah berdepan dengan tawaran 100 hari Pakatan Rakyat jika dapat  menguasai Putrajaya. Hingga sekarang, Najib sekadar mengecam agenda  Pakatan rakyat itu yang padanya akan memufliskan negara, tanpa memberi  cadangan balas untuk mengatasi kepincangan ekonomi negara. 
Jika  orang nombor satu mereka sudah gelabah, pendokong Pakatan Rakyat usah  gusar berhadapan dengan pencacai-pencacainya di peringkat bawahan di  dalam mempromosikan agenda keramat Pakatan Rakyat ini, khususnya di saat  ini sedang berperang di PRK Tenang. 
Sekonyong-konyong,  ketua pemudanya pula yang nampaknya pernah  merajuk dan hendak  mengundur diri baru-baru ini tampil menawarkan diri untuk berdebat  dengan Pakatan Rakyat. 
Masakan pemimpin Pakatan  Rakyat mahu berdebat dengan individu yang tidak duduk dalam pentadbiran  kerajaan. Anwar Ibrahim dan pimpinan PR lain mahu berdebat dengan  Perdana Menteri kerana dialah ketua kerajaan dan mempertikaikan agenda  Pakatan Rakyat itu. 
Amat naif tawaran pemuda Umno itu! 
Pada  hemat penulis, isu sekarang pada persepsi rakyat ialah polemik antara  dua kerajaan, iaitu kerajaan sedia ada dengan kerajaaan menunggu, bukan  antara dua parti! 
Berdepan dengan Buku Jingga,  pimpinan Umno bukan sahaja gelisah dan gelabah bahkan seperti cacing  kepanasan kerana Buku Jingga telah mendedahkan apa yang sepatutnya  rakyat dapat setelah 53 tahun merdeka. 
Buku  Jingga telah melondehkan program yang sepatutnya dilakuan oleh sebuah  kerajaan yang berhemah untuk kebaikan seluruh rakyat tetapi tidak  dilaksanakan oleh Umno/BN walaupun telah memerintah lebih setengah abad.  
Samada Umno/BN tidak tahu melaksanakannya atau  sengaja menyembunyikannya, hanya pimpinan mereka yang tahu. Justeru  jadilah mereka seperti cacing kepanasan apabila Buku Jingga mendedahkan  banyak perkara boleh dilakukan dan diubah demi kebaikan rakyat. 
Rakyat  akan mendapat faedah segera apabila perlaksanaan apa saja program  pembangunan dilaksanakan atas keperluan sebenar rakyat, bukan keperluan  kroni. 
Kita dapat lihat bagaimana banyak  projek-projek pembangunan atau program-program yang terbengkalai dan  lambat disiapkan kerana perebutan projek oleh kroni. 
Akhirnya  projek siap dengan kos yang begitu tinggi disebabkan oleh kelewatan dan  ketidakcekapan dan yang lebih malang, ada bangunan yang diduduki  walaupun belum mendapat CF. 
Ketidakcekapan berlaku kerana memberi tender kepada yang tidak layak. 
Gejala berisiko tinggi tersebut sudah tentu datang bersama dengan gejala yang sinonim dengannya iaitu ketirisan dan rasuah. 
Bukankah  ini semua berpunca daripada dasar pengswastaan yang mengswastakan semua  keperluan asas rakyat seperti air, tenaga (letrik) dan jalanraya. 
Maka  muncullah projek-projek mega bernilai berbilion-bilion ringgit yang  membeliakkan mata kroni-kroni. Jutaan ringgit untung boleh dikaut dalam  jangkamasa pendek. Membujur lalu melintang patah! 
Wujudlah  syarikat-syarikat atau firma-firma segera walaupun mempunyai mudal  pusingan RM2, asalkan mempunyai hubungan dengan kerajaan. 
Rakyat  pun meleleh air liur mendengar projek-projek mega yang diumumkan itu  dan tak sedar bahawa mereka akan membayar semua  perkhidmatan-perkhidmatan tersebut. 
Teruja  penulis meneliti Buku Jingga, disamping menawarkan tindakan 100 hari  pentadbiran Pakatan rakyat, terdapat empat tema penting di bawah Dasar  Bersama Pakatan Rakyat. 
Tema tersebut ialah  Demokrasi Telus Dan Tulen, Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mampan Dan  Adil, Keadilan Sosial Dan Pembangunan Insan, dan Hubungan  Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara. Terdapat banyak sub- 
sub  topik di bawah tema-tema tersebut sebagai perincian program dan  tindakan yang tidak dapat penulis huraikan di medan yang terhad ini.  InsyaAllah di lain kesempatan. Tetapi apapun ia adalah dokumen awal  merangkumi gagasan yang sangat penting bagi sebuah kerajaan menunggu.  Penulis menilai ia sebagai amat realistik, bersifat kontemporari ,  menepati kehendak rakyat didahulukan serta untuk tanahair yang sudah  merdeka lebih setengah abad. 
Penulis percaya,  pakar-pakar ekonomi dan pegawai –pegawai kerajaan sedia ada hanya  menunggu masa dan tidak sabar lagi untuk melaksanakan dasar-dasar telus  dan adil yang diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat ini demi kesejahteraan  hidup rakyat. 
Barangkali Buku Jingga boleh  mengatasi ucapan bejanjawan negara oleh Najib yang lebih bersifat  retorik walaupun bertema Kecemerlangan Diutamakan, Rakyat Didahulukan. 
Di  bawah subtopik memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil  terlihat kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menilai semula pengswastaan  yang membebankan rakyat dan tidak adil. 
Islam  melarang keperluan asas rakyat diniagakan atau diswastakan. Ia adalah  tanggunjawab kerajaan seratus peratus. Inilah hasrat dan halatuju  Pakatan Rakyat yang turut disertai PAS yang meletakkan Islam sebagai  dasar kehidupan bernegara. 
Kenaikan imbuhan RM500  sebulan untuk para guru menggambarkan keperihatinan yang sangat tinggi  Pakatan Rakyat terhadap warga pendidik. 
Ini  adalah kerana Pakatan Rakyat menyedari bahawa warga pendidik adalah aset  negara yang amat bernilai kerana warga inilah yang menentukan kualiti  sumber manusia untuk negara. Justeru itu mereka tidak sayang mencurahkan  RM3.2 billion setahun untuk golongan ini daripada membiarkan wang  rakyat tiris kepada kroni Umno/BN. 
Pakatan Rakyat  hendak mengangkat martabat warga guru ke tempat yang sewajarnya, bukan  seperti Umno yang mempergunakan guru dan sekolah untuk kepentingan  politik sempit mereka. 
Ayuh para guru, bersamalah  dengan Pakatan Rakyat bukan kerana kenaikan imbuhan RM500 sebulan itu,  tetapi kerana keikhlasan kita bersama untuk mendidik anak bangsa kita  dan menyelamatkan Malaysia. 
Seperti yang  dilaporkan sejumlah RM54 bilion wang rakyat tiris dalam pelbagai bentuk  termasuk subsidi korporat kepada penjana tenaga swasta (IPP) yang  merupakan kroni Umno iaitu sebanyak RM19.2 bilion. Wang inilah yang akan  digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk program 100 harinya. Sudah tentu  berbilion lagi wang rakyat dapat diselamatkan menenerusi kerangka dan  program Pakatan Rakyat seperti termaktub dalam Buku Jingga itu. Indeks  rasuah Malaysia masih berada di paras tercorot . 
Ketua  Audit Negara juga melaporkan pada 25 Oktober 2010, dengan memberi  amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50  peratus. (Laporan Harakah Bil: 1605). Ketidakseimbangan yang ketara ini  sudah tentu berpunca dari tadbir urus yang tidak cekap dan rasuah. 
Justeru  itu pakar dan penganalisis memberi amaran Malaysia akan menjadi muflis  jika kerajaan sekarang terus berhutang dengan sewenang-wenangnya.  Sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat hendak menyelamatkan negara ini dari  muflis akibat hutang bertimbun. 
Barangkali Khir  Toyo pula lebih memahami pembaharuan yang akan dilakukan oleh Pakatan  Rakyat ini apabila beliau rasa bimbang kesannya ke atas sokongan rakyat  dimana momemtum sokongan rakyat akan berubah arus atau berputar 360  darjah kepada Pakatan Rakyat. 
Jelas, Najib cemas,  bukan kerana negara akan muflis apabila Pakatan Rakyat memerintah  tetapi yang akan muflis ialah syarikat kroni-kroni Umno/BN. 
Ini  adalah kerana Umno mengamalkan politik yang memerlukan kos yang sangat  tinggi iaitu politik wang yang disumbang oleh syarikat-syarikat kroni  tersebut, demi menyambung talian hayatnya. 
No comments:
Post a Comment