Abu Firdaus
Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, akan dibesar-besarkan mengenai Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Razak. Boleh dianggap bahawa penyanjungan ini akan lebih dipandang hebat berbanding Tun Dr Mahathir. Kalau benar-benar ehndak dibuat penilaian mana perdana menteri paling hebat, ia boleh dilakukan secara objektif. Semua perdana menteri itu ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Kalau dari sudut propaganda dapat difahami mengapa Tun Razak kini lebih-lebih dibesar-besarkan. Maklumlah Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib adalah anak Tun Razak. Andai kata Datuk Seri Hishammuddin jadi Perdana Menteri satu hari, maka Tun Hussein Onn akan dibesar-besarkan.
Begitu jugfa kalau Datuk Mukhriz jadi Perdana Menteri, maka Mahathir akan dihebat-hebatkan. Malah kalau akhirnya Khairy Jamaluddin jadi Perdana Menteru, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan diingat-ingatkan. Begitulah resam politik.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa Tun Razak adalah seorang yang hebat. Dalam jangka masa yang pendek, beliau telah mengubah keadaan negara. Beliau memang bijak. Berbanding dengan Mahathir yang memimpin pada jangka waktu yang lama. Malaysia bertuah mendapat pemimpin seperti beliau, tretapi pada waktu yang sama adalah malang kerana beliau tidak sakit dan meninggal dunia pada waktu negara masih mengharapkan kepimpinannya.
Dengan pihak PAS juga, Tun Razak mempunyai hubungan baik. Teringat penulis ketika berbual dengan Allahyarham Datuk Asri sejurus selepas beliau terlepas kuasa dalam kepimpinan parti. Menurutnya kalau Tun Razak panjang umur dan bukannya Hussein yang menjadi Perdana Menteri kemungkinan PAS masih terus berada dalam Barisan Nasional. Beliau mendengar segala pandangan parti komponen BN khususnya PAS.
Secara umumnya, Asri kelihatan kecewa kerana Umno campur tangan dalam hal ehwal PAS yang mengakibatkan parti Islam ini ditendang keluar daripada BN. Selanjutnya Kelantan diisytiharkan Darurat akibat gerakan membakar tayar yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Umno dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). Berjasa mengambil tempat PAS dalam BN. Ketika itu Datuk Ibrahim Ali ialah Ketua Pemuda Berjasa. Kini beliau ialah ketua Perkasa.
Akhirnya Asri menubuhkan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan membawanya menyertai BN. Berjasa membantah tetapi tidak ada kuasa. Hussein yang terima masuk Berjasa tetapi Mahathir yang membawa masuk Hamim ke BN. Pendekatan Tun razak, Hussein dan Mahathir berbeza. Maka kedua-duanya duduk dalam BN. Untuk beberapa ketika pula Asri berusaha membubarkan Hamim tetapi gagal. Akhirnya beliau menyertai Umno.
Apabila berlaku perpecahan antara Mahathir dan Tengku Razaleigh, Berjasa dan Hamim keluar BN dan menyertai Angkatan Perpaduan Ummah. Dalam Angkatan terdapat Parti Semangat 46, PAS dan juga Kongres India Muslim Malaysia (Kimma). Setelah Tengku Razaleigh gagal dalam pilihan raya umum, Kimma tinggalkan Angkatan dan memberi sokongan pada BN. Mereka ingin benar menyertai BN tetapi dihalang olah MIC. Apa yang dapat dilakukan oleh Umno menerimanya menjadi ahli bersekutu Umno.
BN adalah hasil kreativiti Tun Razak. Tetapi ia tidak tercetus begitu saja. Asasnya adalah kerjasama antara Tun Razak dan Asri. Tanpa kerjasama PAS, tidak akan ada BN. Kerajaan campuran Perikatan-PAS di Kelantan merupakan permulaan kepada BN. Tetapi supaya ia tidak nampak sebagai pakatan parti-parti Melayu, maka dimulakan dahulu dengan kerajaan campuran Perikatan-Gerakan. MCA tidak bersetuju tetapi ia sudah lemah hinggakan sebelum itu, ia pernah menawarkan diri untuk keluar dari Perikatan.
Dalam pilihan raya 1969, pengundi Cina meninggalkan MCA dan memberika undi kepada Gerakan dan DAP. MCA mahu mengundurkan diri dan sebenarnya masyarakat Cina bersedia untuk MCA digantikan dengan parti lain dalam Perikatan. Maka sewajarnya sama ada Gerakan atau DAP yang meraih banyak undi.
Senario ini sebenarnya dicita-citakan oleh Lee Kuan Yew ketika Singapura dalam Malaysia. Beliau tidak mahu partinya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) hanya berlegar di pulau itu. Tentunya beliau mahu PAP menjadi parti seluruh Malaysia dan muncul sebagai parti membela bukan Melayu. Justeru dicadangkan supaya PAP menggantikan MCA dalam Perikatan. Malah kalau dianggap bahawa PAP parti pelbagai kaum dan mewakili Cina dan India, maka parti itu boleh menggantikan kedua-dua MCA dan MIC dalam Perikatan.
Namun begitu asalnya pun, PAP yang diasaskan oleh tokoh-tokoh pelbagai kaum iaitu8 bukan saja Lee Kuan Yew tetapi juga Tan Sri Samad Ismail dan James Puthucheary menggambarkan bahawa PAP adalah parti pelbagai kaum bukan untuk Singapura saja tetapi untuk Malaysia. Mungkin sejarah negara jadi berbeza jika Samad Ismail yang muncul sebagai ketua PAP dan Perdana Menteri Singapura. Mungkin PAP dapat berada dalam Perikatan dan SIngapura kekal dalam Malaysia.
Tetapi Tunku Abdul rahman setia pada kawan dan mahu kekalkan MCA. Dalam piliohan raya tahun 1964, percubaan pertama Lee Kuan Yew hendak menunjukkan kemampuan PAP untuk meraih undi bukan Melayu. Tetapi ternyata gagal dan akibatnya, rentetean peristiwa berlaku hingga Singapura dikeluarkan daripada Malaysia. Tunku berjasa singkirkan Lee, PAP dan Singapura.
PAP di Malaysia jadi DAP dengan pimpinan bekas setiausaha akhbar Lee Kuan Yew, Lim Kit Siang. Walaupun PAP gagal pada tahun 1964, DAP berjaya pada tahun 1969. Kalaulah DAP dan Gerakan bersatu, mungkin ia menjadi lebih kuat. Namun begitu, Gerakan berjaya mengambil alih Pulau Pinang dan DAP hampir dapat menubuhkan kerajaan negeri Selangor.
Andai kata Gerakan, DAP dan Parti Progresif Rakyat (PPP) bergabung, mereka menjadi parti pembangkang yang kuat di Pulau Pinang, Perank dan Selangor. Sekiranya PAS dan Parti Rakyat turut serta bekerjsaam dengan mereka, maka gabungan parti-parti ini boleh menjadi alternatif kepada Perikatan. Malaysia akan menjadi negara yang mengamalkan sistem dua parti yang lebih awal.
Tun Razak musnahkan segala kemungkinan bahawa Malaysia menjadi negara bersistem dua parti. Beliau menggagaskan bahawa negara akan lebih stabil dengan sistem satu parti. Maka diundangnya semua parti supaya bersama Umno dalam BN. DAP pula yang menolak. Masa Lee Kuan Yew dahulu, PAP beriya-iya mahu mersama Umno tetapi lepas 1969, ia menolak. Maka Gerakanlah yang mengambil tempatnya.
Tetapi BN beroperasi dalam Malaysia yang sudah berubah. Lebih mudah untuk memahami perkara ini ialah dengan melihat Majlis Gerakan Negara (Mageran) pimpinan Tun Razak sebagai asas kepada BN. Daripadanyalah dasar Ekonomi Baru (DEB) dan banyak lagi langkah-langkah yang menyaksikan Malaysia berbeza daripada zaman Tunku. Demokrasi zaman Mageran dan BN sudah banyak terhakis. . ..
Mungkin kepimpinan Umno hari ini ingin mengikut jejal langkah Tun Razak dengan mendokong Kerajaan Perpaduan (UG) bersama PAS. Jika mahu mewujudkan BN baru, mereka bukan saja perlu mengundang PAS tetapi DAP dan Keadilan seperti mana Tun Razak mengundang semua parti.
Namun begitu, melihat balik, institusi-institusi demokrasi yang dikembirikan selepas Mageran dan BN hanya berkesan untuk jangka pendek. Bila jangka panjang, ia mendatangkan perkembangan negative pada negara.
No comments:
Post a Comment