Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail hari Khamis memfailkan semakan kehakiman meminta mahkamah mengeluarkan perintah untuk mengisytiharkan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sariff dari Barisan Nasional (BN) bukan lagi ADUN berikutan kegagalan menghadiri dua sidang DUN itu.
Abdul Isa memohon semakan kehakiman itu dipohon ekoran keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Abu Hassan sebagai ADUN Kota Siputeh walaupun pada 17 Ogos lepas beliau telah memaklumkan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
Bagaimanapun SPR pada 1 September lalu membuat keputusan Abu Hassan kekal ADUN kerana berdasarkan beberapa peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri Kedah, beliau tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.
Berdasarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan KuasaKuasa Khas) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur, Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi DUN bagi kawasan Kota Siputeh kosong dan seterusnya mahu SPR mengadakan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.
Abdul Isa turut memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah injunksi untuk menghalang Abu Hasan atau ejenejennya daripada menjalankan tugas sebagai ADUN kawasan itu.
Selain itu, Speaker DUN Kedah berkenaan menuntut ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
"Keputusan SPR dan tindakan Abu Hasan telah membawa kehinaan kepada DUN Kedah, dan mungkin akan mengakibatkan kekecohan kepada prosiding-prosidingnya, apabila ADUN yang telahpun hilang kelayakan sebagai ADUN masih dapat kononnya menonjolkan diri mereka sebagai seorang ADUN," katanya dalam permohonan tersebut.
Dalam permohonannya itu juga, Abdul Isa mendakwa keputusan SPR untuk mengekalkan Abu Hasan sebagai ADUN Kota Siputeh serta tindakan Abu Hasan yang tidak hadir pada sidang dewan akan mengganggu tugas dan kewajipan Abdul Isa sebagai Seaker DUN Kedah untuk memastikan pentadbiran dijalankan dengan lancar.
No comments:
Post a Comment