Siapa sahaja yang sanggup mengkritik kerajaan Selangor akan diberi ruang luas dalam media, tidak kira sama ada pemimpin pembangkang atau Pakatan Rakyat sendiri.
Matlamatnya adalah untuk memastikan negeri yang terkaya di Malaysia itu terlepas daripada genggaman Pakatan Rakyat.
Agenda itu bukan sekadar diketuai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, sebaliknya difahamkan dirancang khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.
Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa JPM telah merancang pelbagai cara dan kaedah untuk merampas kembali Selangor dengan bantuan beberapa agensi kerajaan.
Antara agensi berkenaan, kata beliau, adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis.
"Ada minit-minit mesyuarat di kalangan jabatan tersebut di JPM telah sampai ke tangan kita.
"Malah perkara itu sudah didedahkan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, di hadapan Perdana Menteri dan timbalannya," katanya pada ceramah Madrasah Nusurullah, Pohon Buluh dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Ustaz Ismail Noh, Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Kamal Ashaari.
Saifuddin berkata, antara agensi milik kerajaan yang paling cekap bagi mencapai matlamat JPM merampas Selangor ialah SPRM.
Kata beliau, SPRM paling cepat bertindak terhadap sebarang aduan berkaitan pemimpin kerajaan Selangor, biar pun membabitkan perkara yang remeh-temeh.
Isu berkaitan Selangor dilihat dilaporkan setiap hari dalam media massa. Terbaru tindakan sekumpulan penternak lembu dari Hulu Yam membawa ternakan di hadapan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam.
Sebelum ini sekumpulan pemimpin Umno mengarakkan kepala lembu yang masih berdarah di tempat yang sama.
Manakala pandangan secara terbuka Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali seringkali diperbesarkan dalam media apabila boleh dimanipulasi demi kepentingan politik BN.
"Semua itu dibuat dengan harapan bagi melemahkan kerajaan Selangor yang kini diterajui Pakatan Rakyat," kata Saifuddin.
Sementara itu, Kamal berkata, kerajaan Barisan Nasional yang menguasai Selangor sebelum ini telah menutup lapan masjid di negeri terbabit.
Katanya, rekod seperti itu tidak pernah dilakukan di negeri lain kecuali di Selangor ketika diperintah BN.
No comments:
Post a Comment