Adun Kulim, Lim Soo Nee dari KeADILan mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah menggantikan Adun Lunas Mohammad Radzhi Salleh yang melompat parti kerana menyokong Najib Tun Razak. Dia kini memegang potfolio Pembangunan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam dan Perpaduan. Selepas Radzhi, tiada lagi Adun Melayu KeADILan.
Ada juga yang mahukan Menteri Besar melantik Adun PAS sebagai Exco, kerana yang digugur itu adalah Adun Melayu. Lagipun hujah mereka, KeADILan 'tidak boleh diharap'. Tetapi Dato' Seri Azizan Abdul Razak tetap berpegang kepada persefahaman yang diikat. "Itu kuota KeADILan," katanya. Jadi, Exco pengganti Radzhi mesti datang dari KeADILan, walau siapa pun dia.
Selepas isu babi yang agak menggugat sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan di Kedah, tiba-tiba muncul seorang lagi Exco Cina dalam kerajaan negeri. Tentu sekali ia meningkatkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Pakatan yang didominasi PAS.
Masyarakat bukan Melayu melihat bahawa pertimbangan yang dibuat adalah berdasarkan persefahaman yang terjalin, bukan perhitungan berdasarkan perkauman sempit seperti yang sedang membelenggu Umno sekarang. Jika sokongan bukan Melayu tidak tergugat terhadap Pakatan maka makin sukarlah mimpi BN merampas Kedah tertunai di alam nyata.
Bagi Umno mereka tidak mampu lagi melakukan provokasi perkauman apabila Ustaz Azizan 'menukar' Exco Melayu dengan seorang Exco Cina kerana dalam kerajaan BN Kedah dulupun memang terdapat lebih dari seorang Exco Cina. Lagipun Umno tersedar kini bahawa terlalu banyak membakar sentimen perkauman menyebabkan jurang antara mereka dengan bukan Melayu semakin melebar.
Lim Soo Nee adalah orang yang dikaitkan dengan dakwaan kononnya akan turut melompat bersama Radzhi. Agak lama juga khabar angin itu beredar. Ia semacam disokong pula dengan kritikan terbuka beliau terhadap kerajaan negeri dalam beberapa isu. Agak mencemaskan. Tapi dalam keadaan yang sama juga kritikan yang dilemparkan terhadap BN lebih keras. Dia memaki kerajaan BN dulu macam 'paria', hingga menyebabkan sidung DUN Kedah tiba-tiba menjadi panas dengan tindak balas Adun-Adun BN terhadapnya.
Ada teori mengatakan Soo Nee sengaja dilihat akan melompat bersama Radzhi, sebagai strategi agar Adun Lunas itu merasa ada kekuatan untuk melompat parti, sekali gus mengosongkan jawatan Exco. Dengan itu berlaku kekosongan Exco dan Soo Nee berharap dan menggantikannya. Itu teori yang agak tidak bertanggungjawab dan jahat.
Andai benar teori itu pun, situasi yang wujud memberi kekuatan kepada kerajaan Pakatan kerana kedudukan Soo Nee makin kukuh bersama Pakatan setelah (kononnya) cita-citanya menjadi Exco tercapai. Sekali gus menamatkan terus spekulasi terbentuknya kerajaan katak di Kedah.
Apa yang jelas, selepas ini Radzhi akan jadi kupang tembaga. Mujur jika Radzhi telah menerima ganjaran dari Umno. Jika tidak, jangan harap Umno akan beri walau sekupang pun kepada Adun Lunas itu. Misinya menarik lagi empat Adun gagal. Sekarang pun dia sudah tidak dipedulikan, jadi pelarian. Dalam waktu yang sama penduduk Lunas terus mendesak dia meletak jawatan.
Pilihan raya kecil bukan pilihan bagi Umno sekarang. Setiap kali terdengar berita kematian YB, ia bagai merentap tangkai jantung pemimpin BN. Menakutkan, selepas kalah 7-1.
Pilihan yang ada bagi Radzhi jika 'bijak' berpolitik ialah mengugut Umno untuk meletak jawatan sebagai Adun. Dia boleh menjual ugutannya dengan harga yang tinggi. Biar pening kepala Najib.
Najib sudah cukup pening dengan kemungkinan pilihanraya kecil Kota Siputeh. Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Isa Ismail telah memfailkan tuntutan di mahkamah selepas sebuah panel peguam-peguam yang hebat membincangkan dengan teliti isu tersebut. Mereka sependapat bahawa Speaker boleh menang kes itu di mahkamah dan Adun Kota Siputeh tergugur dari jawatannya. Syaratnya ialah hakim yang berani dan bebas.
Bukan penyokong Pakatan saja yang mahu pilihan raya kecil Kota Siputeh. Ahli-ahli Umno dari kem yang bermusuhan dengan Ketua Bahagian, Dato' Abu Hassan Sarif juga mahu Adun Kota Siputeh itu terlucut jawatannya. Jika terlucut dia hilang peluang jadi YB dan politiknya mungkin berakhir di situ selepas empat penggal jadi Adun. Dia bertaring dan menang ketua bahagian kerana ada status YB.
Kemenangan Abu Hassan sebagai Adun juga dengan majoriti yang terlalu kecil. Cuma 495. Itupun mujur di saat akhir datang Tun Mahathir Mohamad membantu. Jika tidak, berdasarkan perhitungan atas kertas, kerusi Kota Siputeh sudah jadi milik PAS. Sekarang Tun sudah hilang bisanya. Penyokong BN sudah berkira-kira mahu gantung kalungan selipar di lehernya. Peluang BN tidak cerah lagi di Kota Siputeh.
Untuk pusingan awal, kedudukan Lunas dan Kota Siputeh macam tidak berpihak kepada Pakatan untuk berlakunya pilihan raya kecil. Tapi babak selepas ini nampaknya akan mencemaskan Umno pula.
No comments:
Post a Comment