Tindakan biadap dan tidak bertanggungjawab penganjur Konvensyen Barisan Nasional Selangor yang menganak-tirikan pemimpin perwakilan MCA yang hadir dijangka menyukarkan usaha komponen itu untuk menawan Selangor.
Konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.
Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.
Antaranya, hanya lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.
Mengulas isu ini, Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata tindakan ini membuktikan MCA sudah tidak releven lagi dalam BN.
"Ini adalah buktinya, di mana semangat setiakawan yang dibanggakan telah dikorban hanya untuk kepentingan Umno.
"Perkara ini bukan baru sejak Najib menjadi PM dan melancarkan slogan 1Malaysia, beliau tidak pernah sebut nama dan guna MCA sebagai platform untuk bertemu masyarakat Cina. Semua diurus oleh pejabat PM," dakwa Hu.
Ditanya berkenaan ucapan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selongor, Datuk Noh Omar yang mengungkit bahawa orang Melayu telah banyak berkorban dengan memberikan kerakyatan dan meminta kaum bukan Melayu berterima kasih dengan tindakan ini.
Bagi Hu Pang Chaw, kenyataan Noh ini adalah dangkal dan tidak tahu membaca sejarah.
Tambahnya, soal kerakyatan ialah perkara yang dipersetujui bersama oleh pemimpin terdahulu dan juga British pada masa itu. Tentunya ada sebab yang kuat untuk pemimpin Umno ketika itu bersetuju dengan perkara berkenaan.
"Apabila berkata begitu Noh tidak layak duduk dalam kabinet PM yang memperjuangkan slogan 1Malaysia. Beliau juga tidak layak menjawat jawatan timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor yang akan berkempen di Hulu Selangor pada pilihan raya kecil hujung bulan ini nanti," tegasnya.
Konvensyen BN pada hari ini bertujuan bagi membincangkan berkenaan hala tuju parti itu dan hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi yang tidak dikenali.
Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.
No comments:
Post a Comment