Wednesday, May 19, 2010

Satu Lagi Episod Malang Dalam Sejarah MIC

Oleh B. ANBUMANI

POLITIK MIC dikejutkan lagi dengan penahanan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif cabang pendidikan MIC - Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), P. Chitrakala Vasu, 39, atas tuduhan menipu membabitkan kes penyelewengan berjumlah RM 4 juta.

Ramai yang mungkin tertanya–tanya siapakah wanita tersebut sehingga mendapat perhatian umum termasuk di media massa sejak kebelakangan ini? Beliau bukan saja menjadi orang “kepercayaan“ Samy Vellu suatu ketika dulu tetapi dilihat sebagai seorang wanita yang cukup berpengaruh dan dikenali ramai dalam lingkaran MIC.

Orang politik berkata, MIC meletup lagi lepas ini kerana pergolakan MIED telah sampai ke tahap yang serius sehingga pendakwaan terhadap Chitrakala baru–baru ini telah mengegarkan semula politik MIC yang baru kelihatan hendak pulih.

Isu tersebut turut mendapat liputan meluas. Sudah tentu isu ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan nama baik parti kerana MIED merupakan sebuah entiti yang amat penting dalam parti itu.

Chitrakala bukanya calang–calang orang dalam rangkaian MIC. Kalau nak dapatkan bantuan pinjaman pendidikan dari MIED ataupun perkara–perkara lain, perlu mendapat restu terlebih daripadanya. Samy Vellu memberikan sepenuh mandat kepadanya untuk menguruskan MIED. Begitulah hebatnya wanita bernama Chitrakala Vasu ini yang mula berkhidmat dengan MIED pada tahun 1995 selepas dipelawa oleh Samy Vellu sendiri.

Walaupun beliau meninggalkan MIED pada tahun 2002 tetapi bintangnya kembali menyinar pada tahun 2004 setelah dipujuk semula oleh Samy Vellu untuk berkhidmat sebagai CEO MIED.

Ibu kepada empat orang anak ini turut mencipta sejarah yang tersendiri pada tahun 2007 setelah menerbitkan sebuah buku bertajuk “ Samy Vellu As We Know Him” (Samy Vellu Sepertimana Yang Kita Kenali). Buku berbentuk “coffee table” itu yang disusun sendiri oleh Chitrakala Vasu mengandungi 97 artikel yang ditulis oleh mereka yang rapat dengan beliau.

Buku setebal 300 muka surat itu turut memuatkan lebih 300 gambar yang jarang dapat dilihat mengenai Samy Vellu termasuk menceritakan karakternya sebagai presiden MIC dan juga seorang menteri. Hubungannya dengan Samy Vellu dikatakan mula suram setelah presiden MIC itu tewas pada Pilihan Raya Umum 2008 di Parlimen Sungai Siput.

Di satu sudut lain pula ahli–ahli MIC nampaknya tak senang hati dengan apa yang sedang berlaku di MIED kerana institusi tersebut ditubuhkan demi masa depan pelajar–pelajar kaum India untuk memperkasakan diri mereka dalam bidang pendidikan menjelang 2020. Banyak juga pelaburan yang telah dibuat termasuk peranan ahli–ahli MIC untuk menjayakan misi tersebut khususnya dalam pembinaan Universiti AIMST di Kedah.

MIED yang ditubuhkan pada tahun 1984 kini telah diheret ke mahkamah. Kes itu akan disebut semula pada 14 Jun ini sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan. Sudah pasti beberapa “VIP MIC” akan dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan.

Kes ini dijangka akan menjadi perhatian umum kerana melibatkan personaliti penting dalam MIC dan dijangka akan merungkai beberapa fakta yang masih menjadi misteri dalam MIED sendiri kerana banyak sangat spekulasi dan laporan media telah memberikan bermacam–macam gambaran yang berbeza.

Ahli–ahli MIC dan masyarakat India sebenarnya sudah naik muak dan jemu dengan pelbagai macam isu berkaitan MIED dibongkarkan di media massa dan media alternatif sejak tahun lepas lagi kerana mereka tidak mahu masa depan MIED menjadi seperti mana Maika Holdings.

Dan menurut fakta kes, Chitrakala Vasu didakwa menipu Tan Sri M . Mahalingam dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa bayaran RM1 juta kepada syarikat Silver Line Services Sdn Bhd (syarikat yang dimiliki oleh suami dan dirinya) sebagai bayaran balik pinjaman kepada tokoh korporat tempatan, Tan Sri Abdul Rashid Manaf, 64.

Mahalingam, 74, merupakan seorang pengarah yang telah diberi kuasa untuk menandatangani cek MIED Capital Sdn Bhd. Perbuatan itu didakwa telah mendorong bekas Bendahari Agung MIC itu menandatangani sekeping cek Bank Bumiputera Commerce bernilai RM1 juta sedangkan beliau tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Mahalingam juga merupakan seorang peguam dan sekutu lama Samy Vellu. Dan menurut pertuduhan kedua dan ketiga pula, Chitrakala didakwa menipu Mahalingam menggunakan dua keeping cek lagi yang setiap satu bernilai RM1 juta kepada syarikat Jernih Sdn Bhd atas tujuan yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 9 Januari dan 3 Mei 2007 di pejabat MIED di Menara Manickavasagam. Beliau didakwa mengikut seksyen 420 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pada 4 November tahun lalu pula, Chitrakala memfailkan saman fitnah terhadap Samy Vellu dan isterinya serta akhbar Tamil Nesan berhubung kenyataan bahawa dia telah mengambil wang insurans MIED dan memindahkannya ke sebuah syarikat milik suaminya.

Untuk mengetahui kesudahan cerita ini, kita sama–samalah tunggu hari perbicaraan nanti dan siapa yang sebenarnya bersalah. Apa yang pasti, ahli–ahli MIC tidak sanggup lagi menghadapi satu lagi kekecewaan selepas ini kerana sepertimana masyarakat India yang lain, kesemuanya sedang memerhati setiap langkah dan gerak geri MIC dan kesudahan satu lagi episod malang dalam sejarah perjalanan MIC.Mstar

B. Anbumani ialah seorang Perunding Media dan Penganalisa Politik

No comments:

Search This Blog