Friday, August 28, 2009

Isu pemecatan: Ada kaitan dengan usaha jatuhkan Tee Keat?

APAKAH pemecatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek daripada MCA bukan semata-mata bersandarkan alasan cakera padat digital skandal seksnya yang dikatakan mencemarkan imej parti?

Atau ia ada kaitan dengan cerita lama iaitu pertelingkahan peribadi beliau dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Orang politik khususnya kalangan ahli MCA sendiri maklum kedua-duanya 'tidak sekapal' sejak era kepimpinan Tun Dr. Ling Liong Sik lagi. Suatu ketika Tee Keat pernah berada dalam Team B 'diketuai' Datuk Lim Ah Lek manakala Soi Lek sendiri dilihat cenderung ke kem Liong Sik.

Namun jika itu tiada kaitan dan barangkali masing-masing sudah membuka lembaran baru, mungkin populariti Soi Lek di peringkat akar umbi parti dilihat boleh menggugat pengaruh kepimpinan Tee Keat menjadi antara sebabnya Soi Lek tersingkir dari parti.

Tee Keat sebelum ini memberitahu media bahawa dirinya perlu berdepan dengan musuh dalaman dan luaran. Ramai menjangkakan 'musuh' tersebut tidak dapat dipisahkan dengan dua isu iaitu berhubung pertelingkahannya dengan Soi Lek serta pendedahan Tee Keat mengenai skandal PKFZ.

Selepas kenyataan itu dibuat, kepimpinan MCA dari seluruh negara secara terbuka membuat kenyataan memberi sokongan padu kepada Tee Keat untuk kekal sebagai Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA.

Tee Keat juga mengadakan sesi dialog khas untuk melaporkan perkembangan terkini parti kepada ahli-ahlinya. Sesi dialog itu dilihat sebagai medan bagi Tee Keat meyakinkan ahli-ahli MCA mengenai kepimpinannya.

Namun di sebaliknya, terdapat pula ura-ura kemungkinan penyokong Soi Lek mahu memanggil persidangan luar biasa bagi membuang undi tidak percaya kepada Tee Keat.

Kemenangan Soi Lek ke atas Ong Ka Chuan dalam pemilihan merebut jawatan Timbalan Presiden pada 18 Oktober tahun lalu merupakan kejutan besar dalam MCA. Walaupun Soi Lek menyatakan beliau sedia bekerjasama dengan Tee Keat tetapi pada hakikatnya gandingan Tee Keat-Soi Lek penuh bermasalah sejak hari pertama Tee Keat mengetuai parti.

Masing-masing, Tee Keat dan Soi Lek dilihat 'keras' dan enggan bertolak ansur berhubung pelbagai isu.

Rasa tidak puas hati Soi Lek itu ditambah dengan beberapa insiden terutama apabila beliau tidak diberi sebarang jawatan dalam Kabinet. Soi Lek juga dikatakan ditekan oleh MCA kerana mengeluarkan kenyataan tertentu yang menjejaskan imej MCA.

Soi Lek sendiri tidak berpuas hati apabila tidak diberi peluang untuk memainkan peranan yang sewajarnya dalam MCA. Peranannya dalam parti didapati tidak selari dengan kapasitinya sebagai Timbalan Presiden.

Tee Keat umpamanya tidak melantik Soi Lek untuk menjadi pengerusi negeri tetapi melantik dirinya sebagai pengerusi MCA Johor. Johor secara tradisinya dilihat negeri terpenting untuk MCA dan mempunyai ramai penyokong Soi Lek.

Soi Lek juga dilaporkan tidak berpuas hati apabila MCA sering kali menimbulkan isu skandal video seksnya.

Sejak bulan lepas, akhbar-akhbar utama berbahasa Cina melaporkan kemungkinan berlaku perhimpunan luar biasa untuk menggantikan Tee Keat sebagai Presiden MCA.

Soi Lek pada kelmarin turut meminta supaya tindakan diambil bagi mengelakkan MCA dimusnahkan oleh individu tertentu.Dalam hal ini, beliau meminta ahli-ahli MCA menyelamatkan parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional itu dan jangan hanya berpeluk tubuh dengan perkembangan terkini dalam MCA.

Sin Chew Daily dalam satu laporan baru-baru ini juga menyebut dengan memetik sumber daripada MCA, mendedahkan usaha untuk menjalankan persidangan khas akan dimulakan selepas Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir Selasa lalu.

Sumber MCA memberitahu: ''Usaha untuk mengadakan perhimpunan agung sedang giat dijalankan bagi mendapatkan sokongan satu pertiga perwakilan dalam mengadakan persidangan luar biasa, sekali gus menjatuhkan Tee Keat."

No comments:

Search This Blog