Ketika mengeluarkan hujah-hujah ini, Najib dengan penuh yakin mengumumkan bahawa BN semakin menghampiri matlamat ini. Malah, beliau mungkin berharap agar kemenangan BN di PRK Hulu Selangor boleh dijadikan hadiah ketika beliau mengunjungi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama
Kenyataan Najib ini sesungguhnya mengejutkan saya, namun perlu juga saya memuji kejujuran dan keberaniannya. Senario terbaru memperlihatkan bagaimana beberapa orang ahli parlimen Pakatan Rakyat keluar dari parti, dan memainkan peranan untuk menyerang PR. Kenyataan Najib ini tidak lain tidak bukan pengakuan terbuka bahawa beliaulah pengarah di sebalik sandiwara ini -- menuju ke arah matlamat besar untuk mengembalikan majoriti dua pertiga dalam parlimen.Pencaturannya sama sebagaimana beliau merampas kuasa kerajaan negeri Perak dari PR pada tahun lalu. "Secara tiba-tiba", tiga orang ADUN pengkhianat menyebelahi BN. Kemudian, beliau menamatkan nafas kerajaan negeri PR di Perak dengan tangan Sultan. Najib melayan perlembagaan negeri bagaikan sampah; memijak suara rakyat bagaikan tanah. Sekali lagi beliau menjejaskan sistem pengasingan kuasa, mengerah jentera negara yang ada untuk mengukuhkan kuasa BN.
Apa yang berbeza, Najib tidak lagi menyembunyikan "matlamat besar"-nya, sebaliknya secara terang-terang menyampaikan mesej yang jelas kepada ahli parlimen pembangkang, bahawa beliau amat memerlukan mereka. Apa-apa pun syaratnya, bolehlah dibincang kemudiannya.
Oleh itu, ahli parlimen PR yang gelojoh, malas berkhidmat, mencungkil rungutan rakyat, dan menyedari bahawa dirinya tidak berpeluang lagi untuk bertanding pada PRU akan datang..., menjadi sasaran Najib. Maka, Najib pun melambai-lambaikan tangan kepada mereka, agar mereka tampil ke depannya dan menggadaikan diri (yang "tidak ternilai"), lantas merealisasikan wawasan Najib untuk menguasai majoriti dua pertiga dalam parlimen.
Kehilangan kuasa meminda perlembagaan
Mengapa BN asyik gusar tak tentu arah setelah kehilangan majoriti dua pertiga dalam parlimen? Jawapannya semudah ABC. Untuk setengah abad yang lalu, sistem perundangan, eksekutif dan kehakiman digenggam BN. Semakin besar kuasanya, semakin beranilah orangnya. Tiga kuasa ini diperkudakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan BN. Fenomena kepincangan seperti "Undang-undang BN", "Polis BN" dan "hakim BN" yang kita saksikan hari ini, adalah produk kepada monopoli BN sepanjang ini.
Tanpa diduga, BN tersungkur dalam PRU ke-12. BN kehilangan majoriti dua pertiga hanya semalaman. Rakyat telah merampas kuasa pemerintah untuk menggubal undang-undang dan meminda perlembagaan. Untuk BN yang sudah biasa dengan kuasa dalam genggamannya, malapetaka ini cukup membinasakan.
Apa pentingnya kuasa untuk meminda perlembagaan? Secara ringkasnya, ia bagaikan senjata yang boleh digunakan untuk melindungi rakyat, bahkan boleh disalahgunakan untuk mengancam kepentingan rakyat. Persoalannya, dalam tangan siapa senjata itu berada? Sejak tahun 1960-an, saya menyeru rakyat untuk menafikan kuasa majoriti dua pertiga Perikatan (BN kemudiannya), yang membolehkannya meminda perlembagaan sewenang-wenangnya.
Sekali imbas, pemindaan yang bercanggahan dengan semangat satu orang satu undi, perbezaan ketara antara jumlah pengundi satu kawasan dengan satu kawasan yang lain, pindaan yang menjamin kemenangan parti pemerintah dalam persempadanan semula kawasan pengundi, malah pemansuhan undi ketiga (pilihan raya kerajaan tempatan) yang dibangkitkan baru-baru ini, semuanya diluluskan pada zaman itu. Kesannya masih dirasai sehinggalah sekarang.
Perlembagaan tidak harus dipinda sewenang-wenangnya
Perlembagaan ialah asas undang-undang negara yang suci, digubal rakyat melalui parlimen. Ia merupakan manifestasi prinsip kedaulatan rakyat. Malah, ia juga merupakan syarat amalan sistem berperlembagaan. Maka, kandungan dalam perlembagaan tidak harus diubahsuai sewenang-wenang tanpa diteliti fungsi dan kewajarannya. Ini menjelaskan mengapa akta kuno yang "ketingggalan zaman" di sesetengah negara masih disimpan sebagai "hiasan sejarah".
Untuk melangkah serentak dengan peredaran zaman, banyak negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan akan mengadakan referendum, walaupun telah diluluskan dengan majoriti dua pertiga dalam parlimen pindaannya. Sebarang pindaan perlembagaan perlu mendapat persetujuan rakyat untuk memperolehi legitimasinya. Kuasa menggubal perlembagaan dimiliki rakyat. Idea ini telah menjadi persefahaman semua umat manusia, malah merupakan nilai sejagat.
Perlembagaan hanya akan dipinda apabila amalannya bercanggah dengan kepentingan rakyat. Perlembagaan dipinda bukan kerana kepentingan sekumpulan orang, lebih-lebih lagi perkiraan politik beberapa kerat orang.
Pernah pakar perlembagaan menyatakan bahawa, seandainya perlembagaan boleh dipinda sesuka hati dalam parlimen, maka kuasa pindaan ini bersamaan dengan kuasa penggubalan. Ia bukan sahaja sesuatu yang tidak masuk akal dari segi teorinya, malah pelaksanaannya bakal mengundang malapetaka.
Apabila kuasa pengubalan perlembagaan dicabuli, maka kepentingan penggubal perlembagaan (rakyat) gagal dijamin. Perlembagaan gagal memainkan dwi-fungsinya, iaitu memperuntukkan kuasa dan pada masa yang sama mengehadkan kuasa. Dengan itu, kuasa mungkin akan menjadi abnormal.
Untuk mengelakkan pencabulan perlembagaan oleh kerajaan diktaktor, Thomas Paine dalam "Rights of Man"-nya berkata, "Perlembagaan adalah sesuatu yang wujud sebelum kerajaan. Dan kerajaan adalah produk perlembagaan. Perlembagaan bukanlah resolusi kerajaan, tetapi resolusi rakyat untuk membentuk kerajaannya."
Dengan kata lain, seandainya resolusi rakyat diubahsuai oleh kerajaan yang jahat, maka mana jaminannya hak asasi, hak kehakiman, hak politik, hak ekonomi dan hak sosial rakyatnya?
Taktik BN untuk survive
Untuk Najib, majoriti dua pertiga dalam parlimen adalah segala-galanya. Niatnya menjadi rahsia terbuka. Pada PRU ke-12, bukan sahaja rakyat mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan, malah menumpaskan empat kerajaan negeri BN dan menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen. Pengajaran ini cukup mencemaskan BN.
Meminda perkara pilihan raya dalam perlembagaan, menggunakan SPR untuk menyempadankan semula kawasan pengundian agar kuasa mereka dikekalkan, telah menjadi salah satu taktik BN untuk memastikan kelangsungan survival-nya. Namun, cubaan Najib ini tersekat kerana gagal mencecah majoriti dua pertiga dalam parlimen. Percayalah, persempadanan semula kawasan pengundi adalah perkara yang didahulukan, malah, lebih undang-undang yang menyebelahi BN dalam pengukuhan kuasanya akan menyusul kemudian, seandainya BN menguasai semula majoriti.
Sebagaimana yang saya sebut tadi, pindaan perlembagaan tidak dapat dielakkan ada kalanya kerana keperluan untuk menyesuaikan undang-undang dengan keadaan baru. Pada hemat saya, seandainya pindaan tersebut selari dengan kepentingan rakyat, mendukung cita-cita membina sesebuah masyarakat yang adil, saksama, bersih, dan menuju ke arah pengagihan sumber yang adil dalam bidang politik, ekonomi, budaya, pendidikan, tanah dan sebagainya--di mana ia menjadi persefahaman antara pemerintah dan pembangkang, maka bukanlah sesuatu yang susah untuk diluluskan dalam parlimen. Jadi, apa perlunya BN menguasai semula majoriti dua pertiga?
Hanya konspirator politik dengan muslihat yang tidak boleh terdedah, malah gelojoh untuk memenuhi nafsu kuasa, akan dihantui majoriti dua pertiga di mana-mana dia berada. Konspirator sebegini akan menggoda pelacur politik dengan wang ringgit yang ada, bermalam-malam dia berjinak-jinak dengan mereka atas "1katil".
Nampaknya Najib menyarat penuh harapannya dalam kunjungan beliau ke Amerika Syarikat kali ini. Sebelum Najib menyampaikan cenderamatanya kepada Obama, saya berharap beliau menatap pindaan perlembagaan pertama yang pertama kalinya diluluskan di Amerika Syarikat pada 15 Disember 1791,
"Parlimen tidak boleh menggubal undang-undang seperti berikut, mewujudkan agama kebangsaan atau menyekat kebebasan beragama, mencabul kebebasan bersuara atau penerbitan atau berpersatuan, merampas hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan mengadu kepada kerajaan."
Kemudiannya, beritahulah Obama dalam pertemuan mereka, "Perlembagaan '1Malaysia' juga mempunyai undang-undang sebegini. Selain agama kebangsaan, kami mendukung kesemua undang-undang itu. Malah perlaksanaannya berkesan sepanjang tahun ini. Konsep 'Melayu didahulukan' tidak bercanggahan dengan konsep '1Malaysia'. Negara kita adil untuk semua, satu dunia mengetahuinya."
Semoga Presiden Obama membalas dengan tepukan yang gemuruh, dan Najib kembali diiringi kebanggaan.
No comments:
Post a Comment