Thursday, December 23, 2010

KAKITANGAN AWAM MINTA BONUS, BOS PULA YANG DAPAT

SELAMA dua tahun lepas, termasuk tahun ini CUEPACS merayu-rayu dengan Kerajaan untuk mendapatkan bonus bagi kakitangan awam, namun rayuan tinggal rayuan. Kerajaan sentiasa menggunakan alasan keadaan ekonomi dan kewangan negara tidak mengizinkan untuk memberi bonus kepada kakitangan awam.


Yang peliknya, setiap kali ada pilihanraya Kerajaan mewar-warkan bahawa ekonomi negara kukuh sekali. Tetapi bila kakitangan awam meminta bonus, secara tiba-tiba pula kewangan tidak kukuh. Di dalam keadaan tidak kukuh itu, bangunan 100 tingkat mahu dibina. Sampai bila kakitangan awam mahu dipersendakan?

Di dalam berita TV semalam, sekali lagi kakitangan awam dipermainkan. CUEPACS merayu lagi untuk mendapatkan bonus memandangkan sesi persekolahan akan bermula dan tentunya banyak perbelanjaan akan ditanggung oleh kakitangan awam yang mempunyai anak-anak yang bersekolah. Tambahan pula, baru-baru ini diumumkan kenaikan harga minyak, gas, gula dan terbaru diberitakan kenaikan harga susu pula. Di dalam keadaan sedemikian, Kerajaan seharusnya bersimpati dengan kakitangan awam bukan hanya sekadar memberikan `wang ihsan' sebanyak RM 500. Kakitangan awam bukan peminta sedekah untuk menerima `wang ihsan' seperti itu.

Rayuan CUEPACS tidak mendatangkan kesan kepada Kerajaan, sebaliknya mulut CUEPACS mahu ditutup dengan pengumuman bahawa CUEPACS akan diberi peruntukkan sebanyak RM3 Juta untuk ubahsuai pejabat CUEPACS bagi keselesaan Presidennya dan pegawai-pegawai atau stafnya. RM2 Juta untuk ubah suai manakala RM1 Juta utk pengurusan. Ini diumumkan oleh Najib sendiri di depan Presiden CUEPACS dan semua ahli gabungannya. Kelihatan tersenyum lebar Presiden CUEPACS ketika pengumuman dibuat dan bertepuk sakan semua yang hadir.

Adakah itu perjuangan CUEPACS selama ini? Apa kakitangan awam dapat hasil daripada pengumuman Najib semalam? Adakah Presiden CUEPACS akan menjadi bisu selepas mendapat pejabat baru yang canggih dan selesa itu nanti? Amat malang sekali jika Presiden CUEPACS begitu mudah digula-gulakan oleh Najib.

Bukan kita menentang peruntukan kewangan untuk ubahsuai pejabat CUEPACS, tetapi CUEPACS harus melihat dan fokus kepada perjuangan mereka sebenar. Jangan kerana sudah mendapat keselesaan untuk diri sendiri, maka kehendak dan tuntutan kakitangan awam di luar sana dikhianati. CUEPACS harus berani dan tidak menjual maruah semurah itu.

No comments:

Search This Blog