Sunday, May 16, 2010

Pemberian Lesen Judi: PPIM Kecam Kerajaan

Isu pemberian lesen judi oleh kerajaan kepada Kumpulan Berjaya terus mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terbaru, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula menyelar tindakan kerajaan memberikan lesen judi bagi pertaruhan bola sepak Piala Dunia Jun ini.

Menurut Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma'amor Osman tindakan memberikan lesen judi itu adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengharamkan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur perjudian.

“Tindakan (memberikan lesen judi) ini sangat tidak wajar. Jika begitu, isu pelacuran, rasuah... juga boleh dihalalkan,” katanya kepada mStar Online semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kementerian Kewangan secara rasmi memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini.

Ma’amor berkata sekiranya kerajaan membenarkan lesen berjudi ini maka ia secara tidak langsung akan mencemarkan pembangunan bidang sukan di negara ini.

“Jangan cemarkan bidang sukan dengan unsur-unsur judi kerana ia tidak sihat kepada pembangunan sukan di negara ini,” katanya.

Ma'amor berkata sekiranya perjudian ini dibenarkan ada kemungkinan besar akan berlakunya rasuah dalam sesuatu permainan sukan yang dijalankan.

“Jika sesuatu kumpulan inginkan kemenangan dengan mudah mereka boleh 'membayar' kepada pihak yang bertanggungjawab kerana jika judi dihalalkan tidak salah jika rasuah juga dihalalkan.

“Sebagai rakyat biasa kita mahu mengajar perkara yang baik terutama kepada kanak-kanak kecil. Tidak mustahil akan berlakunya perjudiaan secara kecil-kecilan”, katanya.

Tegasnya, dalam Islam atau mana-mana ideologi sekalipun melarang pengikutnya berjudi.

“Malahan dalam rukun negara yang pertama ada mengatakan 'kepercayaan kepada Tuhan'. Oleh itu, bagi mereka yang berjudi adalah orang yang ingkar kepada kepercayaan Tuhan,” katanya.

Ma'amor berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan meneliti semula pemberian lesen judi itu.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk PAS, Umno dan beberapa NGO yang lain.

No comments:

Search This Blog