Thursday, November 4, 2010

ADUN Lenggeng diperintah bela diri tuduhan rasuah

RASAH 3 Nov. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini atas tiga tuduhan rasuah membabitkan RM5,000, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Mustafa daripada ketiga-tiga tuduhan tersebut pada 14 April lalu.

Menurutnya, selepas meneliti bukti dan hujahan kedua-dua pihak, beliau berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ADUN berkenaan.
Kes berkenaan yang disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amran Jantan kemudiannya menetapkan 23 November ini untuk perbicaraan di peringkat pembelaan.
Amran turut membenarkan Mustafa diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Mustafa sebelum ini dibebaskan oleh Amran daripada tuduhan-tuduhan tersebut setelah beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Mustafa, 52, yang hadir pada prosiding hari ini dengan memakai baju kemeja lengan panjang warna putih kelihatan tenang ketika Ahmad Nasfy membacakan keputusannya.
ADUN tersebut didakwa menerima suapan RM3,000 daripada seorang kontraktor, M. Manimaran melalui Mustafa Pendek di Lot 1321, Mukim Pantai, Seremban pada pukul 11 pagi, 28 Ogos 2008.
Suapan wang itu didakwa diterima sebagai balasan untuk mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit menjual pasir.
Tertuduh juga didakwa menerima RM2,000 daripada Manimaran untuk tujuan yang sama di Jahrin Maju Restaurant, Taman Bunga Raya 2, Mantin di sini pada pukul 5 petang, 31 Ogos 2008.
Bagi tuduhan ketiga, Mustafa didakwa meminta RM2,000 daripada Manimaran di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di Jalan Datuk Klana Ma'amor di sini pada pukul 9.05 malam, 30 Ogos 2008.
Mustafa didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri, Feza Fazlin Fandi sementara Mustafa diwakili peguam Feisal Mustapha dan Datuk Taqiyuddin Yahya.

No comments:

Search This Blog