Terdapat banyak kes berprofil tinggi lewat diselesaikan agensi penguatkuasaan kerana terlalu memberi tumpuan menyelesaikan kes-kes kecil yang tidak pernah berkesudahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, agensi penguatkuasaan yang dipertanggungjawabkan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) harus mengambil tindakan serius untuk menghentikan perkara yang sama daripada terus berulang dengan menangkap ‘ikan besar’ yang menjadi dalang pada masalah itu. Menurutnya, terdapat segelintir rakyat yang meletakkan persepsi negatif terhadap agensi itu seolah-olah mereka tidak menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sempurna.
“Agensi terbabit harus menangkis persepsi itu dengan mempertingkatkan usaha dan tenaga bagi mengesan ‘ikan besar’ supaya aktiviti mereka dapat dihalang daripada terus berleluasa,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Perak di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn.
Tsu Koon berkata, jika ‘ikan besar’ berjaya ditangkap ia adalah kejayaan yang besar daripada mengambil tindakan ke atas 1,000 ‘ikan kecil’.
Beliau yang juga Presiden Gerakan berkata, selain melaksanakan strategi ‘carpet bombing’ pada perniagaan kecil dan sederhana, agensi berkenaan harus memeriksa secara rawak sama ada peniaga menjalankan peniagaan mengikut syarat yang ditetapkan undang-undang.
“Bagaimanapun, saya berpendapat agensi berkenaan harus bertugas secara efektif dan langkah seperti menambah kakitangan adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan segala tugasan yang diberi,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau meminta supaya kerajaan membenarkan pekerja warga asing untuk bekerja di negara ini.
Katanya, jika pekerja warga asing ini dihalang untuk bekerja, industri perkilangan dan perladangan tidak dapat beroperasi secara sempurna.
“Sehubungan itu, sistem pengawalan dan pemantauan yang lebih efektif terhadap pekerja warga asing perlu dilakukan sebelum mereka dibenarkan untuk bekerja di sini,” katanya.
No comments:
Post a Comment