Monday, December 20, 2010

Pakatan pembangkang janji laksana sembilan reformasi

 Konvensyen Pakatan Rakyat semalam mengemukakan Program 100 Hari yang akan dilaksanakan jika gabungan itu berja-ya mengambilalih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
Program itu yang mempunyai sembilan perkara adalah janji pakatan untuk melaksanakan reformasi menyeluruh aspek pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan berdasarkan kepada prinsip digariskan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
“Sebagai permulaan kepada reformasi itu, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program itu," kata pakatan itu dalam buku kecil bertajuk 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia! yang diedarkan sempena konvensyen di Dewan Milenium di sini, semalam.

Antara Program 100 Hari Pakatan Rakyat itu ialah:


  • Mereformasikan institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan;

  • Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA);

  • Mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol;

  • Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat;

  • Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap guru sebagai penghargaan kepada mereka;

  • Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan;

  • Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar;

  • Membatalkan Felda Plantations bagi membuka ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA;

  • Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus;

  • Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Sabah.

    Mengulas Program 100 Hari, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ia adalah komitmen pakatan pembangkang terhadap perkara yang bakal dilakukan selepas mengambilalih kerajaan.

    “Ini adalah jaminan yang akan dilakukan oleh pakatan dalam masa 100 hari jika menang pada PRU Ke-13," katanya.

  • No comments:

    Search This Blog