Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa hari ini. Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari ini.
“Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29 A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini,” katanya.
Sementara itu, tiada Persidangan Dewan Undangan Khas Negeri Kelantan diadakan hari ini yang dipercayai berkaitan dengan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Halim Hamad ketika dihubungi berkata, majlis yang diadakan di Kota Darulnaim, pejabat pentadbiran negeri hari ini adalah majlis jamuan raya dan bukannya sidang dewan.
Dalam pada itu, kesemua wartawan tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan di Kota Darulnaim kerana mempercayai adanya sidang dewan khas bermula pada 10 pagi.
Wartawan-wartawan hanya dibenarkan menunggu di balai pengawal pada pintu masuk Kota Darulnaim.
Mereka ditunjukkan sekeping surat oleh pengawal dari Unit Protokol Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak membenarkan sebarang liputan dibuat.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Pemangku Raja Kelantan akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan hari ini setelah lebih setahun menjadi Pemangku Raja
No comments:
Post a Comment