Tuesday, October 5, 2010

Hishamuddin jahil atau cakap bohong?


Oleh Abdul Aziz Bari
Dua bulan lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, disoal pelajar mengenai kedudukan darurat di Malaysia. Soalan itu dikemukakan dalam satu persidangan dianjurkan sebuah kesatuan pelajar kita yang sedang menuntut di United Kingdom. Menurut seorang peserta yang kemudiannya menghubungi saya, Hishammuddin berkata, darurat itu sudah tidak wujud dan tidak timbul soal sesiapa boleh ditahan di bawah undang-undang darurat.


Jawapan itu memeranjatkan saya kerana ia tidak betul. Ada dua keadaan sahaja yang boleh saya fikir berhubung dengan jawapan menteri berkenaan; yakni sama ada beliau jahil atau beliau berbohong dengan pelajar-pelajar itu


Saya rasa lebih baik saya kategorikan beliau dalam kumpulan pertama kerana kalau saya letakkan beliau dalam kumpulan kedua lebih teruk kesannya kepada beliau. Ini kerana Hishammuddin ialah anggota pentadbiran kerajaan.

Mungkin ada yang bertanya: sebagai seorang peguam takkanlah Hishammuddin tidak tahu undang-undang? Jawapan saya ialah pengetahuan manusia tidak sempurna. Kita tidak tahu semua benda. Seorang peguam terpaksa membuat pengkhususan dan setahu saya menteri itu bukan seorang yang terlibat dengan isu-isu perlembagaan sewaktu beliau mengamalkan undang-undang sebelum menyertai politik. Selain itu beliau belajar undang-undang di England dan pastinya tidak belajar undang-undang perlembagaan kita. Seperti yang kita maklum Malaysia mempunyai perlembagaan bertulis dan peruntukannya cukup banyak. Dan mengelirukan pula.

Undang-undang mengenai darurat ketika ini diperuntukkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah peruntukan ini kuasa mengisytiharkan darurat terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong. Secara umum, dan setakat yang berlaku, baginda bertindak di atas nasihat kerajaan.

Apa maksud dan kesan darurat di sisi undang-undang? Sebagaimana yang kita faham tentang perkataan ‘darurat’ itu sendiri ia membawa maksud huru-hara yang ekstrem dan apa-apa yang biasanya tidak boleh dilakukan menjadi harus. Di sisi perlembagaan apabila darurat diisytiharkan maka perlembagaan, sebahagian besarnya, boleh digantung dan dilanggar oleh kerajaan atau Parlimen. Ketika ini kerajaan, bukan sahaja Parlimen, boleh membuat undang-undang tanpa pergi ke Parlimen. Ia juga boleh mengambil alih pentadbiran negeri.

Demikianlah dahsyatnya implikasi darurat kepada struktur perlembagaan. Pada hakikatnya darurat ialah sejenis mekanisme untuk menggantung perlembagaan. Walaupun ada hal-hal yang dikecualikan, contohnya perkara-perkara berhubung dengan Islam, adat istiadat Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, ini semua bukanlah sesuatu yang utama dalam konteks demokrasi dan pentadbiran buat masa ini.

Berbalik kepada soalan para pelajar tadi sebenarnya Malaysia masih lagi berada di dalam kerangka darurat. Ini kerana perisytiharan-perisytiharan darurat yang dibuat sebelum ini, khususnya yang dibuat pada 1964 dan 1969, masih belum ditarik balik. Undang-undang yang dibuat di bawah perisytiharan itu juga masih berkuat kuasa. Ertinya undang-undang itu masih boleh digunakan. Salah satu daripada undang-undang itu ada digunakan di dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dipecat dari Kabinet dan UMNO pada 1998.

Nampaknya ramai menteri – termasuk mereka yang berkelulusan undang-undang – tidak sedar akan kedudukan yang saya sebutkan itu. Tetapi walau apa pun undang-undang yang ada itu sering digunakan oleh kerajaan. Malahan apabila mereka tersepit dalam soal royalti minyak pun mereka gunakan undang-undang darurat untuk menepisnya.

Saya harap para pemimpin Pakatan Rakyat sedar dan tahu masalah yang sedang kita hadapi ini. Saya yakin Barisan Nasional tidak akan berbuat apa-apa. Mereka telah dan akan terus mempertahankan darurat yang amat berguna buat mereka ini. Sebagaimana mereka mempertahankan ISA dan Auku. Apa yang Pakatan perlu lakukan? Jika mereka menang dalam PRU yang akan datang mereka perlu nasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya menarik balik perisytiharan darurat yang masih hidup dan bernyawa itu.

Bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pernah mengkritik Perisytiharan Darurat 1969 yang turut menyumbang dalam penyingkirannya. Beliau juga membayangkan bahawa Raja-Raja tidak selesa dengan apa yang berlaku. Ini bermakna ada begitu banyak alasan mengapa perisytiharan darurat yang mengerikan itu tidak harus dikekalkan.

Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama 21 tahun.

No comments:

Search This Blog