Malah dari satu sudut yang lain tindakan itu menunjukkan Umno sendiri sebenarnya meyakini Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, sebagai ikon kekuatan PAS di Kelantan dan perlu dijatuhkan jika mahu menang di negeri itu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman, menyelar sikap Pemuda Umno sebagai terlalu dangkal lantaran tidak memahami maksud tersirat kenyataan Nik Aziz biarpun telah dijelaskan dengan terperinci sehingga sanggup memanipulasikan hakikat.
Nik Aziz sejak akhir-akhir ini menerima serangan bertubi-tubi dari Umno. Ia bermula dari timbalan presidennya, Tan Sri Muhyidin Yasin hinggalah Ketua Pemuda Umno negeri Kelantan, Anuar Safian. Serangan ini semacam satu yang dirancang dan dihalakan kepada Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua tokoh yang dikira penggerak dan faktor penyatu Pakatan Rakyat.
Bagi Abdul Latif, pemimpin Barisan Nasional (BN) sepatutnya terlebih dahulu melepaskan kepimpinan kerajaannya memandangkan sistem pentadbirannya sendiri lebih tidak konsisten sehingga menimbulkan banyak tekanan dan kekeliruan di kalangan rakyat.
Beliau berhujah, sekiranya sistem pentadbiran kerajaan BN dikatakan konsisten sudah semestinya tidak akan ada sebarang demontrasi atau penyerahan memorandum sebagai tanda protes dan kritikan secara terbuka tentang perlaksanaan dasar pemerintahan kerajaan Umno.
“Tetapi di dalam Pakatan belum ada lagi kritikan-kritikan atau protes dari rakyat hingga di tahap itu. Gambaran kritikan rakyat terhadap BN ternyata dilihat amat parah” jelasnya dalam perbualan bersama The Malaysian Insider sebagai mengulas desakan Ketua Pemuda Umno negeri, Anuar Safian, semalam supaya Nik Aziz meletakkan jawatan.
Anuar dilaporkan mendesak Nik Aziz melepaskan jawatan dan digantikan dengan pemimpin pelapis atau pemimpin muda PAS yang dilihat lebih mampu memberikan pendapat yang lebih konsisten.
Sementara itu Ketua Umno bahagian Rantau Panjang, Abdullah Mat Yasin, berpendapat perebutan kuasa akan berlaku di kalangan pemimpin PAS sekiranya Nik Aziz melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.
“Saya yakin jika Tok Guru letak jawatan, lepas ini akan berlaku perebutan kuasa,” katanya.
Kenyataan Abdullah itu bagaimanapun dibidas oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri, Mohamad Mustapha, sebagai tidak berasas seolah-olah tersimpan satu niat buruk di sebaliknya. Ia berniat untuk melaga-lagakan pemimpin PAS.
Justeru beliau menyaran para pemimpin Umno khas di Kelantan agar lebih rasional dan mesti berlandaskan fakta-fakta konkrit sebelum menghukum sesuatu apatah lagi berkenaan survival yang tidak dapat dilihat.
Ini kerana, penolakan rakyat terhadap Umno jelas sekali. Antaranya kerana sikap berpuak-puak dalam Umno khasnya di Kelantan. Oleh kerana ia berlaku dalam Umno, janganlah ia dianggap akan berlaku juga dalam PAS.
No comments:
Post a Comment