Friday, July 10, 2009

MB Perak: Nizar dibenar merayu

Keputusan muktamad siapa Menteri Besar Perak yang sah akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin merayu terhadap perisytiharan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kekal memegang jawatan tersebut.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff sebulat suara membenarkan Mohammad Nizar mengemukakan tiga persoalan undang-undang dalam rayuannya kelak.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin bagaimanapun menolak permohonan peguam, Datuk S. Ambiga yang mewakili perayu agar keputusan Mahkamah Rayuan itu ditangguh sementara menunggu rayuan.
Ketika berhujah, Ambiga memohon mahkamah mentafsir Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 sama ada jawatan Menteri Besar perlu dikosongkan dalam keadaan beliau telah menasihatkan Sultan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Beliau turut meminta mahkamah menjelaskan undang-undang melibatkan kuasa memecat Menteri Besar sedangkan tidak terdapat pembubaran Dewan, tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dan beliau tidak meletak jawatan.
Ambiga juga berhujah agar mahkamah mentafsir Perkara 16(6) UTKNP sama ada isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam sidang Dewan atau boleh dibuat di mana-mana sahaja.
Selain itu, beliau menyatakan, mahkamah diminta mentafsir undang-undang sama ada ahli Exco telah dianggap dipecat jika Menteri Besar enggan meletak jawatan.
Sementara itu, Ambiga ketika berhujah meminta keputusan Mahkamah Rayuan ditangguh sementara menyatakan, status-quo Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar perlu dikekalkan sehingga Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan muktamad.
Menurut beliau, permohonan itu penting kerana beberapa polisi yang telah diluluskan untuk manfaat rakyat Perak ketika pemerintahan pakatan pembangkang telah ditarik balik pelaksanaannya.
Bagaimanapun, peguam Cecil Abraham yang mewakili Zambry berhujah pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan itu tidak ditangguhkan kerana ia akan membawa maksud bahawa Mohammad Nizar masih seorang menteri besar.
Dalam pada itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah sependapat dengan Abraham bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tidak perlu ditangguh kerana perayu bukan lagi menteri besar.
Sementara itu, Mohammad Nizar pada sidang akhbar selepas prosiding mahkamah menyatakan, tujuan penangguhan perintah itu penting bagi memastikan dasar yang diluluskan ketika pembentangan Bajet 2009 terus dilaksanakan untuk manfaat rakyat Perak.
Menurut beliau, antaranya Tabung Kifalah yang menawarkan RM1,000 kepada warga emas dan Tabung Khas Kebajikan Rakyat yang dikhaskan untuk warga tua terbiar dan anak-anak miskin.
Mohammad Nizar turut menyatakan, beliau bimbang Projek Perkhidmatan Awam Bersepadu, Ipoh Sentral di atas tanah seluas 3.23 hektar melibatkan 14 syarikat pengusaha bas turut dilambat-lambatkan sedangkan ia telah diluluskan.
Selain itu, ujar beliau, perkhidmatan 817 Ketua-Ketua Kampung seluruh Perak telah ditamatkan manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibubarkan.
Beliau turut mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) meluluskan tanah seluas 14,000 hektar bagi membolehkan beberapa syarikat mengusahakan perlombongan bijih timah dan perjanjian itu tidak boleh ditarik balik.
Dakwanya lagi, satu projek pembalakan di kawasan penempatan Orang Asli di Kampar turut diluluskan sedangkan kedua-dua kerajaan memerintah berjanji untuk tidak melaksanakannya demi kepentingan penduduk di kawasan itu.
Mohammad Nizar mengemukakan kebenaran merayu terhadap keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Md. Raus Sharif pada 22 Mei lalu yang sebulat suara mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Zambry terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara pada 11 Mei lalu yang memutuskan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

No comments:

Search This Blog