Tidak ramai yang terfikir untuk mengaitkan Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, pada 10 Oktober lalu dengan apa yang bakal dimanfaatkan Barisan Nasional (BN) daripada anggota perhimpunan itu untuk kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, minggu depan.
Namun apabila Pengarah Pilihan Raya BN bagi Galas, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada Ahad (17 Oktober) lalu meminta 700 bekas tentera yang bakal mengundi di situ agar memberikan undi kepada calon BN pada 4 November nanti, ingatan kita segera kembali semula ke perhimpunan tadi.
Sekurang-kurangnya teka-teki mengapa Perdana Menteri begitu bermurah hati mengumumkan kenaikan bayaran khairat kematian bekas anggota tentera daripada RM500 kepada RM3000 kini bagaikan terjawab.
Mungkin ada yang akan menganggap ia kebetulan. Perhimpunan di Bukit Jalil itu barangkali telah lama dirancang dan tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil di Galas, walau pun ia berlangsung selepas kematian Adun kawasan itu. Lalu apa juga yang diberikan kerajaan di perhimpunan itu tidak wajar dianggap sebagai strategi pilihan raya.
Sama lah juga apabila tiba-tiba harga getah SMR 20 meningkat kepada RM12.02 sekilogram pada 13 Oktober lalu. Ia diakui paras tertinggi dalam sejarah industri getah negara dan bakal melonjakkan pendapatan pekebun kecil sehingga RM3,000 sebulan.
Sekali lagi kita mungkin terpaksa menerima hakikat bahawa ia hanyalah kebetulan dan tidak ada kena-mengena dengan strategi BN memenangi ribuan pengundi Dun Galas yang terlibat dengan industri getah.
Namun, apakah kebetulan juga apabila seorang pemimpin politik BN, yang tidak ada apa-apa jawatan dalam kabinet atau agensi kerajaan, tiba-tiba mengumumkan projek perumahan bernilai ratusan juta ringgit untuk penduduk Galas? Apakah ia juga ‘bukan projek segera’, walau pun satu-satunya jawatan penting pemimpin itu ketika ini ialah sebagai pengarah pilihan raya BN di kawasan itu?
“Ada keperluan rakyat yang lama kita tunaikan, mungkin projek yang sudah dalam perancangan, keperluan yang mungkin sudah berpuluh tahun,” demikian reaksi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed, sepertimana dipetik media pada Isnin (18 Oktober).
Beliau mengulas pembinaan projek perumahan rakyat bernilai RM300 juta untuk penduduk Gua Musang, yang diumumkan Ku Li sehari sebelumnya. Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu dengan tegas menafikan BN melaksanakan ‘projek segera’ dan seolah-olah mahu ia dianggap satu lagi ‘kebetulan’.
Itulah hebatnya BN. Ia memang sangat pakar mencipta ‘kebetulan’. Setiap kali berlakunya pilihan raya kecil, akan berlonggok-longgok perancangan dan program dibawa ke kawasan terbabit, dalam usaha amat jelas untuk memancing sokongan pengundi.
Turut membantu kejayaan BN mencipta ‘kebetulan itu ialah keupayaan para pemimpinnya menebal muka berdepan rakyat. Biar pun sudah bertahun tidak menjengah rakyat, mereka tiba-tiba menjadi begitu prihatin untuk turun padang. Ketika inilah hampir tiada ceruk kampung dalam kawasan pilihan raya yang tidak dikunjungi. Tiada rumah yang tidak dijejaki dan tiada penduduk yang tidak disapa.
Biar pun BN tahu ia satu hipokrasi dan perbuatan itu amat dikeji masyarakat, para pemimpin ada kehebatan lain yang membantu mereka mengatasi perasaan malu itu. Mereka ada telinga yang pekak badak dan tahan menerima apa juga cemuhan masyarakat atas mainan politik murahan sebegitu.
Hujah klise yang sering mengiringi kehadiran para menteri dan anggota kabinet menyempurnakan program atau projek segera itu ialah kononnya ia sudah lama dirancang. Dibantu pelbagai saluran media dan alat propanganda dikuasainya, BN agak mudah mencorakkan persepsi dalam masyarakat.
Justeru, tidak menghairankan masih ada kalangan rakyat yang boleh menerima penjelasan BN bahawa segala yang didatangkan parti itu sewaktu berlangsungnya pilihan raya ‘bukan projek segera’ dan bukan dibuat semata-mata sebagai kempen memancing undi.
Itulah sebenarnya kemuncak kehebatan BN. Ia ada kemampuan luar biasa menghipnotis minda rakyat sehingga melihat apa juga didakwa parti itu sebagai benar. Dalam keadaan minda terjajah begitu, BN agak selesa mengulangi hujah basi itu di setiap kali berlakunya pilihan raya.
Berbekalkan sikap hipokrit itu, beberapa kementerian akan segera mengadakan program masing-masing, terutama yang ada hubungkait dengan kepentingan dan keperluan hidup pengundi di kawasan pilihan raya. Ada juga pemimpin yang turun untuk sekadar mengumumkan sesuatu projek besar yang bakal diadakan BN untuk kemanfaatan rakyat setempat.
Fenomena serupa nampaknya semakin terzahir kembali menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Dun Galas, Kelantan, 4 November akan datang. Belum pun berlangsung penamaan calon yang dijadualkan pada 26 Oktober nanti, para pemimpin utama BN dari peringkat Pusat sudah silih-berganti datang ke daerah Hulu Kelantan itu.
Dalam tempoh dua minggu mendatang ini dijangkakan semakin ramai pemimpin atasan datang dan semakin banyak progam-program secara ‘kebetulan’ itu bakal berlangsung di Galas. Bagi mengalu-alukan kehadiran mereka, wajar kita ucapkan “Selamat Berbohong” untuk para pemimpin BN!
No comments:
Post a Comment