Tuesday, August 25, 2009

takbir....takbir....takbir

PAS mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi di sebalik penurunan jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Pada pilihan raya kecil ini, PAS diwakili Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man manakala Barisan Nasional (BN) pula Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Salleh memperoleh 9,618 undi, sekali gus berjaya dalam percubaan kali keenam bertanding pilihan raya.

Dalam reaksinya, Salleh, 52, menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bermakna bagi PAS dan Pakatan Rakyat.

"Ini menunjukkan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan kukuh dan akan merapatkan kerjasama di kalangan anggota komponen Pakatan Rakyat," kata beliau yang tiba di pusat penjumlahan undi IKBN pada pukul 6.30 petang dengan berpakaian batik.

Rohaizat, 38, pula mendapat 5,067 undi. Undi rosak adalah sebanyak 83.

Rohaizat menerima keputusan ini dengan menganggapnya sebagai satu proses demokrasi.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Salleh Man dan berharap beliau akan melaksanakan khidmat dengan baik kepada masyarakat Permatang Pasir," kata beliau ketika dihubungi.

Jelas beliau, undi yang diperolehnya adalah konsisten dengan apa yang diterima pada Mac 2008 dan ia juga menunjukkan BN masih mempunyai sokongan padu. Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hari ini. Jumlah pemilih adalah seramai 20,290 orang.

Pada Mac 2008, PAS memenangi kerusi Permatang Pasir buat kali ketiga berturut-turut dengan kelebihan 5,433 undi.

Keputusan rasmi pilihan raya kecil diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya pada pukul 7.30 petang - tepat waktu berbuka puasa di sini.

Pengumuman kali ini, yang dilihat paling cepat berbanding mana-mana pilihan raya yang lain dibuat dalam waktu yang singkat.

Awalnya SPR telah bercadang untuk membuat pengumuman keputusan pada pukul 8 malam.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, kerusi itu dimenangi buat kali ketiga oleh Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang memperoleh 11,004 undi.

Ketika itu peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 82.5 peratus. Kali ini peratusan keluar mengundi hanya 73.1 peratus.

No comments:

Search This Blog