Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin krisis yang melanda parti sebenarnya adalah proses untuk mematang dan memantapkan jentera parti pada masa depan.
Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, beliau atur pertemuan calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin semalam dengan Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jelaskan pandangan orang muda terhadap konflik parti.
Beliau yakin krisis yang melanda sekarang akan berakhir tidak lama lagi dan PKR akan menjadi sebuah parti yang kuat.
“Dalam pertemuan itu, Presiden akui memang ada kelemahan dalam pemilihan parti sekarang. Ia adalah kerana pemilihan ini adalah yang pertama kali dibuat secara satu ahli, satu undi.
“Kita juga ada 220 cabang seluruh negara, malah masalah logistik dan keluasan yang luas di Sabah dan Sarawak juga menyukarkan kita, selain kos,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Katanya lagi, Presiden juga komited untuk membaiki kelemahan pemilihan pusat 2010 supaya tiada lagi ketidakpuasan berlaku.
“Perjumpaan ini amat baik, walaupun Presiden luangkan masa sejam, dua-dua pihak memahami keadaan sekarang,” katanya.
Badrul Hisham dalam ‘Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan’ malam kelmarin melantik Fauzi sebagai ‘orang tengah’ untuk membawa resolusi itu kepada pucuk kepimpinan.
Pertemuan yang disertai sekitar 200 ahli AMK, penyokong Badrul Hisham meluluskan enam resolusi antaranya dipercayai mendesak parti adakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai ‘krisis’.
Resolusi itu antara lain menggariskan siri tindakan untuk diambil setiap hari sekiranya permintaan menangguhkan pemilihan dan memperbaiki segala kelemahan dalam proses tidak diatasi.
Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham di mana saingan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,455 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,428 undi.
No comments:
Post a Comment