Oleh kerana waktu yang dipilih untuk menjadi bebas ialah sewaktu berlangsungnya pilihanraya kecil Hulu Selangor maka bebasnya itu bukan bermaksud dia tidak memihak kepada Pakatan atau BN. Hakikatnya perlakuan Tan adalah bertujuan untuk memberitahu rakyat jelata bahawa KeADILan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah parti bermasalah.
Apabila berlaku pilihanraya, maka dunia diberitahu bahawa sebuah parti yang bertanding dalam pilihanraya itu bermasalah maka untunglah parti lawannya. Jadi tindakan ADUN Bakar Arang itu jelas menguntungkan BN, maka bolehkah dia diiktiraf sebagai bebas?Tiga bekas ADUN Pakatan berjaya membantu BN menegakkan sebuah kerajaan luar tabie di Perak. Mereka juga mendakwa bebas, tetapi menyokong BN. Bebas apa ke namanya?
Raja Katak dari Pasir Mas turut mendakwa dirinya bebas. Dia turun ke Hulu Selangor kononnya tidak memihak kepada Pakatan atau BN. Tetapi dia naik ke pentas BN berceramah menghentam Anwar dan menegaskan bahawa BN perlu dimenangkan.
ADUN Lunas mendakwa dirinya bebas tetapi berceramah di Hulu Selangor di atas pentas BN untuk memenangkan Kamalanathan. Di negara ini ‘bebas’ boleh dianggap sebagai parti komponen BN secara tidak rasmi.
Tan Wei Shu keluar parti di saat pilihanraya kecil Hulu Selangor. Mungkin ia secara kebetulan saja. Kalau tiada pilihanraya pun boleh jadi dia akan keluar juga masa itu. Kebetulan itu boleh diibaratkan sama seperti kehadiran projek kilat berjuta-juta di Hulu Selangor.
Setiap menteri yang diajukan soalan itu oleh media memberi jawapan yang sama. “Sebenarnya semua projek itu sudah dirancang dari awal.” Hanya manusia yang berfikir menggunakan kepala lutut saja yang boleh menerima alasan yang diberikan itu. Begitu jugalah jika ada yang mendakwa bahawa keluarnya Tan Wei Shu dari Pakatan tiada kena mengena dengan konspirasi politik BN untuk sesuatu tujuan politik. Dengan itu sukarlah untuk dipercayai bahawa beliau kelaur parti dengan percuma tanpa apa-apa ‘bayaran perpindahan’.
Saya telah menulis untuk sekurang-kurang tiga artikel dalam ruangan ini sejak dua tahun lalu berhubung isu cubaan menubuh kerajaan katak di Kedah, lantas tidak perlu mengulas lagi dalam tulisan ini. Di belakang tabir saya mempunyai maklumat yang lebih terperinci berhubung usaha menubuhkan kerajaan katak ini tetapi atas sebab tertentu tidak dapat memperincikan di dalam tulisan.
Dua ADUN yang membuat lompatan itu adalah yang memang sudah dijangkakan sejak lebih setahun yang lalu. Antara sebab Tan Wei Shu digugurkan dari exco ialah kerana ketidakyakinan partinya bahawa dia akan setia terhadap parti. Daripada dia melompat sewaktu menjadi exco, lebih baik dia melompat kerana (kononnya) tidak dapat exco.
Untuk membuat lompatan politik, sekalipun nampak mudah, hakikatnya ia sukar juga. Macam sukarnya seseorang nak jadi pelacur. Pelacur tiada moral tetapi tapi dia malu jika dunia tahu dia pelacur. Dia menutup muka bila ditangkap. Orang tiada moral macam pelacur pun tahu jaga maruah, maka apatah orang politik.
Sebab itu selain dari tawaran yang mengelabui mata jika melompat, asas pertikaian yang membuka ruang ke arah lompatan tidak boleh dinafikan begitu saja. Maksudnya penolakan dari dalam.
ADUN Bukit Selambau S. Manikumar menggesa partinya tidak memandang remeh sebab musabab seseorang itu keluar parti. Ia mesti diteliti, diambilkira dan diambil tindakan. Pertikaian dalam organisasi adalah perkara biasa. Tetapi pertikaian dalam KeADILan agak rumit dan bersimpang siur. Tidak semua tindakan keluar parti itu adalah angkara musuh. Ramai juga yang keluar parti atau menyisih diri dari parti tanpa apa-apa habuan.
Dengan lompatnya Wei Shu, Pakatan tinggal 20 dari 36 kerusi DUN. BN perlu mengumpan lagi tiga ADUN untuk mendapat majoriti mudah satu kerusi, kerana buat masa ini BN hilang satu kerusi di Kota Siputeh. Kali ini laluan mereka tidak mudah kerana baki yang ada di kalangan tiga ADUN KeADILan yang tinggal sangatlah kebal. Cubaan mendapat satu kerusi DAP juga bagai mahu mengalih gunung Jerai. Manakala bagi PAS, BN tidak perlu mencuba langsung. Berniat untuk mendapatkan ADUN PAS yang mahu melompat pun adalah kerja yang sia-sia.
Bagi BN menumpukan kerja untuk memenangi pilihanraya umum ke 13 adalah lebih baik dari berusaha membentuk kerajaan katak yang tiada bermaruah.
BN pun tahu kemampuan mereka terbatas, namun daripada membiarkan kerajaan Pakatan memerintah dengan selesa biarlah mereka mendendangkan selalu akan lagu ‘kejatuhan kerajaan Pakatan Kedah’. Biar nampak macam kerajaan yang ada tidak stabil.
Pencak politik Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak lebih hebat. Apabila diajukan soalan oleh wartawan perihal ura-ura ada lagi ADUN melompat dengan selamba beliau menjawab, “Tiada masalah nak jadi pembangkang, kita dah biasa 50 tahun jadi pembangkang.” Mati kutu wartawan dibuatnya.
Di hadapan kita terbentang baki dua tahun lebih untuk membuktikan kepada rakyat Kedah bahawa (sekurang-kurangnya) rakyat tiada apa-apa masalah berada di bawah Pakatan. Rakyat pun tahu bahawa bukan tugas kerajaan untuk menghHulur barang dapur kepada setiap pintu rumah. “Siapa pun jadi kerajaan, kita kena cari makan macam tu juga,” itu pemikiran rakyat Kedah. Sebab rakyat Kedah cara berfikirnya mudah.
No comments:
Post a Comment