Oleh : Profesor Dr Abdul Aziz Bari
Perkembangan dalam UMNO dan PKR bulan lalu membangkitkan isu tentang hubungan antara parti dan kerajaan. Di Selangor PKR membuat perubahan dalam struktur kepemimpinan parti dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak lagi mengetuai parti di peringkat negeri. Sementara itu, perkembangan dalam UMNO menimbulkan soalan siapa yang memerintah: kabinet atau Majlis Tertinggi UMNO?
Kedudukan UMNO sebagai sebuah politik timbul ekoran kebenaran menjalankan judi bola kepada ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan. Pada mulanya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi lampu hijau. Bagaimanapun keputusan itu tidak kekal apabila UMNO tidak bersetuju. MCA tidak senang kerana pada rakan UMNO dalam Barisan Nasional itu keputusan berkenaan terletak di bawah kuasa kerajaan - yakni kabinet - dan bukan UMNO.
Soalan-soalan itu berbangkit kerana parti politik memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dan perjalanan kerajaan. Dan walaupun perlembagaan tidak menyebutnya kita faham bahawa kewujudan dan pengaruh parti-parti politik amat penting dalam menentukan perjalanan perlembagaan.
Minggu lepas saya menyebut betapa tarikh pilihan raya tetap perlu dan lebih baik. Walaupun sebelum itu saya menyatakan ia tidak boleh dibuat dalam sistem Westminster saya rasa kita perlu realistik; yakni kita jangan mengharapkan kerajaan akan jatuh melalui undi tidak percaya. Ini kerana parti politik tidak akan memperjudikan nasib mereka secara terbuka. Sekiranya mereka tidak senang dengan pemimpin mereka yang mengetuai kerajaan mereka akan membuat perubahan melalui proses dalam parti. Dengan kata lain parti-parti politik tidak akan menyembelih orang mereka sendiri di dalam dewan, di depan musuh mereka.
Ia adalah pendekatan yang lebih logik kerana mereka tidak mahu kehilangan kuasa. Inilah yang dilakukan oleh PKR di Selangor. Itulah juga yang PKR hendak lakukan apabila Ketua Umum PKR – Datuk Seri Anwar Ibrahim – diletakkan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Walaupun caranya berbeza pendekatan yang sama diambil oleh Parti Konservatif apabila Perdana Menteri Margaret Thatcher dipaksa berundur pada 1990 dan digantikan dengan John Major. Beliau dapat bertahan sehingga 1997 apabila Konservatif tewas di tangan Parti Buruh yang dipimpin oleh Tony Blair.
Memang ada contoh di mana parti menjatuhkan orang mereka sendiri melalui undi tidak percaya; yakni satu proses di luar parti dan secara terbuka. Inilah yang berlaku ke atas Datuk Harun Idris Menteri Besar Selangor pada 1975. Tetapi ini harus difahami dalam konteks yang tertentu; khususnya perancangan UMNO Pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang tidak selesa dengan pengaruh Harun. Dalam pada itu Pas pernah menjatuhkan Datuk Mohamed Nasir dari kerusi Menteri Besar Kelantan pada 1977. Tetapi perlu diingat bahawa itu dilakukan kerana Mohamed dianggap tali barut UMNO dan tiada cara lain yang boleh dibuat untuk membuang ahli parti yang menimbulkan masalah. Ketika krisis itu berlaku Pas berada dalam Barisan.
Tentang UMNO dalam isu judi bola pada saya bukanlah masalah besar. Apa yang penting ialah ada sikap yang konsisten dan jelas. Tidak berdolak-dalik. Dan semua anggota kabinet perlu akur. Dalam isu judi ini MCA dan MIC setuju dengan keputusan awal membenarkan lesen judi bola itu.
Kabinet mungkin hanya sekadar mengesahkan keputusan UMNO. Tetapi ini tidak salah. Seperti yang saya katakan tadi apa yang penting ialah keputusan itu tetap dan konsisten. Perlembagaan menetapkan syarat ini supaya kabinet boleh dipegang dan rakyat boleh menghukumnya. Inilah sebabnya mengapa perlembagaan mensyaratkan prinsip tanggung jawab bersama kabinet.
Atas dasar itu tidak salah bagi Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mempertikai kedudukan UMNO kerana Presiden MCA itu bukan anggota kabinet. Tetapi ia Pastinya meletakkan anggota-anggota MCA dalam keadaan sukar: ikut presiden parti atau Najib sebagai ketua kerajaan?
No comments:
Post a Comment