Kegagalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengawal media naungan Umno memihak kepadanya dalam isu Pertubuhan Pribumi Perkasa(Perkasa) bukanlah kelemahan pentadbirannya semata-mata.
Tetapi ia berkaitan dengan perbalahan di dalam Umno di antara orang nombor satu dan nombor dua parti Melayu itu.
Keghairahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membela Perkasa dan kelantangan Utusan Malaysia menyanggah saranan Najib agar Umno menjauhkan diri dari Perkasa dikaitkan dengan pengaruh Dr Mahathir terhadap surat khabar berbahasa Melayu berkenaan.
Untuk rekod sehingga berita ini ditulis Utusan sudah dua hari berturut-turut menyediakan muka surat penuh yang melaporkan sokongan orang Melayu terhadap Perkasa.
Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar adalah tidak mustahil Dr Mahathir mendokongi agenda ini bagi merosakkan imej Najib dan membantu menaikkan imej Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lebih disenangi beliau.
Dr Mahathir sebelum ini menyatakan Muhyiddin lebih layak menjadi Perdana Menteri kerana keberaniannya mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur selepas kegagalan Umno dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu.
Sejak kebelakangan ini dalam beberapa isu terutama yang membabitkan isu rundingan berkenaan kepentingan Malaysia di Singapura(isu penyerahan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad) kurang disenangi oleh beliau. Bagi Dr Mahathir, Perdana Menteri itu terlalu berlembut dengan pihak Singapura.
Atas isu-isu inilah menurut Mahfuz menjadi antara faktor yang menyebabkan bekas Perdana Menteri paling lama berkuasa itu untuk berpihak kepada Muhyiddin.
"Hujahnya mudah, Dr Mahathir memang terkenal sebagai seorang yang sanggup melakukan tindakan politik yang luarbiasa bagi memenuhi agendanya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana beliau terdedah kepada isu-isu lama(semasa menjadi Perdana Menteri) yang boleh menggugat kedudukan beliau," kata Mahfuz.
Tegas Mahfuz lagi, sepanjang memerintah Mahathir tidak ada rekod yang cemerlang membela orang Melayu. Semua hak Melayu tergadai semasa di bawah pemerintahannya.
Berkenaan dengan trend sokongan Utusan terhadap Dr Mahathir, menurut satu sumber yang rapat dengan pihak Utusan. Senario itu bukan sesuatu yang ganjil, menurutnya hampir kesemua yang berada di dalam Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan ketika ini dikaitkan dengan kem Dr Mahathir.
Pengerusi Eksekutif Utusan sekarang Tan Sri Mohamad Hashim Ahmad Makaruddin adalah seorang yang rapat dengan Dr Mahathir dan pernah menjadi setiausaha politik beliau.
"Bukan satu masalah yang besar bagi Dr Mahathir untuk mempergunakan Utusan untuk kepentingan politiknya. Walaupun Najib cuba memasukkan orang-orangnya didalam Utusan tetapi masih belum mampu menyaingi pengaruh Mahathir dalam membuat keputusan penting terutama perkara yang membabitkan Mahathir," dakwanya yang enggan mendedahkan identiti ketika dihubungi TV Selangor.
No comments:
Post a Comment