Sepatutnya jumlah majoriti melebihi angka 5000 atau lebih lagi barulah dikira setimpal dengan kerja keras mereka. Ini diakui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjangka sebelum keputusan diumumkan bahawa BN boleh menang dengan majoriti sekurang-kurangnya 6000 undi.
Kemenangan majoriti undi BN berpunca dari undi orang Melayu di kawasan kampung, felda dan felcra yang jelas memihak kerajaan. Undi mereka inilah yang memberi kelebihan kepada calon BN, P. Kamalanathan di samping peratusan jumlah undi kaum India yang juga sudah beralih arah kepada BN. Orang Cina masih kekal dengan Pakatan. Cuma sekitar 30 perataus undi saja memilih calon BN selebihnya 70 peratus memihak calon Pakatan, Datuk Zaid Ibrahim sebagai tanda protes mereka kepada dasar BN yang dianggap tidak pernah menyebelah dan tidak adil kepada kaum mereka. Peralihan (swing) pengundian segelintir orang Melayu dan kaum India kepada BN didakwa kerana mendapat peruntukan dan habuan yang lumayan serta janji-janji projek pembangunan yang menguntungkan mereka. Majoriti mereka seolah-olah sudah tertarik dan menerima gagasan 1Malaysia yang diperkenal Perdan Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu idea yang memberi banyak kelebihan kerana menunaikan hasrat dan kehendak mereka.
Dalam hubungan ini, Najib dikatakan berjaya memikat hati rakyat terutama gulungan sederhana dan bawahan sekaligus meraih undi mereka. BN melakukan apa saja yang termampu asalkan kehendak asas mereka seperti sekolah, tanah dan bantuan umum termasuk memberi peruntukan berjuta kepada peneroka felda dan felcra yang mereka sendiri tidak duga. Berita terakhir, kaum Cina juga ditunaikan permintaan sebanyak 3 juta seperti yang dijanji bagi membina baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) walaupun mereka tidak mengundi BN.
Selepas menang, PM Najib berjanji akan terus menunaikan semua janji yang dibuat BN dalam kempen pilihan raya kecil itu bagi memenuhi kehendak rakyat dan memastikan semua mendapat menafaat tidak kira kaum sesuai dengan gagasan 1Malaysianya. BN menang kerana rakyat mendapat apa yang dihajat dan Najib sudah melaksanakan (deliver) permintaan mereka semasa berkempen yang membuat mereka merasa termakan budi dan seolah-olah tiada pilihan melainkan memangkah BN. Episod ini disebut membeli undi untuk meraih kemenangan yang dibantah oleh Pakatan dan sudah dipertikai Zaid dengan membawa kes itu ke mahkamah atas dakwaan kemenangan BN kerana menabur habuan dan peruntukan serta projek pembangunan bagi meraih undi rakyat.
Kenapa pelbagai bantuan dan peruntukan dicurahkan kepada rakyat di kawasan itu semasa kempen pilihanraya dan tidak waktu sebelumnya? Kenapa rakyat dibelai, didekati dan diberi semua apa yang diminta (termasuk apa yang tidak diminta) padahal peruntukan dan bantuan itu kelihatan terlalu lumayan dan sepatutnya boleh diagihkan ke tampat lain yang lebih memerlukan? Bagi BN dan Najib yang penting adalah kemenangan dan kemenangan adalah kritikal dan amat diperlukan bagi memastikan kawasan itu jatuh ke tangan BN. Kejayaan BN bermakna referendum kepada beliau dan petunjuk awal bagi menjayakan cita-cita besarnya untuk menawan Selangor dari tangan Pakatan. Kejayaan BN sudah dikaitkan dengan gagasan 1Malaysia Najib yang membela hak semua kaum dalam semua bidang yang membuat majoriti rakyat beralih mengundi BN. Pakatan pula dalam kempennya lebih banyak mempersoal dan mempertikai dasar BN yang didakwa menyeleweng tanpa memberi alternatif kepada agenda pembangunan ekonomi rakyat yang sepatutnya diberi perhatian.
Sepatutnya Pakatan menonjolkan gagasan baru yang boleh memikat hati rakyat seperti gagasan 1Malayasia dalam bentuk lain yang berbeza tetapi lebih bermakna dan berkesan. PAS For All itu baik dan seharusnya dikembangkan kepada gagasan sebenar Pakatan yang membawa maksud rakyat semua kaum tidak kira agama dan fahaman politik diberi perhatian dalam semua aspek kehidupan hidup mereka terutama dalam soal ekonomi dan pekerjaan.
Kajian mendalam dalam soal ini mungkin perlu dipertimbangkan jika Pakatan ingin membaiki diri dan mahu rakyat dan penyokong mereka mendapat pembelaan sewajarnya dari perjuangan sebenar mereka. Rakyat kini lebih cerdik, kritis dan mengerti apa yang menjadi keutamaan mereka dan pemimpin Pakatan harus sedar soal ini dengan mengurangkan politiking dalaman yang mempamirkan imej buruk mereka. Mereka seharusnya lebih menumpukan usaha sepenuh perhatian kepada agenda membela rakyat jika mahu memenangi hati mereka.
Persepakatan tiga parti itu seharusnya lebih telus dan mengelak dari banyak pertikaian sama sendiri yang tidak perlu bagi memberi gambaran positif kepada rakyat tentang kewujudan mereka untuk membela kehidupan rakyat khususnya gulungan bawahan. Persefahaman pemimpin sepatutnya bukan bersifat kosmetk dan berada di permukaan saja, tetapi seharusnya meresap masuk dalam jiwa dan hatinurani sebenar dengan memahami ideologi serta dasar perjuangan masing-masing parti secara jujur dan jelas.
Walaupun konsep ini sudah dipertikai oleh Pakatan sebagai dasar yang diceduk dari Israel, namun pengundi kampong dan pendalaman yang kurang berpendidikan tidak nampak faktor itu sebagai penghalang untuk mereka terpikat kepada konsep 1Malalysia. Mereka melihat gagasan itu memberi keadilan kepada mereka di mana hak semua dijamin dan peluang untuk kejayaan bersama. Tidak ada yang tidak terbela jika mereka memerlukan petolongan atau layak dibantu seperti yang sudah berlaku. Kaum Cina tidak tertarik dengan idea itu kerana mereka tidak memerlukan bantuan kerajaan dan sudaah boleh hidup sendoiri selama ini atas udaha mereka sendiri. Mereka tidak perlu bantuan kewangan BN kerana mereka sudah kuat, tapi menuntut hak yang lebih yang selama ini dinikmati kaum bumiputra seperti soal pelajaran, ekonomi dan peluang bernaga yang adil.
Rengkasnya, kehendak dan kepentingan rakyat semua kaum harus diutamakan dan diberi penekanan dalam bentuk projek atau bantuan yang boleh mengeluarkan mereka dari kesempitan hidup. Dalam situasi ekonomi negara yang tidak menentu dan mencabar, rakyat memerlukan pembelaan dalam bentuk perancangan ekonomi besar atau kecil yang boleh membantu meningkatkan pendapatan mereka. Konsep membela dan mendekati rakyat yang mirip gagasan BN mungkin perlu diberi perkiraan dan diperkenalkan kepada rakyat jika Pakatan mahu memenangi hati rakyat sekaligus undi mereka dalam pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment