Tuesday, August 24, 2010

Kepimpinan Najib mula mirip era Pak Lah

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mula mempersenda kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dengan menggambarkan mirip gaya “Pak Lah” kerana kelihatan bimbang dalam melahirkan pendirian tegas ekoran isu-isu kontroversi kebelakangan ini.
Mereka mendakwa bahawa sikap Najib yang terlalu “berdiam diri” mencerminkan era Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila bekas perdana menteri itu takut dengan orang-orangnya sendiri dalam mengambil pendirian-pendirian tegas

Najib mengambil alih kepimpinan sebagai perdana menteri pada April 2009 selepas menjadi timbalan sepanjang era Abdullah yang mesra dikenali sebagai “Pak Lah”.
Abdullah menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003.
Mereka bimbang sikap sedemikian juga akan menggalakkan pihak lain mencetuskan sentimen kebencian kaum yang dikhuatiri ramai sekarang.
“Sikap diam diri beliau membuktikan pandangan saya bahawa musuh utama beliau ialah partinya sendiri,” kata ahli jawatankuasa kerja pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad sambil menambah, sebagaimana dilalui Pak Lah, Najib kelihatan bertindak sedemikian sekarang.
“Saya melihat Najib kelihatan melalui situasi yang sama sebab beliau juga berada dalam persekitaran yang sama,” kata beliau lagi.
Najib, yang juga Presiden Umno, juga bimbang untuk menolak politik berasaskan etnik dalam partinya, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini.
Pemimpin PAS itu memberitahu, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa kemungkinan Najib bimbang dengan tindakan balas daripada pemimpin-pemimpin Umno sendiri jika beliau bertindak tegas dalam isu-isu semasa seumpama itu.
Dzulkefly mengulas sikap mendiamkan diri Najib berhubung insiden menyentuh isu perkauman seperti membabitkan dua pendidik dari Johor dan Kedah, dan kontroversi melibatkan MCA ekoran Kongres Ekonomi Cina dan gesaan Majlis Perundingan Melayu dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang lain.
Pengarah Strategi PKR Chua Tian Chang sealiran dengan pandangan rakan-rakannya dari PR sambil memberitahu The Malaysian Insider bahawa sikap semasa Najib kelihatan kesinambungan daripada kepimpinan terdahulu.
Tambah beliau, dari semasa ke semasa Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Barisan Nasional mula kelihatan seakan-akan Pak Lah.
“Saya mendapat tanggapan ini... beliau kelihatan macam Pak Lah dari semasa ke semasa di mana beliau tidak terarah, tidak terurus dan tidak berupaya untuk mendapatkan sokongan keseluruhan Kabinet atau pemimpin-pemimpin parti sendiri untuk menyokong keputusan beliau,” katanya lagi.
“Seakan-akan kelihatan Najib tidak berupaya untuk melindungi arah tuju negara,” kata beliau ketika dihubungi.
Chua juga mendakwa Najib mencuba untuk melaksanakan konsep-konsep mega Model Baru Ekonomi dan 1 Malaysia tanpa meyakinkan pasukannya sendiri terlebih dahulu.
“Sebenarnya beliau tiada pasukannya sendiri, sama ada dalam Barisan Nasional ataupun yang lebik buruk dalam Umno,” katanya lagi sambil berkata, Najib kelihatan mendendangkan lagu seorang diri.
“Ini menyebabkan kumpulan lain mengambil peluang untuk menjadi popular kerana situasi ini,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP Anthony Loke juga bersetuju bahawa Najib telah gagal dalam menyemai dasar-dasarnya dalam pemikiran pemimpin daripada pasukan beliau sendiri.
“Meskipun beliau menggerakkan konsep 1 Malaysia, ia tidak difahami oleh orang beliau sendiri, oleh pemimpin Umno dan kakitangan awam,” katanya.
“Dan, hakikatnya Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberitahu akhbar-akhbar bahasa Cina (Mandarin) bahawa konsep 1 Malaysia tidak seharusnya menjadi urusan solo, dengan jelas menggambarkan bahawa dalam Umno sendiri, Najib tiada sokongan bagi 1 Malaysia,” katanya lagi.
Pemimpin-pemimpin itu melahirkan kebimbangan bahawa sikap mendiamkan diri Najib akan menyebabkan situasi tidak senang di kalangan kaum menjadi semakin buruk.
Mengambil kira keadaan sekarang, kata Loke, beliau pasti bahawa banyak lagi kumpulan sayap kanan akan muncul, mendesak dan memprovokasi sehingga menjejaskan keamanan negara.
Malah tegas Loke, kegagalan perdana menteri untuk bertindak tegas dan menghentikan kesemua tindakan mengarut hanya akan memberi isyarat kepada kumpulan-kumpulan ini terus bertindak macam ini.
Loke berpendapat kemungkinan ada pihak yang akan menganggap bahawa sikap diam diri Najib juga boleh dianggap sebagai beliau menerima tindakan dan kenyataan bersifat perkauman.
“Saya merasakan sikap berdiam diri bukan lagi satu opsyen bagi beliau,” katanya.
Jika Najib mahu berjaya dalam kepimpinannya, jelas Loke, presiden Umno itu perlu bertindak tegas dan menghentikan sikap melampau yang diperlihatkan sekarang.
Dzulkefly juga bersetuju bahawa kesan langsung sikap Najib akan membawa pihak-pihak lain bertindak mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersikap perkauman.
“Orang ramai akan merasakan bebas untuk berbuat demikian kerana mereka mendapati ada sokongan kerajaan. Malah mereka juga mungkin menganggap sebagai pelindung mereka,” katanya.
“Sekarang, persoalan ke mana kita hendak pergi,” katanya lagi.
“Bagi saya ia sangat serius, kesemua bentuk kenyataan dan tindakan bersikap perkauman ini,” katanya.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata Najib perlu menyediakan kepimpinan kepada rakyat berbanding dilihat “melindungi” sikap pelampau sesetengah pihak.
“Adakah beliau menyokong sikap sedemikian? Kegagalan beliau akan menyebabkan situasi buruk kepada negara,” kata beliau.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin PR juga berpendapat bahawa isu-isu perkauman semasa sebagai sebahagian daripada pelan besar perdana menteri dalam usaha memenangi pengundi Melayu.
“Kemungkinan beliau bermain dengan galeri orang Melayu,” kata Dzulkefly.
Katanya jika tanggapan itu benar ia adalah langkah tersusun Najib tetapi strategi berniat jahat untuk memenangi hati pengundi-pengundi Melayu.
“Ia semestinya sebahagian daripada pelan permainan beliau, untuk membawa negara ke arah situasi sekarang dan kemudian turun untuk menyelamatkan negara, kemungkinan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan mengepung kesemua kami,” katanya.
Sehubungan itu kata Dzulkefly, Najib perlu mengambil tindakan yang waras dalam menangani keadaan semasa tanpa cuba menjadi popular

No comments:

Search This Blog

Loading...