Thursday, August 27, 2009

Kes seks: Dr Chua mungkin dipecat

Majlis Presiden MCA masih lagi bermesyuarat sejak awal malam ini bagi membincangkan syor untuk memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Chua Loi Lek berhubung kes skandal seks awal 2008.

Siasatan jawatankuasa disiplin terhadap kes itu mengesyorkan beliau dipecat daripada parti, katanya dalam sidang media di Wisma MCA kira-kira 9 malam ini selepas menghadiri mesyuarat majlis tersebut lebih kurang dua jam sebelumnya.

Beliau dikehendaki meninggalkan mesyuarat Majlis Presiden MCA kerana mereka mahu membuat keputusan berhubung kes disiplin terhadapnya.

Tokoh yang dianggap pencabar utama Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, Chua menambah, laporan jawatankuasa disiplin yang dihantar kepadanya jam 5.30 petang ini mendedahkan syor memecat beliau.

Kata Chua lagi, Majlis Presiden - yang masih bermesyuarat pada waktu ini - selalunya sekadar "cop getah" untuk meluluskan syor yang dibuat oleh jawatankuasa disiplin.

Beliau berharap "Ong akan tidur lena malam ini" selepas bekas menteri itu dipecat.

Katanya, sejak pemilihan parti Oktober tahun lalu - yang menyaksikan kenaikan kembali Chua kepada jawatannya sekarang - Ong "melihatnya sebagai musuh yang paling ketat dan ancaman paling besar."

Sementara itu, akhbar berbahasa Cina Kwong Wah Jit Poh melaporkan spekulasi majlis tersebut besar kemungkinan ingin mengenakan hukuman menggantung Chua selama tiga tahun.

Awal bulan ini, jawatankuasa itu menyiasat aduan bahawa Chua telah mencemarkan imej parti selepas muncul dalam satu DVD yang menunjukkan beliau, waktu itu menteri kesihatan, melakukan hubungan seks dengan seorang teman wanitanya.

Pengadu tersebut Eng Cheng Guan, yang juga pengerusi MCA bahagian Simpang Renggam, mendakwa insiden itu mencemarkan reputasi parti kedua terbesar dalam komponen BN itu.

Eng bagaimanapun menarik balik aduannya tetapi jawatankuasa disiplin meneruskan siasatan terhadap Chua.

Mesyuarat malam ini difahamkan diadakan secara tergesa-gesa, manakala akhbar Sin Chew Daily melaporkan Chua hanya dimaklumkan mengenainya pada kira-kira jam 4.30 petang semalam

No comments:

Search This Blog