Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri de facto Undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz baru-baru ini menyatakan bahawa Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan perlu bersikap neutral serta berkecuali berdasarkan prinsip Paris.
Beliau turut menambah, sikap itu bukan sahaja perlu ada pada Pesuruhjaya Suhakam tetapi juga kepada semua anggota Suruhanjaya berkenaan.
Prinsip Paris menetapkan panduan asas yang diterima pakai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 1993 berhubung status dan operasi Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan.
Mohd Nazri dikatakan marah kepada Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abdul Talib Othman berhubung dengan kenyataan Suruhanjaya berkenaan mengenai isu Perak.
Krisis Politik Perak dan Hak Asasi Manusia
Pada 12 Mei 2009, ketika negara sedang heboh dengan krisis politik di negeri Perak yang baru sahaja menggemparkan dunia dengan insiden Speaker Dewan, V. Sivakumar diseret keluar dari tempat bersidang oleh anggota polis, Suhakam yang dipimpin oleh bekas peguam negara itu mengeluarkan satu kenyataan yang mendesak agar kuasa dikembalikan kepada rakyat negeri Perak untuk memilih pemimpin mereka.
Menurut pengerusi Suhakam, Abu Talib, Artikel 21, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, mengatakan bahawa kehendak rakyat harus menjadi teras kepada pembentukan sesebuah kerajaan. (Article 21 of the Universal Declaration of Human Rights 1948 provides that the will of the people shall be the basis of the authority of the government.)
Selain daripada itu, Suhakam turut mengutuk insiden yang berlaku pada sidang DUN 7 Mei 2009 dimana polis dan pekerja kerajaan bertindak tidak neutral apabila dilihat menyebelahi Datuk Seri Zambry Kadir dan Barisan Nasional (BN) dalam krisis di negeri tersebut. Menurut Abu Talib, polis dan pegawai-pegawai kerajaan haruslah bertindak neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi Suhakam dalam krisis politik Perak itu tidak nampak cacat celanya dan bersesuaian dengan peranan badan berkenaan iaitu mempertahankan hak asasi manusia.
Dan ianya juga tidak kelihatan memihak kepada mana-mana parti politik kerana Suhakam menegaskan bahawa “kuasa” memilih pemimpin haruslah dikembalikan kepada rakyat. Secara kebetulan, Pakatan Rakyat turut memperjuangkan agar DUN Perak dibubarkan.
Terdapat juga ramai pemimpin-pemimpin dari Barisan Nasional yang turut mencadangkan agar “kuasa rakyat” dikembalikan seperti Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dari MCA.
Dalam kenyataan balas terhadap kenyataan Nazri, Setiausaha Suhakam, Hashimah Nik Jaafar menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi badan tersebut berkenaan dengan isu Perak berdasarkan satu perbincangan yang panjang pada 11 Mei 2009 dan telah dipersetujui oleh kesemua pesuruhjaya yang lain kecuali seorang berdasarkan semangat untuk mempertahankan dan mempromosi hak asasi manusia.
Suhakam dan Hak Asasi Manusia
Suhakam ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597. Akta tersebut telah diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulung Suhakam diadakan pada 24 April 2000.
Pada ketika itu, kerajaan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berada dipenghujung jalan dan mengalami krisis kepercayaan dikalangan rakyat berikutan dengan kes pemecatan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan demonstrasi-demonstrasi aman dianjurkan oleh penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk membantah keputusan Dr Mahathir.
Ramai pihak yang beranggapan, penubuhan Suhakam pada ketika itu adalah bertujuan untuk meredakan kemarahan rakyat terhadap pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia terhadap penyokong-penyokong Anwar.
Secara peribadinya, penulis merasakan bahawa sejak awal-awal penubuhan Suhakam lagi telah berlaku satu kesalahan yang besar dan memberikan persepsi buruk kepada masyarakat terhadap badan tersebut.
Kesalahan tersebut ialah mengenai pelantikan pengerusi pertama badan tersebut, Tun Musa Hitam. Mengapa salah meletakkan bekas timbalan perdana menteri itu?
Memang benar, bekas Timbalan Presiden Umno itu adalah seorang yang berkredibiliti dan diakui oleh ramai pihak sebagai seorang pemimpin yang hebat. Hishamuddin Rais seorang penulis bebas pernah menyifatkan pemimpin dari negeri Johor itu sebagai “perdana menteri yang tidak pernah dimiliki oleh rakyat Malaysia”.
Akan tetapi adalah kurang bijak apabila beliau dinamakan sebagai pengerusi Suhakam pada penghujung tahun 1999. Musa mempunyai “baggage” yang besar dalam isu hak asasi manusia berikutan dengan peristiwa hitam “Tragedi Memali”.
Peristiwa berdarah Memali terjadi pada 19 November 1985 dimana menyaksikan Ustaz Ibrahim Mahmud yang lebih mesra dengan panggilan “Ibrahim Libya” dan 13 orang pengikutnya terbunuh di Kampung Memali yang berada dalam daerah Baling itu.
Empat orang anggota keselamatan turut terkorban dalam kejadian ngeri ini dan beratus-ratus orang tercedera dalam operasi yang dinamakan “Operasi Angkara/Operasi Hapus” oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Pada ketika itu, Musa merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
Siapapun yang bersalah, kerajaan Malaysia tidak seharusnya membunuh Ibrahim Libya dan pengikutnya oleh kerana kejadian tersebut merupakan diantara jenayah Hak Asasi Manusia yang terbesar pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia.
Jadi, apabila Suhakam dimulakan pada tahun 1999 dengan berketuakan Musa yang mempunyai “baggage besar” dalam isu hak asasi manusia, badan tersebut tidak mempunyai persepsi yang baik daripada masyarakat terutamanya bagi mereka-mereka yang mengikuti perkembangan politik atau yang berminat dengan isu hak asasi manusia.
Neutral dan independen
Penulis amat bersetuju dengan Nazri bahawasanya pesuruhjaya dan semua anggota Suhakam perlu berkecuali dan bersikap neutral daripada mana-mana parti politik. Akan tetapi, pada pandangan penulis, badan tersebut haruslah mengutamakan rakyat dan hak asasi manusia.
Dalam isu Perak, Suhakam berada “dijalan yang benar” apabila mereka menyokong kuasa rakyat dan mempertahankan Hak Asasi Manusia.
Bercakap soal “neutral dan independen” dari pengaruh parti politik, ramai pihak telah mempersoalkan tindakan kerajaan Malaysia melantik Datuk Shafee Abdullah, Datuk Dr Michael Yeoh dan Datuk Dr Denison Jayasooria sebagai pesuruhjaya Suhakam oleh kerana ketiga-tiga tokoh ini diketahui dan dilihat rapat dengan Umno, MCA dan MIC, parti-parti yang mendominasi BN.
Tambahan lagi, pengerusi kedua Suhakam yang menggantikan Musa, Abu Talib Othman juga tidak mempunyai rekod hak asasi manusia yang baik oleh kerana ketika menjadi Peguam Negara, beliau terlibat secara langsung dalam “Operasi Lalang” yang menyaksikan lebih 100 orang pemimpin parti pembangkang, tokoh akademik dan aktivis ditahan oleh kerajaan Malaysia dibawah ISA.
Beliau juga diketahui umum sebagai orang kepercayaan Dr Mahathir yang pernah mengarahkan polis untuk memusnahkan 11 pita video dan empat sampul surat mengandungi gambar-gambar dan negatif gambar isu skandal seks D.P. Vijandren, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Kenyataan Nazri mengenai “neutral dan berkecuali” dalam isu Perak akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh BN. Lebih banyak “peluru” akan menghala kepada BN yang kini telah mempunyai pesaing yang kuat iaitu Pakatan Rakyat.
Tetapi mungkin isu ini boleh jadi kepada pemangkin kepada perubahan yang boleh dilakukan kepada Suhakam pada masa akan datang jika kerajaan Malaysia benar-benar serius untuk mempertingkatkan kredibiliti badan tersebut.
Selain daripada melantik orang-orang yang “ahli” dalam hak asasi manusia, Suhakam perlu diberikan “lebih kuasa” untuk menangani isu hak asasi manusia di Malaysia.
Pada masa akan datang, Suhakam mungkin boleh diberikan kuasa yang seumpama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam menangani isu hak asasi manusia. Ertinya, Suhakam boleh menahan pencabul-pencabul hak asasi manusia dan menghadapkan mereka di mahkamah.
Jika terus menerus seperti hari ini, persepsi masyarakat terhadap Suhakam tidak akan berubah. Badan tersebut akan terus dianggap sebagai “menghabihkan boreh” dan hanyalah “punching bag” bagi badan-badan bukan kerajaan yang marah kepada pencabulan hak asasi manusia yang berlaku didalam negara.
No comments:
Post a Comment